Most Read
Most Commented
Read more like this

Parti Keadilan Nasional (Keadilan) sedang dalam proses untuk "diAbimkan". Itulah tanggapan pelbagai pihak menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada 9-11 November ini.

Kononnya perebutan jawatan akan berlaku di semua peringkat antara calon yang berlatar belakangkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan calon bukan Abim yang terdiri daripada bekas ahli Umno dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pemerhati politik berpendapat perebutan jawatan antara dua puak ini tidak dapat dielakkan walaupun mungkin berlaku usaha-usaha terakhir untuk mengajak kedua-dua pihak berkompromi. Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dikatakan sedang berusaha membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan bagi mengelakkan perebutan jwaatan yang sengit hingga memecah-belahkan parti.

Persoalannya sekarang, adakah benar-benar wujud perancangan bekas pimpinan Abim untuk menguasai parti ini atau ia hanya kebetulan kerana ramai pemimpin Keadilan merupakan bekas pemimpin persatuan belia Islam itu?

Tidak mungkinkah ia hanya satu gimik politik untuk menarik perhatian umum kepada mesyuarat agung dan pemilihan pucuk pimpinan yang pertama kali diadakan dalam parti itu?

Mungkin juga ia hanya digembar-gemburkan oleh media massa atau pihak luar yang mengambil kesempatan (daripada langkah beberapa pemimpin Keadilan yang enggan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan jawatan kali ini) bagi menggambarkan berlakunya perpecahan di dalam parti ini?

Ketua Penerangan Keadilan, Ruslan Kassim berkata, gembar-gembur berlakunya perebutan jawatan antara puak Abim dan bukan adalah angkara "tangan-tangan ghaib" yang menangguk di air keruh.

"Perebutan jawatan dalam parti adalah perkara biasa, ia suatu yang sihat dan menunjukkan Keadilan tidak ketandusan pemimpin," komen beliau mengenai perebutan jawatan yang bakal berlaku itu.

Bingung

Namun kalau benar wujud perancangan sebegitu, mengapa? Kalau benar Keadilan hendak "diAbimkan", apa salahnya? Akhir sekali, adakah proses ini mendapat restu pelopornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Persoalan-persoalan inilah yang bermain di kepala para penyokong parti itu sekarang. Ramai yang bingung kerana tidak nampak rasional mengapa proses "mengAbimkan" Keadilan itu harus berlaku.

Ramai berpendapat jika ia akan mencacatkan perjuangan Keadilan sebagai sebuah parti pelbagai kaum dan agama serta menggelapkan masa depan parti.

Mereka bimbang bila Keadilan "diAbimkan", ia akan menjadi sebuah parti dominan Melayu sebagaimana PAS dan Umno. Bila Keadilan menjadi seperti kedua-dua parti Melayu terbesar itu, dibimbangi parti ini akan menerima nasib seperti parti-parti serpihan, Parti Negara dan Semangat 46 yang berkubur tanpa nesan atau hidup segan mati tak mahu seperti Berjasa dan Hamim.

Bagi majoriti ahli dan penyokong Keadilan, parti pelbagai kaum yang telah memberi nafas baru kepada politik Malaysia ini tidak perlu ditukar identitinya. Keadilan masti kekal dengan identiti Malaysianya, bukan "diAbimkan" sebagaimana pernah berlaku kepada Umno dan PAS sedikit masa dulu.

Kepompong 'isu Anwar'

Bagaimanapun terdapat juga pendapat mengatakan Keadilan perlu "diAbimkan" untuk menjadikannya sebuah parti yang beragenda besar. Mereka berpendapat, parti ini sekarang tidak mempunyai haluan selain daripada memperjuangkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh itu untuk mengubah arah perjuangan Keadilan, ia memerlukan barisan pimpinan baru dan tidak lain dan tidak bukan, pemimpin pelapis itu datang bari kelompok bekas ahli Abim.

Bekas Presiden Abim, Dr Mohd Nor Manuty, bekas Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir dan seorang lagi bekas orang kanan persatuan belia itu, Sheikh Azmi Ahmad dikatakan bertenaga untuk membawa Keadilan keluar daripada kepompong "isu Anwar".

Golongan muda dan berpendidikan yang tidak gemar dengan sikap PAS yang dogmatik dan Umno yang terlalu tasub dengan perjuangan Melayunya mengharapkan Keadilan menjadi wadah politik pelbagai kaum yang sederhana dan pragmatik.

Jika Keadilan dapat menggarap sifat-sifat itu walaupun ia dipimpin oleh bekas ahli-ahli Abim, ia mampu menarik pelbagai kaum dan golongan untuk menyokong dan menyertainya.

Untuk bertahan dan berjaya dalam pilihanraya umum akan datang, Keadilan perlu mengubah pendekatan, strategi dan agendanya. Simpati terhadap Anwar mungkin sudah menipis pada tahun 2003/2004, oleh itu parti ini perlu menonjolkan daya kepimpinan yang progresif dan mantap untuk dianggap sebagai sebuah parti alternatif yang berwibawa.

Bentuk barisan kepimpinan yang terpilih pada 9 November ini akan menentukan corak dan hala tuju Keadilan - sama ada kekal sebagai parti satu isu atau menjadi wadah politik beragenda besar yang dapat duduk sama rendah atau berdiri sama tinggi dengan Umno dan PAS.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS