Pinochet si diktator, David dan saya
Kali pertama saya mengikuti dengan lebih jelas kisah perjuangan rakyat Chile ialah semasa saya sampai di Australia. Diktator Jeneral Augusto Pinochet baru dua tahun menaiki takhta. Darah keganasan jeneral itu masih lagi belum kering di Santiago, ibu kota Chile.
Kali pertama saya mengikuti dengan lebih jelas kisah perjuangan rakyat Chile ialah semasa saya sampai di Australia. Diktator Jeneral Augusto Pinochet baru dua tahun menaiki takhta. Darah keganasan jeneral itu masih lagi belum kering di Santiago, ibu kota Chile.
Pada tahun 1976, di Melbourne, saya dapat membaca dan mendengar cerita tentang Chile daripada pelajar dan aktivis mahasiswa Australia. Untuk seorang pelajar Malaysia yang baru saja mencampuri suasana budaya politik yang bebas, semuanya cukup menarik. Suasana bebas ini juga menuntut saya menjadi pendengar yang baik.
Isu Chile yang dahulunya cuma saya baca di akhbar kini menjadi lebih jelas. Saya juga dapat mendengar ceramah tentang pengalaman aktivis politik Chile yang kini mendapat perlindungan politik di Australia.
Di Australia pada tahun-tahun 1970-an, politik pelajar di seluruh kampus condong kepada aliran kiri. Pelbagai mazhab kiri berusaha mencari pengaruh di kampus-kampus. Parti Komunis Australia telah terpecah dua - satu kumpulan bersimpati dengan Soviet Union dan satu lagi dengan China. Keadaan ini mempengaruhi gerakan pelajar di kampus.
Wujud juga parti kiri yang membawa mazhab Trotsky dan Anarkis yang mempengaruhi gerakan pelajar. Pada keseluruhannya kehidupan intelek pelajar cukup rancak. Puluhan akhbar dari kiri dan kanan diterbitkan. Minda dan fikrah pelajar terus diancam oleh pelbagai pandangan dan pendapat yang baru.
Isu-isu antarabangsa seperti Chile, Palestin, Timor Timur, Orang Asli Australia dan juga hak demokrasi rakyat Malaysia menjadi agenda hangat di kampus-kampus Austarlia.
Pelajar di zaman itu kebanyakannya berpandukan disiplin keilmuan Marxis untuk membahaskan isu. Di Melbourne, di sinilah untuk pertama kalinya saya mendengar kritikan yang hebat terhadap kesilapan Parti Komunis Indonesia dan Parti Sosialis Chile di bawah pimpinan Allende.
Menurut pandangan mahasiswa dan anak muda waktu itu, kedua-dua parti telah menjalankan dasar politik 'terbuka' yang salah. Kerana garis politik yang salah, maka rakyat Chile dan Indonesia terpaksa membayar dengan harga nyawa yang paling tinggi.
Dua negara dari dua benua yang amat berbeza budayanya telah dibaca sebagai mengalami satu babak sejarah yang sama. Kedua-dua negara itu mengalami rampasan kuasa tentera yang berdarah.
Lebih setengah juta rakyat dibunuh di Indonesia pada tahun 1965. Di Chile pula, pada bulan pertama sesudah rampasan kuasa September 1973, lebih 5000 orang telah dibunuh. Jeneral Pinochet dan Jeneral Muhamad Suharto dilihat sebagai boneka Amerika Syarikat yang merampas kuasa untuk mempertahankan kepentingan modal imperialis Amerika.
Saya hanya membaca dan mendengar perdebatan di kalangan mahasiswa Australia. Tanpa latar belakang ilmu yang cukup, saya belum yakin untuk mengeluarkan pandangan. Debat dan perbahasan tentang Chile dan Indonesia ini cukup mengghairahkan terutama apabila pihak yang mengeluarkan pandangan menjurus kepada falsafah dan mazhab politik yang mereka dianuti.
Saya juga sering dijemput ke soiree dan perjumpaan solidaritas Chile yang sering diadakan di kota Melbourne. Sambil minum air anggur dan makan keju kami bersembang tentang keadaan 'tenat' yang sedang berlaku di Chile.
