Rafidah perangkap Puteri Umno?
Puteri Umno sedang mengembang sayap ke seluruh negara. Di setiap negeri program pelancarannya sedang diatur. Maka sibuklah ketua penaja pergerakan itu Azalina Othman ahli-ahli jawatankuasanya mengatur segala aktiviti, terutama berkaitan penubuhan di peringkat akar umbi.
Kerancakan program Puteri Umno dengan dukungan ahli-ahli dan pemimpin yang cantik dan muda ini telah menjadikannya sayap parti yang ' glamour ', mengatasi populariti pergerakan Wanita dan Pemuda. Malah, ada kala ia dilihat lebih lasak serta berani daripada Pemuda dan lebih dinamik daripada Wanita.
Keadaan ini membuatkan wujud pihak yang mencemburui perhatian yang diberikan kepada Puteri dan ada pihak tertentu cuba 'menumpang semangkuk' imej serta populariti yang ada padanya. Malah ada yang cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran dan program semasa Puteri.
Tidak cukup dengan itu, ada pihak yang cuba mengapi-apikan pemimpin dan ahli-ahlinya supaya mengikut jejak langkah 'kakak dan abangnya' yang lebih mengutamakan politicking dan kepentingan peribadi.
Baru-baru ini Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz meminta Puteri supaya jangan menghalang pertandingan dalam pemilihan pucuk pimpinan sayap baru parti itu.
Kata Rafidah, pemilihan ketua serta jawatankuasa Puteri perlu ditreruskan selaras dengan amalan demokrasi yang sentiasa menjadi pegangan Umno.
Bagaimanapun Azalina menolak saranan Rafidah itu dengan menegaskan Puteri masih rebung, baru berjinak dengan politik dan ramai ahli serta pemimpinnya belum mengenal peraturan dan prosedur pemilihan.
Memang wajar Azalina mengenepikan sahaja saranan Rafidah itu kerana ia lebih berbaur negatif daripada positif. Pergerakan itu yang masih mentah seharusnya digalakkan mengukuhkan asas organisasi di semua peringkat, bukannya diajar berebut-rebut jawatan dan kedudukan.
Cadangan Rafidah itu - jika diikuti - hanya akan menghancurkan Puteri kerana belum sempat dimantapkan, ia telah dilemahkan oleh ahli-ahlinya sendiri yang lebih mementingkan agenda peribadi daripada kepentingan parti.
Puteri ditubuhkan dengan tujuan memantapkan dan meramaikan ahli-ahli Umno. Kalau Puteri hanya sibuk dengan politicking , berpecah dan berpuak-puak seperti yang dialami Wanita, matlamat penubuhan pergerakan baru itu tidak akan tercapai.
Lembab dan melatah
Kalau wanita Melayu berusia 36 tahun ke bawah melihat Puteri asyik bercakaran, mereka akan menjauhkan diri daripadanya seperti juga mereka memandang serong pada Wanita.
Rafidah sepatutnya memberi nasihat yang lebih membina. Beliau sepatutnya menjauhkan budaya negatif dalam pergerakan yang diketuainya itu daripada menular ke dalam Puteri yang masih 'dara' itu.
Alasan demokrasi bukanlah faktor kuat untuk membenarkan pemilihan dalam Puteri. Demokrasi mempunyai erti yang sangat luas, bukan sekadar pemilihan setiap tiga tahun atau pilihan raya umum setiap lima tahun.
Demokrasi melibatkan kebebasan bersuara, menulis, bergerak dan berpolitik secara sihat. Kalau sekadar pemilihan mengikut selera pemimpin tertentu sahaja, seperti berlaku dalam proses pemilihan Umno sekarang, itu bukan demokrasi namanya.
Demokrasi yang sekerat-sekerat dan diamalkan pada waktu-waktu tertentu sahaja oleh para diktator tidak sesuai lagi pada alaf baru ini.
Kalau demokrasi mahu diamalkan dalam Puteri, ia mestilah demokrasi sepenuhnya, bukan demokrasi mengikut selera Rafidah, Shahrizat atau Siti Zaharah.
Agenda sebenar Rafidah ketika mencadangkan pemilihan dalam pucuk kepemimpinan Puteri tidak diketahui. Adakah beliau mahu meletakkan calon proksinya untuk menyingkirkan Azalina? Seluruh ahli Umno tahu penubuhan Puteri tidak begitu disenangi oleh Wanita. Mungkinkah saranan Rafidah satu muslihat?
Azalina dan barisan exconya jangan terperangkap dengan saranan Rafidah yang berbau negatif itu. Azalina mesti memimpin Puteri mengikut caranya sendiri. Puteri mesti mempunyai identiti sendiri yang jauh lebih baik daripada Wanita. Puteri mesti dinamik, progresif, prihatin dan berilmu dalam segala tindak-tanduknya.
Kalau Puteri hanya ' carbon copy ' kepada Wanita, lebih baik pertubuhan muda itu dibubarkan sahaja. Orang Melayu tidak memerlukan satu lagi pergerakan wanita yang lembab dan melatah.
Biarkan Puteri Umno memantapkan operasinya dahulu. Beri ia pendedahan secukupnya dan latih ahli-ahlinya dengan prosedur dan semangat penubuhannya sebelum ia bersedia untuk mengadakan pemilihan sendiri.
Generasi baru memerlukan cara politik baru. Oleh itu jangan dicemari Puteri yang masih suci bersih itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.