Perjalanan sejarah tamadun manusia tidak lurus, teratur atau bertingkat-tingkat - membawa manusia kepada satu tahap yang lebih selesa daripada apa yang sedia wujud. Karl Marx, ahli sosiologi yang masih mempengaruhi pandangan dunia moden hari ini, memberikan tafsiran bahawa perjalanan tamadun manusia diikat oleh hukum sejarah perjuangan kelas.

Sayangnya, Marx terlupa untuk turut menyelitkan bahawa sejarah tamadun manusia juga terikat oleh hukum sejarah pengkhianatan. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami tentang hukum sejarah pengkhianataan ini.

Dua dekad yang lepas, kita melihat arus sejarah pengkhianatan ini berlaku ke atas masyarakat Malaysia sendiri. Hukum ini dapat dilihat dan dibaca dalam jelmaan gerak politik Tan Sri Musa Hitam.

Manusia yang bernama Musa Hitam pada hari ini tidak lagi memainkan apa-apa peranan politik arus perdana.

Sejak meninggalkan pentas rasmi politik pada tahun 1987, beliau dilihat sebagai seorang 'warga negara yang tua' -- bukan dalam konteks seorang tua yang sudah pencen, kerana pandangan beliau masih lagi diteliti oleh ramai orang. Musa masih menjadi tempat rujukan di kalangan pelajar dan pengamal politik hari ini.

Kerana detik-detik perjalanan sejarah dalam tempoh 13 tahun lalu, Musa berdiri dalam keadaan politik sebagaimana sekarang. Detik-detik sejarah inilah yang dilihat sebagai unsur yang telah mengalihkan gerak politiknya.

Beberapa minggu kebelakangan ini, nama Musa muncul kembali. Pada 19 Februari lalu, Musa menyampaikan satu ucapan di upacara perasmian mesyuarat berkelompok cawangan Umno dalam bahagian Johor Bahru.

Teks ucapan ini dikutip dan disiarkan sepenuhnya dalam beberapa laman web, didahului oleh malaysiakini. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris mewawancara Musa untuk menggali lebih lanjut isi dan saranan daripada teks ucapan ini. Ucapan Musa itu juga dikutip oleh beberapa agensi berita luar negara.

Isi teks ucapan ini menjadi begitu penting kerana ia lahir dalam suasana politik Umno yang sedang berada dalam 'kawasan paya lembut.' Justeru, pandangan Musa dilihat sebagai rasional dan munasabah tanpa disadur kepentingan politik peribadi.

Pendapat yang dilontarkan oleh Musa boleh dibaca sebagai satu pandangan yang memungkinkan badan politik Melayu melihat dan mencari jalan keluar daripada terus disedut tenggelam ke dalam paya lumpur kemusnahan. Sayangnya, media arus perdana berbahasa Melayu, seperti biasa, telah meminggirkan teks ini daripada pengetahuan umum.

Untuk memahami lebih dekat lagi tentang fenomena sejarah manusia Musa ini, kita boleh melihat poll atau pungutan suara yang telah dijalankan di dua laman internet yang terpenting di Malaysia.

Pungutan ini dilakukan untuk melihat siapakah di antara ahli-ahli politik masa kini yang diperlukan oleh rakyat untuk menjadi pemimpin mereka. Pungutan suara ini muncul untuk melihat trend politik yang sedang berlaku dan ia bersangkutan dengan pemilihan pucuk pimpinan Umno pada bulan Mei depan.

Laman Reformasi, sebuah laman internet berbahasa Melayu yang menerima paling ramai pembaca di Malaysia, telah memulakan pungutan ini dua minggu yang lalu. Seramai 2234 responden telah membuat pilihan.

Hingga semalam, sebanyak 42 peratus responden memilih Musa sebagai pemimpin yang layak untuk memimpin Umno dan seterusnya memimpin Malaysia. Tokoh-tokoh kanan dan berpengaruh dalam parti itu, seperti Tengku Razaleigh, Abdullah Badawi, Najib Tun Razak dan Mahathir Mohamad semuanya ditinggalkan jauh oleh Musa Hitam.