Akhirnya pada tahun 1977 sampailah Inti-illimani, kumpulan pemuzik Chile, yang dibawa khusus dari Itali. Para pemuzik ini sedang mengadakan konsert di negara-negara Eropah untuk mempopularkan muzik rakyat Chile selepas tentera merampas kuasa.
Inti-illimani tidak mungkin pulang ke tanah air kerana muzik dan lagu yang mereka dendangkan tidak seirama dengan telinga Jeneral Pinochet. Mereka diberi perlindungan politik oleh Itali. Kumpulan ini telah diangkat sebagai duta budaya rakyat Chile di perantauan.
Konsert Inti-illimani di Melbourne memberikan satu pengertian baru kepada saya tentang makna irama muzik dan lenggok budaya dalam arus gerakan pembebasan. Saya diperkenalkan dengan muzik revolusioner Victor Jara. Victor - seorang pemetik gitar dan penulis muzik-muzik protes - menggunakan lagu dan irama untuk membawa kesedaran kepada rakyat Chile.
Pada malam 11 September 1973, Victor Jara seharusnya memetik gitar dan menyanyi di Universiti Santiago. Tetapi pada malam ini jugalah Jeneral Pinochet yang didalangi oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat merampas kuasa. Victor Jara ditangkap dan dikurung di stadium bolasepak Santiago.
Jari-jari yang memetik gitar mengalunkan suara rakyat Chile telah dipatah dan dihancur. Beliau dipukul dan diseksa dengan arus elektrik. Empat hari kemudian, dunia kehilangan seorang seniman agung. Victor Jara yang baru berumur 38 tahun ditembak mati dan mayatnya dibuang ke jalan raya.
Pada malam konsert Inti-illimani di Melbourne tahun 1976 itu, saya dan para penonton telah bertafakur seminit untuk mengingati kembali Victor Jara dan rakyat Chile yang telah terkorban sebagai mangsa keganasan Jeneral Pinochet.
Apabila saya ditolak keluar dari Australia pada tahun 1977, secara sendiri saya melupakan politik Chile. Tetapi seperti satu karma yang telah tertulis dalam hidup saya, politik Chile terbuka kembali apabila saya sampai ke Braine-le-Comte, sebuah kota kecil di Belgium.
Saya masih ingat lagi salju putih yang menyambut saya sebaik sahaja saya sampai pada hari pertama di Braine-le Comte. Udara dingin dan keasingan telah memaut hidup baru saya di Eropah.
Pada hari ketiga di kota borjuis ( bourgeoisie ) Katolik ini, dari jendela bilik, saya ternampak seorang anak muda yang baru pulang dari sekolah. Anak muda ini sedang berjalan menuju masuk ke kawasan banglo tempat saya menumpang. Dari tingkat atas, saya turun ke bawah untuk bertemu dengannya.
Puan Anne pengurus rumah ini memperkenalkan saya kepada anak muda ini. Saya bercakap dalam bahasa Inggeris dan dia menjawab dalam bahasa Perancis. Inilah permulaan persahabatan saya dengan David.
Puan Anne yang tahu serba sedikit berbahasa Inggeris memberitahu saya bahawa David ini berasal dari Chile dan pernah tinggal di rumah tamu pelarian politik. Saya berasa hairan bagaimana anak yang sebegini muda telah menjadi pelarian politik. Tetapi bahasa telah memisahkan kami pada hari itu.
Seminggu kemudian, pada pagi Sabtu, dengan menuturkan bahasa Inggeris, saya mengajak David ke Brussels untuk menonton filem. Saya tidak faham jawapan daripada David tetapi daripada apa yang saya faham, dia telah bersetuju.
Braine-le-Comte tidaklah begitu jauh dari kota Brussels, lalu kami mencuba hitch hiking . Di tepi jalan inilah, David mengajar perkataan Perancis yang pertama untuk saya pelajari. Dia menjerit perkataan ' ici ' untuk beberapa kali kepada saya sambil menunjukkan jarinya ke atas jalan raya.
Akhirnya saya memahami makna ici melalui suara dan perlakuan David. Ici dalam bahasa Perancis bermakna "di sini".
David menjadi kawan baik saya di kota kecil ini. Dia masih belajar di sekolah menengah. Dan menyewa sebuah bilik kecil tidak jauh dari banglo tempat saya menumpang. Tuan rumahnya seorang wanita Belgium yang telah agak berumur. David hidup bersendirian. Saya ingin tahu lebih banyak lagi tentang David tetapi bahasa masih menjadi halangan.
