Syawal - pengukur pengaruh politik Melayu?
Rencana khas untuk Hari Raya
Tiga tahun lalu kehadiran rakyat ke majlis sambutan Hari Raya Puasa terutamanya di kediaman Perdana Menteri di Sri Perdana, rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Damansara dan rumah terbuka PAS di Taman Melewar, Gombak, dijadikan kayu pengukur populariti pemimpin dan parti-parti terbabit.
Panjangnya barisan rakyat mengunjungi rumah terbuka para pemimpin itu telah dipolitikkan. Ramainya jumlah sesuatu kaum datang berhari raya telah dieksploitasi untuk propaganda politik walaupun sebahagian besarnya hanya pergi untuk mencari lemang dan rendang percuma atau mahukan duit raya.
Begitulah tingginya suhu politik negara pada 1998 hingga tahun 2000. Akhbar-akhbar arus perdana menggembar-gemburkan bahawa barisan rakyat yang melimpah hingga ke lebuhraya berhampiran bangunan Parlimen, mencerminkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan Perdana Menteri.
Harakah , lidah rasmi PAS pula menggembar-gemburkan bahawa lebih 50 gantang pulut lemang dan rendangnya, lebih 100,000 cucuk sate habis dimakan oleh lebih 100,000 pengunjung rumah terbukanya sebagai petanda sokongan padu rakyat kepadanya dan Barisan Alternatif (BA).
Komposisi kaum
Komposisi kaum yang mengunjungi rumah-rumah terbuka ini juga ditafsir sebagai tahap sokongan sesuatu kaum itu kepada pemimpin-pemimpin berkenaan. Pada tahun 1998 dan 1999 umpamanya kekurangan pengunjung Melayu ke Seri Perdana dianggap sebagai protes kepada kerajaan dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Majoriti pengunjung Seri Perdana pada 1 Syawal itu adalah kaum Cina dan India. Jumlah orang Melayu terlalu kecil. Keadaan ini ditafsirkan sebagai kebencian dan kemarahan orang Melayu kepada kerajaan dan Umno setelah berlaku krisis politik antara Mahathir dan Anwar.
Tafsiran para nujum politik itu nampaknya ada benarnya. Dalam pilihanraya umum November 1999, sokongan terhadap Umno terjejas kerana majoriti pengundi Melayu memilih PAS dan Parti Keadilan Nasional.
Kemarahan orang Melayu terhadap Dr Mahathir dan Umno itu dikatakan berlarutan hingga ke tahun 2000 walaupun pilihanraya umum telah selesai. Tanggal 1 Syawal tahun lalu dijadikan ukuran sejauh mana pulihnya imej kerajaan, Umno dan Perdana Menteri.
Ribuan orang Melayu dan bukan Melayu berkunjung ke Putrajaya dan ia diterjemahkan oleh media arus perdana sebagai gambaran imej dan populariti Mahathir dan kerajaannya telah pulih.
Buah tangan untuk Azizah
Bagaimana pula agaknya tafsiran nujum-nujum politik dan media massa terhadap suasana hari raya kali ini. Adakah Putrajaya, Bukit Damansara dan Taman Melewar akan meriah dan ceria sebagaimana tahun-tahun yang lalu?
Berapa puluh gantang pulut lemang dan berapa cucuk sate akan disediakan oleh Perdana Menteri dan PAS untuk rakyat dan penyokong masing-masing?
Yang pastinya Bukit Damansara akan menyajikan keadaan yang sebaliknya. Walaupun ribuan datang berkunjung ke kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri sejak 1998, mereka tidak disajikan juadah yang lumayan. Malahan ramai membawa bekalan atau buah tangan untuk diberikan kepada keluarga pemimpin reformasi itu.
Ramai pemerhati politik berpendapat, suasana sambutan rumah terbuka Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan PAS kali ini akan berubah. Mereka menjangka kunjungan rakyat khususnya orang Melayu ke Putrajaya akan bertambah berikutan kejayaan kerajaan 'menjinakkan' aktiviti serta pengaruh BA.
Seorang pemerhati veteran berkata, Umno sudah pulih dan kedudukan Mahathir sangat kuat sekarang. Kejayaan kerajaan mengekang ceramah umum, mengeksploitasi isu militan Islam dan peperangan di Afghanistan telah meletakkan PAS dalam keadaan tertekan.
"Orang bukan Islam terutamanya telah percaya bahawa PAS adalah Islam yang ganas kalaupun tidak seteruk Taliban, menyebabkan pengaruh PAS yang baru hendak bercambah di kalangan bukan Islam terus terbantut," katanya.
Beliau juga berpendapat bahawa kejayaan Mahathir menangani kelembapan ekonomi telah memenangi hati rakyat, termasuk kakitangan awam yang telah 'dijinakkan' dengan kenaikan gaji, bonus, kenaikan elaun anggota tentera dan pangkat bagi para guru.
Kurang meriah
Pemerhati politik juga menjangka sambutan hari terbuka di Bukit Damansara akan kurang meriah tahun ini kerana Keadilan masih bergolak dengan masalah dalaman yang menyebabkan ramai penyokong dan ahlinya kebingungan dan kecil hati.
Barisan rakyat yang mengunjungi Wan Azizah mungkin tidak sepanjang tahun-tahun sebelumnya. Ini tidak memeranjatkan kerana sejak penahanan 10 aktivis parti itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun lalu dan selepas pemilihan parti itu pada 11 November lalu, graf sokongan rakyat kepada parti ini telah menurun.
Perpecahan dalam parti di antara puak yang pro Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan bukan Abim, mendorong ramai ahli dan pemimpin angkatan belia itu "balik berhari raya di kampung".
Tanda kekuatan
Keadaan di ibu pejabat PAS di Taman Melewar, Gombak bagaimanapun dijangka terus meriah kerana penyokong dan ahli parti terus taksub pada perjuangan parti walaupun terus menerus menerima tekanan daripada kerajaan. Mungkin kali ini jumlah pengunjung bukan Melayu akan berkurangan kerana DAP masih terluka oleh isu negara Islam PAS dan imej Taliban masih membelenggu parti itu.
Kesimpulannya, sambutan rumah terbuka pada bulan Syawal ini akan menggambarkan betapa kuatnya kerajaan, Umno dan Mahathir sekarang dan mendedahkan kemerosotan pengaruh PAS dan Keadilan.
Adakah senario yang menyebelahi kerajaan ini memungkinkan pilihanraya umum diadakan lebih awal? Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi telah menegaskan ia tidak mungkin berlaku kerana pilihanraya ke-10 baru dua tahun berlalu.
Tetapi itu kata Abdullah, bukan kata Mahathir. Percaturan politik Mahathir sukar untuk dibaca kerana kaya dengan kejutan!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.