Hak istimewa: Idea Umno takutkan Melayu
Beberapa bulan kebelakangan, membincangkan hak keistimewaan Melayu menjadi fesyen sekali lagi. Malah dalam wacana ini dengan secara tidak sengaja terusik juga hal-hal yang bersangkutan dengan ketuanan Melayu.
Agenda Melayu ditimbulkan kembali oleh Umno kerana satu sebab sahaja: Melayu telah berduyun-duyun meninggalkan Umno. Orang Melayu mula menjadi bosan, jelek dan muak dengan parti itu. Keputusan piliharaya tahun lalu membuktikan dengan nyata sikap Melayu terhadap Umno.
Malah kebelakangan ini Umno sendiri terpaksa mengakui hakikat ini, walau pada awalnya, presiden parti ini dengan sombong bodoh cuba menafikan petunjuk melalui kertas undi itu.
Dalam pilihanraya lepas, Umno melakukan pelbagai tipu helah, penipuan, ugutan dan rasuah agar mendapat sokongan pengundi Melayu. Umno juga menerima segala macam sokongan dari jentera kerajaan, bantuan media arus perdana dan wang ringgit yang ditaburkan tetapi pengundi Melayu tetap berbondong-bondong meninggalkannya.
Jika pilihanraya tahun lalu berjalan di lantai yang sama rata, pasti Umno yang memimpin Barisan Nasional berjaya ditalkinkan oleh Barisan Alternatif.
Kebencian orang Melayu terhadap Umno telah lama terpendam. Segala salah guna kuasa, segala rasuah, segala putar belit dan kelentong Umno telah betimbun, bercambah. Hari ini kerenah Umno telah sampai ke tahap orang Melayu tidak lagi dapat menerima parti itu sebagai badan politik yang berwibawa dan relevan untuk mewakili mereka.
Dari segi sejarah, pada awalnya, segala kerenah Umno dilihat oleh orang Melayu sebagai satu usaha untuk menerapkan "agenda Melayu mengisi kemerdekaan." Setelah Merdeka, orang Melayu, terutama di kampung-kampung terus bersabar menunggu apakah yang mampu dilakukan Umno untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Tamparan pertama hinggap ke pipi Umno pada tahun 1967 apabila Hamid Tuah, seorang pemimpin tani membawa beratus-ratus petani Melayu untuk meneroka tanah kosong di Telok Gong dan Binjai Patah, Kelang, Selangor. Petani Melayu yang sangat memerlukan tanah hilang sabar, lalu bangun dengan berani menuntut hak mereka.
Seperti biasa jawapan dari Umno kepada kaum petani Melayu miskin hanyalah keganasan, tangkapan dan akta zalim ISA.
Bangkai bukan daging
Dua tahun kemudian, tendangan kedua sampai di kening Umno semasa pilihanraya umum. Kuasa dan pengaruh Umno terbukti merosot. Kali ini tendangan cukup kuat, tidak seperti Telok Gong yang dapat dipadamkan melalui penangkapan ISA. Penolakan pengundi Melayu terhadap Umno yang ketika itu memimpin Perikatan cukup jelas. Malah presiden Umno hari ini turut terbungkus diasak kemarahan rakyat.
Pilihanraya 1969 itu mengikat tanda bahawa zaman berbulan madu antara Umno dengan orang Melayu telah tamat.
Lalu, tanpa berselindung, untuk menyelamatkan politik mereka, kelas miskin peneroka Melayu di bandar Melayu diadu-domba dengan kelas miskin Cina. Jarum halus perkauman yang ditabur Umno berjaya meracuni kepekaan orang Melayu. Hasilnya, pembantaian kaum terjadi pada 13 Mei tahun itu.
Selepas 1969, politik Umno semakin terasak apabila berhadapan dengan hakikat bahawa orang Melayu telah berani membuat pilihan untuk meninggalkan Umno. Agenda dan politik perkauman yang ditaburkannya, sedikit sebanyak telah berjaya memberikan nafas baru. Dari sini lahirlah apa yang dipanggil dan 'dihuha-huhakan' sebagai Dasar Ekonomi Baru, yang berlandaskan hak keistimewaan Melayu.
