Gempar Jumaat lalu (13 Julai 2007) apabila Nathaniel Tan, pegawai khas Anwar Ibrahim di Yayasan Masa Hadapan (Future Foundation) yang juga webmaster Suarakeadilan Online ditahan polis untuk disiasat dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (OSA). Beliau juga merupakan seorang penulis blog yang bergabung dibawah "Bloggers United".

Selepas direman polis selama empat hari, beliau dibebaskan di Bahagian Jenayah Siber, Bukit Aman,Kuala Lumpur. Penahanan Nat dikatakan berkaitan dengan satu komen dalam blognya berkaitan kes rasuah yang melibatkan Johari Baharom,Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Beberapa jam selepas Peguam Negara mengatakan kes rasuah Johari Baharom digugurkan kerana tidak mempunyai bukti beliau terlibat, Johari telah mengarahkan polis menyiasat blog dan lamanweb yang mendedahkan kes rasuah tersebut.

Sebelum itu, sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub di Parlimen, Johari berkata beliau telah mengarahkan kementeriannya membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan kes rasuah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Ini mengundang reaksi spontan dari Musa yang juga mengeluarkan kenyataan bahawa lamanweb dan blog wajib dipantau.

Johari dan Musa kedua-duanya mahu melarikan diri dari isu sebenar, iaitu dakwaan tuduhan rasuah terhadap mereka. Pertembungan antara Johari dan Musa adalah pertembungan antara dua gajah. Nathaniel hanyalah pelanduk yang terpaksa dipijak oleh gajah-gajah ini kerana melintas ketika mereka sedang bertembung.

Lamanweb dan blog adalah mangsa "dikambing hitamkan". Ini sering berlaku di Malaysia.Tahun lalu kita digemparkan dengan saman New Straits Times (NST) terhadap Ahirudin Atan dan Jeff Ooi. Tahun ini adalah tahun Nat menjadi mangsa. Walaupun negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 pada 31 Ogos ini, rakyat Malaysia masih belum benar-benar merasai nikmat hidup merdeka.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), OSA dan banyak lagi akta-akta yang anti-demokrasi yang asih lagi "bermaharajalela" untuk menekan, menangkap dan membungkam sesiapa-sahaja yang berani mencabar dan menggugat kekuasaan. Tidak begitu banyak bezanya dengan hidup di zaman penjajah Inggeris.

Watak berbeza

Sewaktu zaman penjajahan Inggeris, alasan untuk memerangi Komunis digunakan untuk menangkap dan memukul pejuang kemerdekaan dan sesiapa saja yang mencabar kekuasaan penjajah.Ramai yang ditangkap, terutamanya yang lantang memperjuangkan kemerdekaan. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) semuanya diharamkan oleh penjajah Inggeris dengan alasan memudaratkan keselamatan orang ramai.

Sekarang, selepas negara hampir 50 tahun merdeka, keadaan masih sama. Cuma watak dan pelakonnya berbeza. Kalau dahulu "orang putih" memegang watak orang jahat, sekarang ini orang tempatan. Orang tempatan yang memegang watak ini pula pelbagai bangsa dan agama. Ini yang mengelirukan rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah situasi ini berlaku kerana dahulupun, sewaktu zaman dijajah, rakyat di "tanah ini" mengambil masa begitu lama untuk sedar bahawa tanah mereka dijajah dan hasil kekayaan bumi dirompak dengan sewenang-wenangnya. Bayangkanlah semenjak tahun 1511 dijajah, tanah ini merdeka pada tahun 1957.

Selepas 446 tahun, hasil kekayaan bumi ini dirompak dan ditadbir oleh pelbagai penjajah seperti Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudian Inggeris semula, barulah tanah ini bebas.

Maka tidak hairanlah jika Umno dan Barisan Nasional terus berkuasa walaupun untuk 50 tahun lagi. Ini kerana 100 tahun adalah terlalu pendek jika kita bandingkan dengan 446 tahun negara kita telah dijajah.

Kalau mengikut desas-desus, pilihanraya akan diadakan pada bulan Ogos ini. Ini dikatakan untuk memanipulasi semangat kemerdekaan yang ke-50 ini. Tidak hairan jika perkara ini berlaku. Di zaman pemerintahan Pak Lah, tidak ada apa yang pelik. Pilihanraya ke-11 pada 2004, diadakan pada hari Ahad bersamaan dengan hari berlangsungnya perlumbaan F-1.

Cucu Abdullah Fahim

Tidak pelik dan tidak ajaib juga jika Pak Lah memilih tarikh pilihanraya ke-12 diadakan pada 31 Ogos ini. Tambahan pula, Pak Lah adalah cucu kepada Abdullah Fahim yang memberikan tarikh sesuai untuk memproklamasikan kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman.

Ada yang mengatakan bahawa selepas Nathaniel, kemungkinan beberapa lagi penulis blog akan ditahan untuk disoalsiasat. Tindakan ini juga tidak pelik dan tidak mengejutkan kerana Malaysia sememangnya bukanlah negara yang mempunyai rekod yang baik dalam kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak lagi bebas untuk memberikan pandangannya selepas beliau turun dari takhta pada tahun 2003. Cuma bezanya beliau tidak akan dikenakan apa-apa tindakan kerana gelaran "Tun" yang beliau punyai memberikan sedikit kekebalan. Tun Dr. Mahathir mendapat gelaran "Tun" oleh kerana beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Kepada semua penulis blog dan pengendali lamanweb yang menentang arus, janganlah pura-pura "terkejut" jika anda mengalami nasib yang sama seperti Nathaniel Tan. Bukankah anda juga yang kata bahawa Malaysia anti demokrasi dan kebebasan bersuara?

Jika anda bersabar dan mempunyai istiqamah yang tinggi, tidak hairan satu hari nanti "pelanduk- pelanduk" pasti akan dapat menewaskan gajah-gajah besar yang berkuasa. Dengan syarat, pelanduk-pelanduk harus menerima hakikat bahawa dalam pertembungan melawan gajah, pasti ada pelanduk yang akan terhimpit dan dipijak.Jika tidak sanggup, masih belum lagi terlambat untuk berundur.