Ego Kit Siang, Karpal keluar BA
Akhirnya PAS dan DAP 'bercerai.' Talak satu, dua atau tiga, tiada siapa dapat mengagaknya kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Hari ini mungkin merajuk bertelagah dan bercerai tetapi esok lusa mungkin berbaik dan rujuk semula.
Itulah politik negara ini - sama ada parti pemerintah atau pembangkang, kerenahnya sama sahaja. Dalam politik, tiada musuh atau kawan yang kekal, kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh menjadi kawan. Dalam kes pengunduran DAP daripada pakatan Barisan Alternatif, tindakan mengejut parti itu tidak boleh dianggap muktamad.
Tindakan DAP keluar daripada BA itu memang mengecewakan penyokong BA. Ramai yang berasa kesal. Namun, ia tidak perlu diratapi kerana tindakan itu tidak bererti BA akan hancur.
Banyak hikmah tersembunyi daripada tindakan DAP itu. Semua orang tahu parti pimpinan Lim Kit Siang itu sudah berada di hujung jalan. Parti chauvinist Cina ini dipinggirkan oleh kaumnya sendiri dan para pemimpinnya sedang menggelabah untuk menyelamatkannya daripada berkubur.
DAP sebuah parti yang lemah, pengaruhnya di kalangan akar umbi Cina semakin terhakis. Oleh itu, ia memerlukan BA untuk bergantung hidup. Bagaimanapun ego Kit Siang dan Karpal Singh yang beralaskan isu penubuhan negara Islam PAS telah berjaya mengabui hakikat itu.
DAP, setelah kalah teruk dalam dua pilihanraya umum lalu, kini sedang melalui ujian getir untuk menghadapi pilihanraya 2004. Konon pakatannya dengan PAS dalam BA merupakan faktor utama kegagalannya untuk mempertahankan beberapa kerusi tradisi, termasuk Kit Siang dan Karpal pada pilihan raya 1999.
Kononnya pengundi Cina menolak DAP kerana marah apabila parti itu bersekutu dengan PAS yang bercita-cita menubuhkan sebuah negara Islam. Pemimpin DAP cepat menuding jari kepada faktor luar sedangkan kelemahan dalaman dan gaya politik parti itu sebenarnya menjadi punca kelemahan dan kegagalan DAP.
Hikmah 'perceraian'
Kit Siang, yang sudah 30 tahun menerajui DAP, penyebab utama kegagalan parti itu. Ramai pengundi Cina, termasuk ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin muda, tidak dapat menerima cara kepimpinan 'orang tua' itu lagi.
Mereka mahu melihat barisan kepimpinan baru dalam DAP. Era Kit Siang, Dr Chen Man Hin dan Karpal sudah berlalu. DAP sendiri memerlukan reformasi dalaman.
Perpisahan DAP daripada pakatan BA perlu dilihat positif. Banyak hikmah daripada 'perceraian' ini. Tidak mengejutkan jika selepas ini ramai anggota DAP yang kecewa dengan kepimpinan parti itu keluar beramai-ramai untuk menyertai Parti Keadilan Nasional.
Sebelum dan selepas pilihan raya umum lalu, ramai bekas pemimpin DAP di Johor dan Pulau Pinang yang ingin menyertai Keadilan tidak diterima semata-mata atas dasar persefahaman antara komponen BA.
Kini DAP berada di luar BA, maka tiada halangan untuk Keadilan membuka pintunya menerima bekas ahli-ahli DAP.
Bagi PAS pula, kini ia boleh mengatur sendiri program untuk mendekati pengundi bukan Melayu. Ia boleh menyusun strategi sendiri untuk memberi penjelasan berhubung isu penubuhan negara Islam. Terbukti DAP bukan rakan yang berkesan untuk dipertanggungjawabkan bagi membantu program mendekati kaum Cina. Lebih baik rasanya Jawatankuasa Perundingan Cina yang diwujudkan dalam PAS memikul sepenuhnya tanggungjawab ini.
Dengan menjalankan sendiri program penerangan, hasilnya akan lebih berkesan kerana pengundi Cina terbukti lebih menghormati Datuk Fadzil Noor, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Tan Abdullah daripada Kit Siang dan Dr Chen.
Perpecahan BA kali ini disambut gembira oleh Barisan Nasional. Bagi parti pemerintah, pengunduran DAP bererti lenyap ancaman kuat yang akan menggugat mereka dalam pilihan raya umum 2004.
Pembangkang selama-lamanya
Bagaimanapun ramai penganalisis politik berpendapat BN tidak akan meraih laba besar daripada krisis BA ini kerana apa-apa yang berlaku tidak menggugat sentimen para penyokong parti-parti berkenaan. Sebaliknya ia mengukuhkan sokongan ahli-ahli parti berkenaan kepada parti masing-masing kerana BA dan DAP tetap berhadapan dengan musuh yang sama, BN.
Pengunduran DAP juga tidak bermakna kerjasama antara BA dan parti itu terputus sama sekali. Satu persefahaman yang tidak menjejaskan pengaruh dan kedudukan masing-masing boleh dibentuk apabila perlu.
Sewajarnya DAP yang berasaskan perjuangan perkauman sempitnya berada di luar BA. DAP bukan sebuah parti bercita-cita besar. Ia hanya sebuah parti yang bercita-cita menjadi pembangkang selama-lamanya.
Parti-parti yang bercita-cita besar mahu memerintah Malaysia satu hari nanti seperti PAS, Keadilan dan PRM patut mengorak langkah dari sekarang memperjuangkan agenda yang lebih besar. Kehadiran DAP dalam BA hanya akan mengekang pengaruh BA di kalangan rakyat negara ini kerana Kit Siang tetap dengan konsep 'Malaysian Malaysia.' .
Oleh itu apakah pilihan yang ada pada DAP? Bagi pemimpin parti itu menyertai BA bererti menjerat diri sendiri sedangkan berjuang bersendirian pula belum tentu masyakarat Cina akan kembali menerimanya.
DAP tidak mempunyai pilihan sebenar kerana senario politik semasa tidak membolehkan parti-parti kecil, lebih-lebih lagi yang bersifat perkauman, untuk hidup segar. Mungkin dengan konsep 'Malaysian Malaysia', lebih baik Kit Siang memohon menyertai BN kerana Umno kini telah mulai menerima konsep meritokrasi. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.