Hak keistimewaan dan ketuanan Melayu adalah jawapan dan senjata Umno apabila orang Melayu meninggalkannya. Strategi dan kempen perang saraf Umno ialah menakut-nakutkan orang Melayu: jika Melayu tidak menyokong Umno, maka hak istimewa mereka akan hilang. Jika hak itu hilang, maka mereka tidak lagi menjadi tuan di Malaysia.
Agenda hak keistimewaan dan ketuanan Melayu inilah yang digendung oleh Umno ke hulu ke hilir dan cuba dijajakan semula kepada orang Melayu kebelakangan ini. Hak ini sebenarnya hanyalah "bangkai anjing" yang dimasukkan ke dalam bungkusan baru dan cuba dijajakan sebagai daging kambing.
Hak ini hanyalah satu sandiwara untuk menipu orang Melayu. Tujuan sandiwara ini ialah untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu. Jika orang Melayu berasa takut, gementar atau hilang keyakinan diri, maka Umno akan dilihat relevan dan berupaya membantu mereka. Umno mahu orang Melayu terus bergantung dan berpayung bersamanya.
Hantu-hantu yang digunakan oleh Umno untuk menakutkan orang Melayu termasuklah Parti Komunis Malaya, Parti Buruh, Parti Rakyat Malaysia, Lee Kuan Yew, DAP dan orang Cina. Dalam konteks inilah gabungan organisasi Cina, Suqiu, pertubuhan silat Al-Ma'unah dikaitkan dengan komunis oleh Presiden Umno, ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan.
Bagaimanapun, memang sahih di negara kita, ada kumpulan yang mempunyai hak keistimewaan. Memang wujud orang yang berlagak tuan di negara kita. Tetapi hakikatnya, bukan semua manusia Melayu itu mempunyai hak keistimewaan. Dan bukan semua manusia Melayu itu boleh menjadi tuan.
Keistimewaan kroni
Mereka yang mempunyai keistimewaan hanyalah kaum-kerabat dan kroni-kroni pucuk pimpinan Umno. Mereka ini pula terdiri daripada pelbagai suku bangsa. - ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Kadazan, ada Melanau dan ada Iban. Kumpulan inilah yang mempunyai hak keistimewaan, walau pun jumlah mereka kecil tetapi mereka memiliki sebahagian besar harta kekayaan di negara kita ini.
Justeru kumpulan inilah yang sering menyuarakan dan bersorak-sorai untuk mempertahankan hak keistimewaan Melayu. Mereka ini jugalah yang terus melaungkan agenda ketuanan Melayu. Mereka lantang bersuara dan sanggup bertegang lidah kerana mereka memang menikmati segala macam keistimewaan.
Untuk manusia Melayu yang berada di kampung-kampung, di rancangan tanah Felda, di kawasan setinggan pinggiran kota, di rumah-rumah pangsa yang sempit - mereka tidak mempunyai apa-apa hak keistimewaan.
Hak keistimewaan hanya satu ilusi, satu bayangan, satu kekarutan seperti dongeng Puteri Gunung Ledang.
Contohnya, syarikat penerbangan MAS mungkin dimiliki oleh Tajuddin Ramli, seorang Melayu tetapi tidak bermakna apabila orang Melayu ingin membeli tiket, maka harganya akan menjadi lebih murah berbanding bangsa-bangsa lain.
Lebuhraya PLUS mungkin dimiliki oleh Halim Saad, juga seorang Melayu, ini tidak bermakna orang Melayu akan dikecualikan daripada tol.
Burger King mungkin dimiliki oleh Daim Zainuddin, tetapi harganya tetap sama tanpa mengira sama ada pelanggan itu seorang Pak Haji dari Kerpan, penjual daging khinzir dari Jinjang atau Aci penjual sirih dari Sentul.
Syarikat perkapalan Malaysia mungkin dipunyai oleh Mirzan Mahathir tetapi jika seorang Melayu ingin menyewa sebuah kapal tangki, harganya tetap sama seperti juga diberikan kepada seorang pelanggan Cina.
Huha huha tentang hak keistimewaan Melayu yang cuba dijajakan oleh Umno kebelakangan ini hanyalah bangkai di dalam bungkusan yang baru.
Orang Melayu telah sedar bahawa bangkai ini walau dibalut dengan permaidani Iran dan kemudian direnjis pula minyak wangi 'Monsieur Givenchy' dari Paris, ia masih lagi bangkai anjing dan tidak boleh dijual sebagai daging kambing.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.