Sebuah lagi laman web, FreeMalysia, yang berbahasa Inggeris menjalankan pungutan yang sama. Dalam pungutan di FreeMalaysia, Mahathir mendapat 8 peratus, Ku Li mendapat 39 peratus dan manakala Musa pula mendapat 47 peratus.

Daripada dua tinjauan itu, Musa dilihat sebagai ahli politik yang paling layak memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri negeri ini.

Keputusan pungutan suara daripada dua laman web ini cukup menarik.

Majoriti pembaca Laman Reformasi terdiri daripada golongan Melayu, manakala FreeMalaysia pula dari kalangan bukan Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi dua pungutan ini memberikan jawapan yang sama.

Jadi jelas kelihatan bahawa rakyat Malaysia masih melihat dan mungkin menyimpan harapan agar Musa menjadi pemimpin mereka.

Apakah yang menarik orang ramai untuk menyimpan hasrat terhadap seseorang yang bernama Musa Hitam?

Bagi golongan kelas menengah, mereka mungkin melihat Musa sebagai seorang demokrat tulen. Babak sejarah yang memperlihatkan sifat demokrat Musa Hitam ialah pada tahun 1985, ketika menyelesaikan kes pilihanraya negeri Sabah.

Musa sebagai Menteri Dalam Negeri waktu itu menghormati keputusan rakyat dalam pilihanraya Sabah walaupun muncul krisis perebutan jawatan Ketua Menteri daripada parti komponen Barisan Nasional.

Sebagai menteri, Musa tidak menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk mengkhianati rakyat Sabah.

Untuk generasi muda pula, mereka mungkin melihat Musa sebagai mewakili jalur politik yang lebih liberal, terbuka dan berupaya menerima bentuk-bentuk budaya baru. Sifat keterbukaan seseorang pemimpin amat menarik golongan muda. Keterbukaan politik yang ikhlas, bukannya kepura-puraan atau satu tugas PR (perhubungan awam) seorang ahli politik.

Bagi orang Melayu, terutama mereka yang berbudaya Umno, Musa mungkin dilihat sebagai jelmaan Melayu tulen yang mewakili kemelayuan mereka. Musa tidak dilihat berpura-pura tenggelam dalam budaya Arab-Islam. Juga beliau tidak dilihat berpura-pura membawa apa

yang dipanggil falsafah 'Melayu Baru' atau berpura-pura untuk dilihat sebagai seorang 'renaissance man'. Musa dianggap Melayu setulen Melayu Tun Razak.

Semua ini menarik orang ramai untuk terus melihat dan menyimpan harapan terhadap seorang manusia bernama Musa Hitam. Tetapi hakikatnya, harapan dan realiti adalah dua perkara yang berbeza.

Di Britain, Dennis Healey dianggap oleh rakyat British sebagai 'the Prime Minister we never had' atau 'Perdana Menteri yang gagal kami miliki'.

Healey pernah menjadi menteri antara 1964 hingga 1979 dalam kabinet Perdana Menteri Harold Wilson dan James Callahan. Beliau mempunyai ketrampilan politik yang unggul tetapi sayangnya kerana hukum sejarah, beliau gagal menjadi Perdana Menteri Britain.

Musa juga boleh dianggap 'Perdana Menteri yang gagal kita miliki'. Beliau berada dalam kabinet empat Perdana Menteri Malaysia, bermula zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah Dr Mahathir. Kerana hukum sejarah, beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri.

Musa mempunyai kualiti kepimpinan, ketrampilan politik dan sifat seorang demokrat. Semua ini merupakan adunan yang baik untuk melahirkan seorang Perdana Menteri.

Dari sini terbukti bahawa perjalanan sejarah manusia bukan hanya perjuangan kelas. Sejarah manusia juga dipenuhi pengkhianatan.

Hukum sejarah dua dekad ini mengkhianati rakyat Malaysia. Musa Hitam dinafikan daripada menjadi Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia.