Raja zalim disanggah
Empat keping gambar Ketua Hakim, Tun Eusoff Chin, bersama dengan peguam V. K Lingam bukanlah penemuan baru. Untuk masyarakat internet dan pejuang siber, gambar-gambar ini sudah dua tahun lalu diketahui, ia beredar dan berpusing-pusing di pelbagai laman, dari laman-laman proreformasi hinga ke berbagai-bagai kumpulan diskusi maya.
Datuk Rais Yatim, menteri undang-undang samalah seperti seorang suami yang tidak sedar bahawa isterinya sedang 'bermain kayu tiga', walhal seluruh dunia telah bercakap tentang hubungan sulit isterinya.
Hanya apabila beliau diwawancara oleh radio Australia akhir bulan lalu, beliau berani mengakui hakikat bahawa ada sesuatu yang 'tidak kena' dalam lembaga kehakiman negara.
Bagi rakyat jelata yang belum melihat gambar-gambar ini, pasti mereka kurang jelas apakah yang sedang dibincangkan oleh akhbar-akhbar arus perdana minggu lepas sehingga isu gambar ini menjadi berita induk.
Seperti biasa, akhbar negara kita melencong daripada tugas kewartawanannya kerana gagal memaparkan gambar yang sedang diperkatakan itu.
Kenyataan Eusoff yang disambut oleh pepatah-petitih Rais masih belum dapat menyelesaikan isu yang tersirat di sebalik gambar-gambar ini. Ugutan Eusoff untuk membawa sesiapa saja ke mahkamah jika terus menuduh percutiannya dibayar oleh pihak ketiga samalah seperti seekor biawak yang tersepit.
Biawak ini tidak dapat melakukan apa-apa kecuali menyerang dengan menjelirkan lidahnya yang bercabang.
Barah yang dihadapi oleh lembaga kehakiman negara kita ini bukan tiba-tiba terjadi dua minggu lepas. Barah ini telah lama menular ke pelbagai ruang organ lembaga kehakiman. Virus barah ini telah mula tertanam sejak 1988 lagi apabila ketua hakim waktu itu, Tun Salleh Abbas, dipecat secara kontroversi.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Eusoff pada sidang akhbarnya dua minggu lepas hanyalah isu sampingan.
Sama ada beliau ''terserempak , terlanggar, terantuk atau tersepak'' dengan Lingam bukan perkara hakiki yang wajib ditimbulkan. Berdolak-dalik dan bersilat lidah adalah sebahagian dari ilmu yang dipelajari oleh para peguam.
Malahan di negara kita bersilat lidah, bukan hanya metier peguam atau hakim, tetapi telah menjadi satu seni. Jadi rakyat jelata tidak perlu 'ambil pot' (meminjam istilah anak muda) tentang hal ini.
Isu asasi yang wajib kita sama-sama timbulkan di sini ialah tanggapan rakyat jelata terhadap lembaga kehakiman itu sendiri. Lembaga kehakiman ialah tiang seri yang menonggak perlembagan negara.
Lembaga ini wajib bergerak bebas untuk melakukan tugas-tugas kehakiman. Tanpa lembaga kehakiman yang bebas, tidak mungkin wujud sebuah masyarakat madani yang adil.
Lembaga ini wajib bebas bukan hanya daripada pengaruh politik dan eksekutif tetapi daripada semua bentuk pengaruh. Sama ada individu ini anak raja, seorang menteri atau bekas penjual insurans - mereka tidak dibenarkan mempengaruhi lembaga ini.
Lembaga kehakiman wajib dilihat suci dan bersih kerana ia bertanggungjawab menterjemah semangat perlembagaan kita yang menjadi badan panyatuan kenegaraan kita.
Kebebasan lembaga ini bukan hanya pada isi perjalanan, malah kulitnya pun wajib dilihat bebas. Kulit lembaga ini sama pentingnya kerana rakyat jelata dapat merumuskan persepsi mereka melalui apa yang mereka dengar dan lihat.
Orang ramai tidak mungkin dapat mentelaah dengan terperinci kes-kes perbicaraan. Rakyat tidak terlatih dalam hal-ehwal kehakiman dan perundangan. Pengurusan undang-undang dilihat kompleks atau penulisannya pula kelihatan terlalu teknikal. Walau rakyat tidak dapat memahami perundangan secara terperinci, tetapi tidak bermakna mereka tidak mempunyai persepsi terhadap sesuatu kes yang sedang berjalan.
Rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan budaya telah mempunyai nilai - apa yang dianggap 'adil' dan 'zalim'. Melalui nilai-nilai budaya, mereka dapat memahami semangat perundangan itu. Masyarakat feudal Melayu melihat raja sebagai jelmaan lembaga daulah, legislatif dan eksekutif.
Kerana ini, masyarakat Melayu telah melahirkan diktum "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Diktum ini adalah intipati persepsi masyarakat Melayu terhadap sistem dan lembaga perundangan.
Sayangnya hari ini persepsi rakyat jelata terhadap lembaga kehakiman semakin terhakis. Penghakisan ini bukan bermula dengan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kes Anwar hanya memperkuatkan lagi tanggapan rakyat bahawa lembaga kehakiman negara kita ini tidak bergerak dengan bebas.
Isu pemecatan Tun Salleh kemudiannya menjadi salah satu agenda politik Parti Melayu Semangat 46. Kempen-kempen politik parti ini sedikit sebanyak telah menular dan masuk ke dalam persepsi rakyat jelata.
Malah Rais sendiri, yang menjadi protagonis utama Semangat 46 begitu yakin tentang wujudnya kesongsangan kuasa dalam lembaga kehakiman. Beliau secara ilmiah telah membuktikan kesongsangan ini melalui tesis kedoktoran falsafahnya.
Semua ini ibarat anai-anai yang sedang menghakiskan persepsi rakyat jelata. Anai-anai akan bergerak tanpa berhenti-henti. Sedikit demi sedikit anai-anai ini berupaya menghakiskan kepercayaan rakyat jelata terhadap tiang seri perlembagaan negara kita.
Gambar percutian Eusoff hanya bahan-bahan mentah yang ranum sebagai habuan anai-anai yang sedang menyerang. Sehingga hari ini, masih belum ditemui satu bahan kimia yang dapat memusnahkan anai-anai ini. Perlantikan Menteri Undang-undang atau penggantian Peguam Negara hanyalah semburan racun serangga sementara.
Untuk mengembalikan keyakinan rakyat jelata terhadap lembaga kehakiman ini bukan satu yang mudah. Satu salinan tiket kapal terbang atau resit-resit hotel dan kad kredit tidak mungkin dapat menampung penghakisan keyakinan rakyat.
Sama seperti Panglima Awang yang telah difitnah dan dizalami, rakyat jelata hari ini terutama masyarakat Melayu sedang menunggu Sultan Mahmud Shah yang sedang mabuk dijulang kuasa untuk jatuh menyembah ke bumi.

