Apabila Naib Presiden PAS, Husam Musa mengumumkan PAS akan fokus untuk memenangi 40 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12 akan datang, ramai pemimpin Umno yang panik. Apatah lagi apabila 60 peratus daripada rakyat Malaysia yang menyertai "poll" yang dijalankan oleh TV3 mengatakan ianya logik dan tidak mustahil.

Daripada pemimpin Pemuda Umno hinggalah kepada Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, semuanya menyifatkan hasrat PAS itu angan-angan semata-mata. Jika pemimpin Umno yakin rakyat bersama mereka, mengapa dilayan kenyataan Husam itu? Apakah mereka juga tidak begitu yakin mampu mengulangi kejayaan pilihanraya umum 2004?

Mingguan Malaysia 19 Ogos lalu menyiarkan wawancara bersama dua orang anak Musa yang bertembung dalam politik Kelantan mengenai isu 40 kerusi itu. Annuar Musa mewakili Umno manakala Husam Musa mewakili PAS.

Dalam wawancara tersebut, menurut ramalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu, dalam pilihanraya umum ke-12 akan datang, PAS akan hanya mampu memenangi dua kerusi di Kelantan dan jika PAS merasakan mereka mampu memenangi 40 kerusi, 38 lagi kerusi akan datang dari luar Kelantan. Annuar Musa amat yakin Umno akan memenangi 33 daripada 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen di Kelantan.

Manakala Husam Musa pula optimis BN tidak akan dapat mengulangi kemenangan besar mereka pada 2004 dan tidak menafikan agak sukar bagi PAS mempertahankan Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Pilihanraya umum 2004 adalah pencapaian terbaik BN dalam sejarah politik Malaysia. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang itu, selepas Pak Lah mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2004, pembangunan ekonomi lembab dan nasib orang Melayu tidak terbela.

Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan oleh Pak Lah baru-baru ini hanya akan melebarkan jurang kekayaan antara negeri-negeri. Pulau Pinang akan mendapat banyak manfaat dari Koridor Utara berbanding Kedah dan Perlis yang manoriti penduduknya ialah orang Melayu.

Tabur janji

Selain daripada itu banyak janji-janji Pak Lah pada tahun 2004 yang belum lagi dipenuhi. Kenaikan gaji pekerja sektor awam tidak bermakna apabila harga-harga barang keperluan asas turut dinaikkan. Faktor ini yang dirasakan memberi kelebihan kepada PAS.

Pada pandangan saya, pada pilihanraya umum yang akan datang, parti pembangkang mempunyai peluang besar untuk mendapatkan kerusi yang banyak jika mereka benar-benar bersatu dan bijak untuk memanipulasi isu-isu rakyat. Walaupun sukar bagi parti-parti pembangkang untuk mengambilalih pemerintahan negara daripada BN, tambahan kerusi parlimen dan DUN adalah sesuatu yang realistik dengan syarat pertembungan "satu lawan satu". Parti pembangkang tidak boleh berlawan sesama sendiri jika mahu mengurangkan dominasi BN.

Pengalaman pahit pada tahun 2004 tidak harus berulang. Pertembungan tiga penjuru tidak sepatutnya ada seperti apa yang berlaku pada Pilihanraya Umum ke-11 yang lalu. Kerana ianya hanya akan merugikan pakatan pembangkang. Pengagihan kerusi diantara PAS, DAP dan PKR harus diselesaikan bukan sahaja diperingkat pimpinan tertinggi tetapi harus selesai juga di peringkat akar umbi.

Selain daripada itu, pakatan pembangkang seharusnya menjadi lebih kreatif untuk menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat.

Walaupun parti-parti pembangkang sukar mendapat tempat di media arus perdana, banyak lagi cara yang boleh digunakan. Pengguna internet yang telah mencecah 13 juta di Malaysia seharusnya diberikan sebanyak mungkin maklumat alternatif agar mereka menjadi pengundi yang bijak.

DAP telah mengumumkan mereka sudah mempersiapkan pasukan untuk berkempen melalui internet yang akan diketuai oleh Jeff Ooi. Manakala PAS sudah mempunyai TV internet yang dikemaskini setiap hari. PKR pula sudah mempunyai lamanweb mereka sendiri.

Isu "Negarakuku" yang heboh baru-baru ini seharusnya tidak dilayan oleh parti pembangkang. Ini kerana isu tersebut sengaja diperbesar-besarkan untuk memberi "vitamin" kepada Umno dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Isu lagu Negarakuku

Seperti biasa oleh kerana pencipta lagu tersebut merupakan bangsa Cina, maka mudahlah untuk Umno menguatkan sokongan mereka di kalangan orang Melayu dengan mengatakan bahawa "orang Cina sudah mula kurang ajar". Taktik ini adalah satu taktik lapuk dan parti-parti pembangkang seharusnya sudah masak dengan cara BN berpolitik.

Umno memberikan reaksi yang meluas terhadap kenyataan Husam oleh kerana mereka juga tahu kemungkinan PAS dan parti pembangkang mendapat lebih banyak kerusi adalah realistik. Jika dilihat dari aspek sejarah, ini pernah berlaku.

Pada tahun 1964, Perikatan (sekarang ini dikenali sebagai Barisan Nasional) telah menang besar dalam pilihanraya umum tersebut. Kemenangan tersebut adalah kerana sentimen rakyat yang menyokong penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Kemenangan besar pada tahun 1964 telah menyebabkan Perikatan angkuh dan jurang kekayaan antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Maka pada tahun 1969, Perikatan hilang banyak kerusi dalam pilihanraya dan ini telah menyebabkan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Pada pilihanraya umum 2004, BN menang besar. Selepas menang keangkuhan sudah kelihatan. Harga minyak, tol, rokok dan barang keperluam asas yang lain dinaikkan tanpa mengambil kira keperitan dan penderitaan rakyat.

Apakah pilihanraya umum ke-12 ini akan menyaksikan rakyat menghukum Pak Lah dan BN? Ataupun BN akan berjaya memanipulasikan sentimen ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50 untuk mendapatkan kemenangan yang lebih besar lagi? Sama-samalah kita saksikan.