John Lennon dan kempen selamatkan Darfur
Krisis yang berlaku di Darfur, Sudan telah mengundang perhatian dunia. Dalam masa empat tahun, sudah lebih 200,000 terkorban dan lebih 2.5 juta terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Pembunuhan, perbuatan rogol dan pemaksaan untuk berpindah, telah digunakan sebagai senjata peperangan oleh pergerakan "Janjawid" yang disokong oleh kerajaan dan tentera Sudan.
Konflik bermula pada Februari 2003 apabila kerajaan dan tentera Sudan menggunakan kumpulan "Janjawid" untuk menentang Gerakan Pembebasan Sudan dan Gerakan Keadilan dan Kesaksamaan. Walaupun kerajaan Sudan menafikan mereka mendukung "Janjawid", tetapi bantuan kewangan terus diberikan dan bersama-sama menyerang mana-mana pihak yang menyokong dua kumpulan pemberontak ini.
Walaupun kerajaan Sudan mendapat tekanan antarabangsa untuk menghentikan krisis ini, mereka tidak mempedulikannya, malahan konflik menjadi semakin parah. Ini telah mengundang kumpulan-kumpulan hak asasi manusia untuk berkempen, antaranya Amnesty International.
Krisis yang berlaku di Darfur, Sudan telah mengundang perhatian dunia. Dalam masa empat tahun, sudah lebih 200,000 terkorban dan lebih 2.5 juta terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Pembunuhan, perbuatan rogol dan pemaksaan untuk berpindah, telah digunakan sebagai senjata peperangan oleh pergerakan "Janjawid" yang disokong oleh kerajaan dan tentera Sudan.
Konflik bermula pada Februari 2003 apabila kerajaan dan tentera Sudan menggunakan kumpulan "Janjawid" untuk menentang Gerakan Pembebasan Sudan dan Gerakan Keadilan dan Kesaksamaan. Walaupun kerajaan Sudan menafikan mereka mendukung "Janjawid", tetapi bantuan kewangan terus diberikan dan bersama-sama menyerang mana-mana pihak yang menyokong dua kumpulan pemberontak ini.
Walaupun kerajaan Sudan mendapat tekanan antarabangsa untuk menghentikan krisis ini, mereka tidak mempedulikannya, malahan konflik menjadi semakin parah. Ini telah mengundang kumpulan-kumpulan hak asasi manusia untuk berkempen, antaranya Amnesty International.
Amnesty International adalah kumpulan hak asasi manusia yang terbesar di dunia dan mempunyai cawangan di hampir seluruh dunia dengan lebih 2.2 juta ahli. Amnesty International yang berusia 46 tahun akan membantu untuk berkempen bilamana wujudnya ketidakadilan. Sebagai contoh, apabila 10 aktivis reformasi ditahan dibawah ISA pada tahun 2001 oleh kerajaan Malaysia, Amnesty International telah menjalankan kempen besar-besaran di seluruh dunia bagi mendesak kerajaan membebaskan kesemua tahanan politik.
Sebagai langkah untuk menyelamatkan Darfur, Amnesty International cawangan Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan Yoko Ono dan Warner Bros. Records untuk menerbitkan album "Instant Karma". Album "Instant Karma" yang diterbitkan kali ini berbeza dengan apa yang Lennon dan Yoko terbitkan pada tahun 1970.
Album yang diterbitkan pada tahun 2007 ini diberi nafas baru. Penyanyi dan kumpulan muzik terkenal seperti Avril Lavigne, Ben Harper, Christina Aguilera, Lenny Kravitz, Jack Johnson, Jakob Dylan, U2, Aerosmith, Black Eyed Peas dan ramai lagi merakamkan semula lagu-lagu John Lennon bagi membantu untuk menjayakan kempen ini.
Walaupun sudah hampir 27 tahun John Lennon meninggalkan dunia ini, namun lagu-lagunya masih lagi disambut baik oleh generasi lama mahupun generasi baru di zaman ini. Semua ini kerana cinta dan keikhlasan yang amat tinggi yang diterapkan dalam karya-karya John Lennon.
'Instant Karma'
John Lennon dan The Beatles adalah nama yang tidak asing lagi. Bersama-sama dengan Paul McCartney, George Harisson dan Ringo Star, Lennon mempunyai pengaruh yang besar terhadap kehidupan anak muda di seluruh dunia, terutamanya pada sekitar tahun 60-an dan 70-an. Malahan, sehingga hari ini, masih ramai lagi anak-anak muda yang mengidolakan kumpulan The Beatles.
