Hujan tidak ribut pun tidak, tiba-tiba guruh Badan Pencegah Rasuah berdentum lalu "memeranjatkan" orang ramai dengan berita "lesen terbang."

Mek Ngoh dan Mat Ali dari Kampong Bohol Pantai Dalam menjadi terpinga-pinga kerana tersentak, rupa-rupanya BPR masih wujud.

Selama ini mungkin ada orang menyangka BPR itu Badan Pelancong Rekreasi - nama sebuah syarikat swasta Ali Baba yang membawa pelancong Eropah datang melawat ke Taman Negara.

Anggapan ini salah. Tapi pada hakikatnya, inilah persepsi orang ramai terhadap BPR. Badan ini dilihat tidak berwibawa. Keyakinan orang ramai cukup tipis terhadap peranan dan keupayaannya untuk melakukan sesuatu terhadap gejala rasuah. Mengikut istilah popular di warung teh tarik, badan ini "tak ada tel*r."

Kejelekan orang ramai terhadap rasuah, tumbuk rusuk, duit kopi, sogok atau korupsi tidak memerlukan pengkajian peringkat ijazah PhD untuk membuktikannya.

Orang ramai sedar akan karenah rasuah. Orang ramai sedar bahawa apa saja yang ingin mereka lakukan, jika ada kaitan dengan jabatan kerajaan, maka rasuah amat diperlukan untuk melicinkan kerja itu.

Jika kecil perkara yang perlu diselesaikan, maka kecil pula jumlah sogokan. Jika kerja atau tender besar yang dilamar maka besar pula ongkos yang diperlukan.

Kira-kira 20 tahun kebelakangan ini telah muncul satu persepsi baru - rasuah dilihat "perlu" dilakukan sebagai pelincir untuk menjalankan apa saja aktiviti - daripada urusan rasmi, setengah rasmi, persendirian mahu pun swasta. Persepsi ini telah mula diterima bahawa budaya rasuah tidak mungkin dapat dilupuskan.

Persepsi ini juga menunjukkan satu-satu pekerjaan atau perniagaan hanya akan berjaya jika transaksi rasuah dilakukan. Sejumlah wang ringgit, barangan, hadiah, khidmat - termasuk khidmat seks - wajib bertukar tangan.

Secara sinis orang ramai telah mula sanggup hidup bersama rasuah asalkan pekerjaan, perniagaan atau kehidupan mereka tidak terbantut. Justeru rasuah telah dilihat dan diterima secara tidak rasmi sebagai satu jalur budaya Malaysia.

Sikap orang ramai terhadap rasuah dan BPR begitu sinis sekali, sehinggakan mereka melihat kes "lesen terbang" BPR ini sebagai satu lagi "sandiwara" kerajaan.

Seakan-akan sandiwara "mengutuk" bas mini dahulu, padahal tujuan akhirnya ialah untuk memberhentikan khidmat itu dan memberikan laluan kepada syarikat bas kepunyaan kroni.

Dengan sinis orang ramai melihat kes "lesen terbang" bertujuan memperlihatkan kepada umum betapa bobroknya pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) sehingga sanggup memperjudikan keselamatan orang ramai di jalan raya.

Untuk menyelesaikan "karenah rasuah pegawai JPJ," maka JPJ seharusnya diswastakan.

Sikap sinis ini timbul kerana orang ramai telah mengetahui "kerenah duit kopi" JPJ ini semenjak zaman Tok Adam lagi.

Pegawai-pegawai BPR saja yang gagal mengetahui budaya ini - mungkin kerana mereka datang ke pejabat dengan menaiki kapal selam!

Minggu ini pula, orang ramai terbaca untuk pertama kalinya tentang berjuta-juta duit syarikat besi keluli negara, Perwaja yang telah bersiar-siar makan angin mengelilingi dunia.

Dari ceruk Terengganu, duit ini bersiar-siar keluar dan masuk bank di Kuala Lumpur, kemudian mengikut orang Jepun terbang ke Hong Kong dan singgah di Virgin Island.

Kemudian entah apa yang berlaku, mungkin duit ini tidak mempunyai pasport atau visa lawatan, maka ia terpaksa ditahan di dalam bank di Switzerland.

Ini juga mungkin satu lagi opera sabun syarikat Perwaja yang berdasarkan sebuah cerita rakyat dari Terangganu. Cerita Perwaja ini telah banyak dipungut dan disurahkan oleh pelbagai Tok Selampit terutama dari parti pembangkang.

Malah bekas ahli parlimen Barisan Nasional kawasan Dungun, musim lalu, pernah bertanya dan menyuarakan pendapat pada tahun 1996 tentang kesihatan syarikat ini.

Sikap sinis orang ramai ini juga di perkukuhkan lagi oleh kenyataan Datuk Ahmad Zaki Husin, Pengarah BPR. Akhbar-akhbar arus perdana telah melaporkan bagaimana pengarah badan ini berasa hairan, tertanya-tanya dan tidak tahu bagaimana duit sebanyak ini dapat meninggalkan ceruk Terengganu. Beliau juga tertanya-tanya apakah duit ini masih berlonggok lagi di dalam Bank Swiss.

Orang ramai juga turut sama sedih dan hairan. Ada juga orang yang "terperanjat beruk." Tetapi bukan hairan tentang bagaimana wang sebanyak ini boleh terbang keluar.

Orang ramai hairan kerana seorang Datuk tidak tahu atau lambat sekali mendapatkan maklumat tentang perjalanan duit sebanyak ini.

Orang ramai berasa sedih dan kecewa kerana Datuk ini kurang arif menjalankan tugasnya. Maka terpaksalah Tok Selampit dari Parti Rakyat Malaysia, Aliran, atau DAP bangun untuk menunjukkan cara mendapatkan maklumat yang diperlukan melalui kenyataan akhbar mereka (yang tidak pula dilaporkan di akhbar kita).

Orang ramai terus tertanya-tanya, kenapalah ngok sangat Datuk BPR kita ini? Sudah terang lagi bersuluh!

Bukanlah susah untuk mengetahui bagaimana duit Perwaja ini terbang keluar. Panggil saja bekas Ketua Pengawai Eksekutif Eric Chia datang ke pejabat dan jalankan soal siasat.

Dalam sesebuah syarikat pasti ada lembaga pengarah dan ada orang yang bertanggung jawab mengeluarkan duit atau cek. Siapa mereka yang terlibat dalam kes ini? Tidak mungkin hal ini pun tidak dapat diketahui oleh Datuk BPR ini. Mustahil, bukan?

Memang tidak masuk akal. Malah kita tidak memerlukan James Bond atau FBI untuk membuat siasatan ini. Semua rakyat Malaysia sudah tahu opera sabun Perwaja ini.

Jadi kenapakah susah sangat untuk mendapatkan maklumat dari Perwaja itu? Apa yang menyebabkan BPR tiba-tiba hilang punca maklumat yang begitu penting?

Kalau begini susah untuk mendapatkan maklumat maka dicadangkan agar Datuk BPR ini pergi ke Kemaman dan berjumpa dengan Pok Yeh tukang jual keropok lekor.

Pok Yeh sebagai rakyat Terengganu yang prihatin pasti dapat memberi bantuan atau setidak-tidaknya mengingatkan nama taukeh besar yang menjaga syarikat besi itu kepada Ahmad Zaki.

Maklumat dari Pok Yeh ini akan diberi secara percuma dan tidak memerlukan duit kopi. Hanya satu ingatan kepada Datuk BPR ini: harap jangan datang dengan kapal selam kerana kedai Pok Yeh agak jauh dari kuala sungai.