Sokong ruang demokrasi Pemuda Umno
Saya berasa terperanjat dan hairan apabila mendengar ungkapan double standard ketika orang ramai membincangkan demonstrasi Pemuda Umno 18 Ogos lalu. Saya juga menjadi marah apabila mereka mempersoalkan sikap polis kerana tidak berbuat apa-apa.
Saya menjadi bertambah mual apabila ada orang menganggap perhimpunan Pemuda Umno itu sebagai perhimpuan haram kerana tidak mempunyai permit.
Saya berasa sedih apabila ungkapan dan kenyataan-kenyataan ini dikeluarkan oleh individu yang prihatin terhadap arah tuju negara ini. Dan saya paling kecewa apabila ungkapan dan kenyataan ini lahir dari mulut pemimpin-pemimpin politik dan opinion makers Barisan Alternatif.
Semua ini membuktikan bahawa kefahaman tentang konsep dan falsafah ruang demokrasi masih kurang jelas di kalangan kita. Kejulingan pandangan ini bukan hanya wujud di kalangan parti pemerintah tetapi tidak jauh bezanya di kalangan parti pembangkang.
Saya menyokong penuh hak Pemuda Umno untuk berkumpul, menunjukkan perasaan atau menyuarakan pendapat mereka secara terbuka. Ini adalah hak mereka. Sokongan saya bertujuan memperkukuhkan dan menghormati hak asasi dan konsep ruang demokrasi. Soal permit atau halal-haram perhimpunan itu tidak timbul.
Namun, ia timbul apabila kita gagal memahami ruang demokrasi dan hak-hak individu di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Atau sengaja berniat jahat untuk mencabuli hak-hak asasi rakyat yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Seorang pendukung demokrasi yang tulen akan menghormati hak sesiapa saja untuk berkumpul atau menunjuk perasaan. Sokongan ini bukan hanya untuk parti politik yang memerintah atau hanya untuk parti pembangkang, tetapi secara menyeluruh.
Pemuda Umno berhak untuk berdemo. Pemuda PAS juga mempunyai hak berhak berbuat demikian. Golongan reformis juga wajib mempunyai hak yang sama.
Di sinilah perbezaan seorang demokrat tulen dengan seorang yang cuba menyamar dan cuba memakai baju demokrat.
Sokongan saya terhadap Pemuda Umno atau sesiapa saja yang ingin mengadakan perhimpunan atau berdemo tidak pula bermakna saya menyokong dasar, isu atau agenda yang mereka utarakan. Disini ada garis pemisah yang jelas.
Dua perkara ini wajib dilihat berbeza-beza. Sokongan saya berlandaskan Perkara 10 di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pemuda Umno adalah warga negara Malaysia, dan sebagai rakyat mereka mempunyai hak yang sama dan wajib dihormati.
Sikap menghormati hak asasi adalah tulang belakang kelahiran sebuah masyarakat yang demokratik. Sikap ini wajib ditanamkan seawal yang mungkin kepada warga negara kita. Sikap demokratik ini akan menggalakkan pandangan terbuka, satu jalur pemikiran yang amat penting untuk memperkukuhkan ruang demokrasi.
Ruang demokrasi akan gagal berkembang jika kita tidak menyokong atau menggalakkan kumpulan, parti politik atau sesiapa saja untuk bebas memberikan pandangan mereka secara terbuka.
Mengeluarkan pandangan atau pendapat adalah hak asasi manusia. Setiap individu atau kumpulan mempunyai hak untuk bersuara. Hak ini tidak boleh diinjak-injak. Jika kita tidak bersetuju terhadap sesuatu pandangan, maka menjadi kewajipan kita untuk mengeluarkan hujah yang ampuh, ilmiah dan rasional sebagai jawaban balas. Tidak timbul konsep menekan atau menutup sesuatu pandangan daripada diketahui umum.
Justeru, kini sampai masanya untuk kita berhujah secara terbuka, rasional dan ilmiah apabila membincangkan sesuatu isu. Pandangan dan idea tidak ada yang halal dan tidak ada yang haram. Semuanya relatif dan bergantung kepada keadaan dan suasana.
Tidak mungkin sesiapa pun atau mana-mana parti politik memiliki kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakiki tidak pernah wujud untuk dimonopoli oleh sesiapa pun.
Dalam kes demonstrasi dua minggu lepas, Pemuda Umno juga wajib menghormati dan mendengar hujah yang diajukan kepada mereka. Jika Pemuda Umno mahu mengamalkan sikap demokratik, mereka juga wajib mendengar, menerima atau menolak pandangan-pandangan setelah dihujahkan secara terbuka.
Demokrasi hanya akan wujud jika kita berani mendengar pandangan pihak lawan. Untuk mendewasa, demokrasi memerlukan perdebatan. Pandangan yang bertelingkah atau berbeza akan membolehkan orang ramai melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut. Hanya melalui pelbagai idea dan pandangan, barulah ruang demokrasi dapat diperluaskan.
Hak asasi untuk menunjuk perasaan atau berkumpul secara aman hanyalah salah satu daripada ciri-ciri demokrasi. Seseorang demokrat harus menyedarkan orang ramai bahawa mengundi lima tahun sekali itu hanya sebahagian kecil dalam proses demokrasi.
Sistem demokrasi berparlimen mempunyai makna yang lebih luas daripada mengundi dan pilihan raya.
Justeru, untuk memastikan ruang demokrasi berkembang, orang ramai wajib mengambil bahagian dan bersuara secara individu atau kolektif - dengan cara menulis, bermesyuarat atau berdemo.
Orang ramai juga wajib mengambil bahagian untuk mengawal kuasa dan kuatkuasa daulah daripada melintasi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Ujian pertama minggu lepas menunjukkan banyak pihak yang gagal kerana banyak suara yang tidak menyokong hak Pemuda Umno untuk turun berdemo.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.