John Lennon menjadi "legenda" oleh kerana penglibatannya yang aktif dengan Gerakan Anti-Perang selepas kumpulan The Beatles berpecah. Perpecahan ini dikatakan adalah disebabkan krisis Lennon-McCartney. Lennon mahu The Beatles aktif dengan gerakan sosial dan bukan sekadar kumpulan muzik, manakala McCartney mahu The Beatles terus kekal sebagai kumpulan muzik biasa. Secara rasminya The Beatles berpecah pada 31 Disember 1970.
Lennon, Mccartney, Harisson dan Ringo masing-masing membawa haluan sendiri. Lennon memilih untuk menyanyi secara solo dan aktif dengan Gerakan Anti-Perang di Vietnam. Walaupun sudah tidak lagi bersama The Beatles, karya-karya Lennon masih lagi diminati. Lagu-lagu seperti Imagine, Love, Watching the Wheels, Jealous Guy, Working Class Hero, Woman, Give Peace a Change, Power To The People dan banyak lagi, telah menggegar dunia. Terbuktilah yang lagu-lagu yang bercorak kritik sosial diminati dan berjaya mempengaruhi anak-anak muda pada ketika itu.
Kerajaan Amerika yang pada ketika itu dipimpin oleh Presiden Nixon telah menganggap Lennon sebagai "musuh no.1 negara" dan mencuba pelbagai cara untuk mengekang Lennon dan Yoko daripada mempengaruhi anak-anak muda pada ketika itu daripada terlibat dengan Gerakan Anti-Perang di Vietnam.
Ini telah mencetuskan "teori konspirasi" yang mengatakan bahawa pembunuhan Lennon oleh Mark Chapman pada 8 Disember 1980 berkait rapat dengan Agensi Perisikan Amerika (CIA) dan pemerintahan tertinggi Amerika. Bacalah buku tulisan Steve Lightfoot, "Who Really Killed John Lennon? The Truth about his Murder", anda akan dapat melihat kaitan Nixon, Reagen dan Stephen King dalam pembunuhan John Lennon.
Amnesty International di seluruh dunia termasuk cawangan Malaysia sekarang sedang giat menjual album "Instant Karma" yang baru ini dengan tema "Make Some Noise, The Amnesty International Campaign to Save Darfur." Hasil jualan album ini diharapkan akan dapat membantu rakyat biasa yang menjadi mangsa konflik Darfur di Sudan.
Seperti apa yang dikatakan oleh Larry Cox, Pengarah Eksekutif Amnesty International cawangan Amerika Syarikat: "Kami tahu bahawa muzik berkuasa untuk menyatukan dan memberi inspirasi kepada manusia. Dengan kematian beratus ribu manusia, berjuta yang menjadi pelarian kerana rumah dan kampung mereka dibakar, dan rogol dijadikan sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang dalam krisis Darfur.
"Mobilisasi rakyat di seluruh dunia diperlukan untuk bertindak dan menuntut keadilan. Kempen "Instant Karma" adalah kombinasi keghairahan John Lennon untuk kita membayangkan tentang dunia yang aman dan keberkesanan Amnesty International dalam berkempen untuk menuntut keadilan. Album "Instant Karma" ini memberi peluang kepada orang biasa untuk menyumbang bagi menyelamatkan kehidupan, kami merasakan yang John Lennon akan berbangga dengan usaha ini."
Anda juga boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa manusia di Darfur. Selain daripada mendengar lagu-lagu John Lennon yang diberikan nafas baru oleh penyanyi dan kumpulan muzik terkenal, nyawa dan kehidupan di Sudan akan dapat diselamatkan. Kunjungilah kedai muzik yang berdekatan untuk mendapatkan album ini ataupun hubungi Amnesty International cawangan Malaysia di www.aimalaysia.org.
Marilah kita bersama-sama membantu krisis di Darfur. Saya percaya jika John Lennon masih lagi hidup, sudah pasti beliau akan terharu. Terima kasih kepada Yoko Ono kerana mendermakan lagu-lagu John Lennon untuk menyelamatkan mangsa krisis Darfur. John Lennon akan terus hidup walau seribu tahun lagi.