Minggu ketiga di Belgium, saya mula mempelajari bahasa Perancis di sekolah. Saya juga diperkenalkan oleh David kepada beberapa anak muda kawan-kawannya. Kami sering ke kafe Reve berhampiran dengan stesen keretapi Braine-le-Comte.
Kafe ini menjadi tumpuan anak-anak muda. Sayangnya bahasa masih lagi menjadi batu penghalang yang besar untuk saya bercampur dan memahami budaya di sekeliling saya.
Tiga bulan kemudian saya mula boleh merangkak-rangkak dengan bahasa Perancis. David dan saya telah boleh berkomunikasi walaupun bukan dengan tatabahasa yang baik. Dengan bantuan David, saya mula berani bercakap dan membuat temujanji dengan gadis Belgium.
Pernah satu ketika kami sama-sama jatuh 'cinta' dengan Nathalie, gadis Braine-le-Comte yang selalu datang membantu di banglo rumah tumpangan saya.
Satu petang di awal musim bunga, saya telah pergi ke bilik David. Di petang ini entah apa yang mendorong David membuka beg besarnya. Dari beg ini, dia mengeluarkan sekeping gambar hitam putih 8 x 12 inci.
Gambar ini kelihatan agak lusuh. Di sebelah tepi kanan gambar ini sudah carik. David memperagakan gambar ini kepada saya. Saya pernah melihat gambar ini di majalah Time dan Newsweek . Malah gambar ini juga tersiar di akhbar-akhbar di seluruh dunia.
Objek utama gambar ini ialah wajah terakhir Presiden Salvador Allende yang memakai topi tentera. Di bahu Presiden itu tersandang klashinkov (sejenis senapang buatan Russia). Gambar ini menunjukkan Presiden Allende sedang dikelilingi oleh beberapa pengawal muda berpakaian awam yang lengkap bersenjata.
David menunjukkan satu wajah dalam gambar ini dan berkata ' mon frere ' - abang saya. Saya terkejut kerana barulah saya tahu bahawa abang David ialah penyokong dan pengawal peribadi Presiden Salvador Allende.
Abang David adalah antara orang terakhir yang melihat presiden itu hidup. Kumpulan abang David-lah yang bertahan di Istana Presiden sehingga kereta-kereta kebal merempuh masuk dan membunuh Allende sendiri.
Saya kemudian berpindah ke Wavre, kota universiti yang agak jauh dari Braine-le-Comte. Sekali-sekala saya datang ke tempat lama itu untuk berjumpa David.
Kini saya semakin banyak mengetahui sejarah David. Ibunya masih tinggal di Santiago. Dia dimasukkan ke dalam kapal terbang untuk orang pelarian semasa umurnya dua belas tahun. Ibunya ingin anak lelakinya itu terselamat.
Ibu David takut kalau-kalau polis rahsia Jeneral Pinochet tercium berita tentang keluarga David yang menyokong Allende, pastilah mereka sekeluarga akan ditahan. Menurut David, mayat abangnya tidak pernah ditemui. Nama abangnya termasuk dalam senarai ribuan orang yang hilang.
Kemudian David berpindah ke Brussels dan saya berpindah ke kota London. Tapi setiap kali saya ke Brussels saya akan melawat David. Kali terakhir kami bertemu, dia telah pun menyertai sekolah seni halus di Brussels. David memberitahu saya kemungkinan ibunya datang untuk turut menetap di Belgium.
Bila Jeneral Pinochet ditangkap di London pada Oktober 1998 dahulu, ingatan saya pantas kembali kepada David. Setiap kali berita Pinochet tersiar di akhbar tempatan, saya teringat kepada pemuzik kumpulan Inti-illimani dan suara nyanyian Victor Jara.
Saya yakin antara ribuan penunjuk perasaan di kota Brussels yang menuntut Jeneral Pinochet dihadapkan ke mahkamah ialah kawan saya, David dan ibunya. Saya tidak akan melupakan perkataan ' ici - atau maksudnya di sini - yang telah diajarkan oleh David kepada saya.
Walau saya tidak lagi berada di London atau di Brussels tetapi 'di sini' pun kita masih boleh menentang Pinochet!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.