Persidangan agung Umno baru saja selesai. Mencurah-curah pandangan politik dihamburkan dari dalam dan luar dewan persidangan. Hakikatnya, Mahathir Mohamad, yang paling tidak digemari oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu telah 'disahkan' sekali lagi untuk menerajui Umno.

Mahathir dengan licik berjaya mengekalkan kedudukannya dalam parti. Beliau beberapa kali mengalih-alih tiang gol apabila difikirkan kemunculan pendatang baru yang mungkin berani menendang beliau keluar daripada parti. Untuk seketika, ancaman terhadap kuasa mutlak Mahathir dalam Umno kelihatan kendur.

Kekenduran pergeselan politik ini hanya untuk sementara waktu. Seperti kumpulan-kumpulan lanun yang baru saja selesai merompak dan bertempur, gerombolan perwakilan Umno kini sedang berehat seketika. Kemudian mereka akan bergerak sekali lagi untuk mencari regu baru, membuat klik baru, berkomplot menjatuhkan pimpinan tertentu atau mengangkat pimpinan baru untuk dijadikan payung baru tempat berteduh.

Mereka yang tewas dalam pemilihan kali ini tapi mempunyai 'fulus' akan cuba mengatur langkah baru. Mereka yang gagal mendapat sokongan dan ketiadaan dana pula akan dipinggirkan atau terus dikuburkan. Sementara yang berjaya dilantik akan diraikan untuk dijadikan payung tempat berteduh menanti projek dan kontrak.

Inilah budaya politik Umno yang dibanggakan sebagai teras politik ketuanan Melayu. Budaya ini telah menebal dalam seluruh badan politik Umno, dari pucuk pimpinan pusat hingga ke jawatan kuasa cawangan di kampung-kampung.

Ketuanan Melayu ini pula sedang diperkukuhkan lagi oleh budaya rasuah. Rasuah dan Umno adalah dua perkara yang tidak dapat lagi dipisahkan. Seperti Lorong Haji Taib tidak dapat dipisahkan dengan imej pelacuran kelas rendah - rasuah dengan Umno telah menjadi satu perkataan yang sinonim. Umno tidak mungkin dapat bangun bergerak tanpa suntikan dadah ini dan rasuah tidak akan dapat hidup segar-bugar tanpa sokongan Umno.

Rasuah dalam Umno boleh disamakan dengan heroin atau kokain. Dadah jenis rasuah menjadi sebati dalam darah daging Umno. Samalah seperti Mat Gian di Jalan Chow Kit yang memerlukan suntikan saban hari untuk terus hidup, Umno juga memerlukan suntikan dadah rasuah untuk terus bergerak. Lagi besar "tokoh" yang memimpin Umno, lagi besar suntikan dadah yang diperlukan.

Ini bukan bermakna ahli-ahli Umno atau pucuk pimpinan Umno tidak sedar tentang suntikan dadah jenis rasuah yang diperlukan untuk menghidupkan Umno. Mereka semuanya sedar dan tahu masalah dadah yang sedang mengancam kesihatan Umno.

Bagaimanapun, keadaan Umno itu samalah seperti Mat Gian yang tidak dapat lagi melakukan sesuatu kerana menjadi mangsa ketagihan. Ahli-ahli Umno juga tidak lagi berupaya melakukan sesuatu untuk membanteras dadah rasuah dalam badan politik Umno. Ketagihan Umno dengan dadah rasuah telah begitu mendalam sekali.

Dadah rasuah yang diperlukan oleh Umno semakin hari semakin tinggi sukatannya. Kalau dahulu pucuk pimpinan yang berkuasa saja yang memerlukan suntikan dadah rasuah, tetapi hari ini hampir semua ahli Umno (termasuk yang beragama Islam) memerlukan dadah ini, walaupun hanya untuk datang ke mesyuarat bahagian.

Hingga ke hari ini belum kelihatan satu modul yang boleh mengubati ketagihan parti itu terhadap dadah rasuah. Persidangan yang baru berlangsung itu tidak dapat mengejutkan para perwakilan dengan berita penemuan vaksin baru yang mujarab untuk mengubati ketagihan. Saranan daripada pucuk pimpinan nampak ketara hanyalah omong-omong kosong seperti laungan penjual ubat di kaki lima Jalan Masjid India.

Malah persidangan yang lepas telah memperlihatkan betapa giannya ahli-ahli Umno terhadap dadah rasuah. Lihat sajalah bagaimana bangkai politik Tuan XX dibangunkan kembali dari kuburnya oleh perwakilan Umno. Bangkai yang telah mati akibat overdose (terlebih suntikan) tiba-tiba dinobatkan ke pucuk pimpinan tertinggi.

Para perwakilan Umno secara sedar telah "bersembahyang" untuk menghidupkan kembali bangkai politik Tuan XX untuk dijadikan polong yang memimpin mereka.

Kes Tuan XX ini samalah seperti kisah seorang Mat Gian yang dihantarkan ke pusat Serenti selama dua tahun. Setelah dua tahun di pusat pemulihan, pemimpin kanan Umno ini disahkan sihat dan pulih. Sebaik saja keluar dari pusat pemulihan, Tuan XX pun terus melawat lorong-lorong kawasan operasi dan menemui kawan-kawan lamanya. Tanpa segan-silu, tanpa banyak perhitungan, pemadat Umno terus menerima Tuan XX dengan hati terbuka.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Tuan XX dengan senang hati diterima semula ke pangkuan Umno seperti belut pulang ke lumpur. Maka berpestalah seluruh Mat Gian Umno di foyer PWTC dan di hotel-hotel mewah Kuala Lumpur untuk merayakan kepulangan Tuan XX.

Di persidangan agung yang baru lalu, Tuan XX datang kembali ke lorong-lorong gelap Umno dan terus dilantik untuk menjadi pengedar dadah rasuah baru yang berpengalaman.

Apa yang menggerunkan rakyat Malaysia yang prihatin ialah ketagihan dadah rasuah dalam badan politik Umno sekarang telah melimpah ruah kepada lembaga-lembaga daulah. Pengaruh dadah rasuah Umno ini sedang menghakiskan keyakinan rakyat terhadap lembaga-lembaga yang menjadi rangka utama kenegaraan kita.

Tidak ada satu pun lagi lembaga daulah yang tidak terpalit najis dadah rasuah Umno. Najis dadah jenis rasuah ini juga dapat menerobos masuk ke lembaga- lembaga yang bersangkut paut dengan bidang kepercayaan dan keimanan. Dadah yang disuntikkan ke dalam badan akhirnya akan memusnahkan jati diri badan tersebut.

Akan sampai juga ke satu tahap badan itu tidak lagi dapat digerakkan walaupun disuntik dengan pelbagai jenis dadah. Ciri-ciri ini telah mula kelihatan dalam badan politik Umno. Taukeh utama penyebar dadah jenis rasuah dalam Umno tentunya pemimpin utamanya.

Beliau pernah memberi nasihat, memberi teguran, ingatan, mengugut dengan tangisan serta emosi, malah taukeh ini sanggup pula berdoa agar dadah rasuah tidak terus diedarkan dalam Umno.

Sayang semuanya telah terlambat. Air mata darah Mahathir sekali pun tidak akan dapat menyelamatkan Umno daripada dadah rasuah. Sekarang kita hanya menunggu suntikan terakhir yang akan menazakkan badan politik Umno. Minggu lepas kita melihat Umno terus berpesta di PWTC, marilah kita sama-sama menumpang kegembiraan sambil menyanyikan lagu, "Umno terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan".