Minggu lepas berlalu dengan isu gambar palsu Najib Tun Razak, Razak Baginda dan Altantuya Shaariibuu di Paris yang disiarkan oleh Tian Chua dalam blognya, yang telah mencetuskan perbincangan dan perdebatan yang hangat.

Perbincangan ini mengheret ramai pihak seperti ahli Parlimen, pemimpin politik, laman-laman web, penulis politik dan juga penulis blog.

Ada yang "membantai" dan ada juga yang mempertahankan tindakan Tian Chua yang mendakwa dirinya yang mencipta gambar tersebut.

Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien menyatakan pergerakan itu sedang mengkaji sama ada mahu membuat laporan polis terhadap Tian Chua atau tidak.

Selain itu, beliau juga mengulangi cerita tentang mencium Keris. Katanya: " Orang Melayu mencium keris untuk mempertahan dan mengekalkan tradisi bangsa Melayu. Mencium keris adalah simbol kepada keberanian dan kuasa. Lagipun mencium keris adalah warisan daripada pemimpin Umno pertama, Dato' Onn Jaafar. Jika kamu semua mahu saya mencium keris lagi, saya akan berbuat demikian.

"Keris adalah lambang perpaduan Melayu. Jika pemimpin mencium keris bermakna dia mempunyai kebolehan untuk memimpin. Jika bangsa lain mahu mempamerkan atau mencium senjata tradisi mereka seperti pedang kungfu, kami orang Melayu tidak akan membantah. Ini kerana semua bangsa mempertahankan dan mengekalkan tradisi bangsa mereka.

"Apa yang Tian Chua lakukan adalah seperti tindakan media Barat menyiarkan karikatur Nabi Muhammad. Kita harus menghentikan budaya negatif untuk memperalatkan transparensi untuk memalukan pemimpin negara". ( Nanyang Siang Pau , Edisi Petang Julai 9, 2007).

Begitu marah sekali Hishammuddin sehingga beliau menyamakan perbuatan Tian Chua menyiarkan gambar palsu Najib itu seperti tindakan media Barat menyiarkan karikatur Nabi Muhammad dan memainkan semula sentimen perkauman.

Umum mengetahui bahawa Hishammuddin adalah sepupu Najib. Jadi beliau begitu marah oleh kerana Najib ada hubungan kekeluargaan dengannya.

'Kem Najib'

Tidak pernah terdengar Hishammuddin begitu marah apabila pemimpin Umno lain dihina, contohnya Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah adalah antara yang sering diperlekehkan dalam laman-laman blog. Gambar-gambar yang disuperimpose dengan imej Pak Lah menghiasi laman-laman blog untuk menjadikan dunia blog lebih menarik.

Tidak pernah pula Ketua Pemuda Umno bersuara apabila imej Pak Lah diperlekehkan. Apakah ini secara tidak langsung bermaksud Hishammuddin bersama "kem Najib" dan hanya akan mempertahankan Najib dan tidak Pak Lah?

Tian Chua diserang oleh kerana beliau adalah Ketua Penerangan PKR dan bukannya penulis blog biasa. Tian Chua diserang kerana beliau pernah mempertahankan rumah orang Melayu di Kampung Berembang sehingga beliau hampir dikaitkan dengan cubaan membunuh.

Dimanakah Hishammuddin dan Pemuda Umno ketika orang Melayu di Kampung Berembang memerlukan bantuan dan simpati? Mengapa diam kalau Pemuda Umno benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu? Atau sebenarnya Pemuda Umno hanya memperjuangkan pemimpin tertinggi Melayu Umno?

Retorik tentang keris Melayu dan mencabar kaum lain tidak lagi "laku" di zaman siber ini. Orang Melayu sekarang sudah terdedah dengan bahan-bahan bacaan alternatif dan tidak hanya bergantung kepada media arus perdana.

Hishammuddin dan Pemuda Umno harus memikirkan "taktik" lain untuk membeli undi orang Melayu.

Apakah Hishammuddin telah diarah oleh sepupunya itu supaya mengeluarkan kenyataan demikian oleh kerana Najib terlalu takut jika gambar sebenar disiarkan?

'Celik politik'

Saya melihat usaha media dan pemimpin politik "menghentam" Tian Chua adalah untuk mengelak isu sebenarnya - kaitan antara Najib dengan Altantuya.

Selepas Amy, salah seorang saksi dalam kes perbicaraan kes pembunuhan Altantuya menyatakan bahawa beliau pernah melihat gambar Altantuya, Najib Razak dan Razak Baginda makan malam di Paris, media arus perdana tidak menjadikan kenyataan itu sebagai berita penting. Kalau adapun dilaporkan, hanyalah berita kecil ataupun di hujung-hujung berita.

Usia negara yang ke-50 akan sampai tidak berapa lama lagi. Gimik politik perkauman seharusnya tidak ada lagi dalam kamus politik Malaysia. Gimik politik perkauman harus dihentikan oleh Pemuda Umno dan parti-parti politik yang lain. Jangan kerana nak menyelamatkan pemimpin, rakyat yang menjadi mangsa.

Seperti kata Iwan Fals dalam album terbarunya 50:50: "Zaman berubah tapi perilaku tak berubah". Malaysia sekarang ini sudah dalam tahun 2007. Sudah 38 tahun tragedi 13 Mei berlalu. Mengapa nak heret rakyat Malaysia untuk kembali ke zaman itu?

Mujurlah sekarang ini ramai yang sudah sedar dan "celik politik". Kalau tidak kenyataan Hishammuddin itu sudah pasti akan mengundang persengketaan kaum.

Kesempitan hidup yang diakibatkan oleh kenaikkan kos kehidupan ekoran daripada kenaikan harga barang, lebih menjadi keutamaan rakyat Malaysia hari ini.

Sekarang, kalau tinggal di Kuala Lumpur, satu pekerjaan tidak cukup untuk menampung kehidupan. Kerja sambilan diperlukan. Duit belanja sekolah anak lebih penting daripada isu-isu politik perkauman yang cuba dicanaikan.

Lagipun kalau selalu sangat isu "keris" ini ditimbulkan, lama kelamaan orang akan menjadi lali dan muak. Jangan sampai satu hari nanti orang akan berkata: "Biarkanlah Hishammuddin terjun dengan keris-kerisnya".