Anggapan bahawa gerakan reformasi itu sama maknanya dengan demonstrasi merupakan takrifan yang tidak penuh walau hingga ke hari ini masih ramai yang beranggapan begitu.

Seperti juga orang ramai melihat gerakan pelajar pada tahun 1970-an: terus diasosiasikan dengan demo dan tunjuk perasaan.

Pada hakikatnya gerakan pelajar waktu itu mencakupi pelbagai cabang - khidmat kebajikan siswa, dana pinjaman siswa, biasiswa untuk pelajar tercicir dan kelas bimbingan percuma, termasuk khidmat sosial untuk masyarakat desa.

Demo menjadi ingatan kolektif kita kerana wujudnya imej-imej yang terpahat idalam ingatan. Gerakan demo Baling akan diingati dengan imej-imej orang kampung berarak membawa sepanduk tuntutan mereka. Tasek Utara akan diingati dengan imej peneroka bandar mendirikan khemah di hadapan pejabat menteri besar.

Imej pelajar bertempur dengan FRU atau ditahan oleh polis akan terus menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif itu.

Massa mendobrak

Justeru imej "demo" terus terpahat dalam ingatan orang ramai. Dua tahun dahulu, Gerakan Reformasi memperkuatkan lagi imej demo ini. Manifestasi yang paling unggul dan menonjol dalam gerakan itu ialah ombak rakyat berarak di jalan raya.

Ribuan rakyat yang bangun menolak Barisan Nasional dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini terpahat sebagai Gerakan Reformasi.

Tetapi sebenarnya falsafah dan ideologi reformasi itu luas dan mencakupi berbagai jalur. Reformasi boleh dikotakkan sebagai gerakan massa yang bangun mendobrak dan mengganyang sistem lama yang telah kotai, korup dan tidak boleh digunakan lagi.

Reformasi ialah bantahan dan penentangan rakyat terhadap lembaga-lembaga daulah - kerangka yang memperkukuhkan sistem korup kerajaan Barisan Nasional hari ini.

Lembaga-lembaga seperti kehakiman, polis, media, termasuk pilihanraya itu sendiri telah dilihat korup dan tidak boleh dipercayai. Persepsi orang ramai terhadap lembaga-lembaga ini telah merosot dan merundum ke tahap air limbah. Justeru Gerakan Reformasi menuntut perubahan dilakukan terhadap lembaga-lembaga ini.

Taktik pecah-perintah BN

Perubahan ini wajib dilakukan; bukan untuk kepentingan individu. Mendobrak sistem yang korup adalah tanggungjawab bersama.

Dari segi falsafah, Gerakan Reformasi secara luas menghala kepada kepentingan ramai. Reformasi yakin bahawa apabila kepentingan ramai terjamin, maka dengan sendirinya kepentingan dan hak individu akan dinobatkan.

Kepentingan kolektif mendahului kepentingan individu. Perubahan yang dituntut itu secara menyuluruh walau tuntutan yang diajukan itu secara berperingkat-peringkat melalui pelbagai kelompok yang berkepentingan.

Jika dikumpulkan agenda, rayuan dan tuntutan kelompok-kelompok ini, maka akan dapat dilihat satu Gerakan Reformasi yang menyeluruh.

Dua tahun kebelakangan ini telah ada pencapaian kualiti dari segi budaya falsafah Gerakan Reformasi. Contoh yang paling unggul ialah kewujudan Barisan Alternatif yang telah mendukung kesefahaman politik pilihanraya.

Dukungan ini hanya wujud apabila sentimen yang begitu kuat daripada akar umbi yang mendesak parti-parti politik ini bersatu mendobrak musuh bersama. Mengenepikan perbezaan garis politik untuk menghadapi musuh utama adalah ideologi reformasi yang saintifik.

Barisan bersatu ini membawa makna yang cukup mendalam. Taktik pecah dan perintah yang menjadi senjata BN dan Umno selama ini semakin tidak mujarab. Buktinya ialah hu-ha hu-ha tentang ketuanan Melayu dan hak keistemewaan Melayu yang cuba dimain-mainkan oleh Pemuda Umno tidak lagi dibeli oleh orang Melayu.

Parti Cina di Kg Baru

Agenda "Melayu" Pemuda Umno menjadi kempis dan hambar; hanya membuktikan betapa bankrapnya pertubuhan politik itu.

Budaya baru dan falsafah yang dibawa oleh arus reformasi ialah penerimaan orang-orang Melayu terhadap DAP di kawasan-kawasan tradisional Melayu. Secara menyeluruh, DAP tidak lagi dilihat sebagai "parti musuh" atau "parti Cina."

Anak-anak muda Melayu tidak berasa takut, segan atau malu mengibarkan bendera yang berlambangkan roket. Dari segi semiotik (kajian tentang lambang dan makna), tanda dan makna yang dibawa oleh roket DAP kini sedang memancarkan erti yang baru.

Contohnya Kampung Baru di pinggir Kuala Lumpur, dari segi pensejarahannya boleh dibaca sebagai kubu Melayu. Tetapi, seminggu sebelum pilihanraya November lalu, bendera dan lambang DAP telah dipasang di merata tempat di kampung ini. Ini adalah contoh anjakan paradigma Melayu yang radikal akibat budaya reformasi.

Aksi massa di jalanan, satu lagi jalur budaya reformasi, telah berjaya membuka mata orang ramai untuk melihat kebokrokan sistem yang sedia wujud. Untuk pertama kali, undang-undang menindas seperti ISA telah dilihat umum sebagai senjata politik untuk mempertahankan mereka yang berkuasa.

Kebencian dan penentangan terhadap ISA begitu meluas. Kalau dulu ISA hanya dilihat sebagai kempen politik daripada parti kiri tetapi hari ini orang kampung, sehinggakan masyarakat Felda, telah menerima dan melihat undang-undang ini sebagai zalim dan bertentangan dengan kepercayaan agama mereka.

Tunggul dan banir politik

Budaya dan falsafah reformasi berjaya meyakinkan orang Melayu untuk tidak takut-takut menentang ISA.

Semua ini adalah sebahagian jalur-jalur budaya yang dibawa oleh gerakan reformasi.

Dua tahun ini adalah tempoh pertempuran fikrah antara kabilah yang ingin mempertahankan kezaliman dengan bani-bani yang ingin membawa perubahan. Pertempuran ini harus dilihat sebagai permulaan pencak silat pembuka gelanggang.

Cita-cita, mimpi, angan-angan dan khayalan untuk melahirkan sebuah masyarakat sivil masih lagi belum tercapai. Rintangan, tunggul dan banir politik masih banyak menghalang. Tetapi kerana gerakan reformasi ini muda, baru dan hidup maka ia berupaya untuk terus berkembang.

Agenda untuk mendirikan sebuah masyarakat yang adil agihan ekonominya, telus sistem pentabirannya dan progresif pandangan dunianya bukan mustahil.

Agenda ini cukup menarik, jika orang ramai membandingkan dengan apa yang sedia wujud. Yang wujud kini terbukti korup, zalim, bobrok, jelek, loya lagi meloyakan.

Budaya Gerakan Reformasi ibarat hujan di gurun pasir yang sedang menyirami benih-benih rasa tidak berpuas hati rakyat yang terkambus selama 43 tahun. Ia pasti bercambah dan melahirkan bunga-bunga perubahan.