Paling Popular
Terkini

"Dalam hati dia, kita tak tahu," kata Ustaz Aimi semasa kami tanya mengenai budak mengaji dalam TikTok dan mendapat hadiah bermacam-macam.

Ustaz Aimi kata, dia selalu juga baca tulisan kami di sini. Sebab itu dia memberi amaran kepada kami supaya tidak menulis apa-apa pun mengenai pertemuan kami.

"Banyok sangat mengata, kang merangkok," kata dia memberi ancaman kepada kami. Dan sepertimana orang jahil, kami tetap tulis juga.

Lama sebenarnya kami tidak minum-minum dengan Ustaz Aimi kerana sebelum ini dia hanya ada masa lapang pada hujung minggu. Dia berkerja jauh, hanya pulang ke rumah pada hari cuti.

Kami pula - walaupun tidak pernah sibuk - namun hujung minggu kadangkala kami gunakan untuk menyudahkan apa-apa kerja yang tertangguh. Kami juga sudah tidak ada nombor telefon ustaz itu dalam simpanan.

Cuma dua tiga hari yang lalu kami beranikan diri untuk menerjah ke rumahnya. Setelah dua kali memberi salam dari luar pagar, dan sekali lagi setelah masuk ke depan rumahnya, dia bangun dengan mata yang terpisat-pisat lalu membuka pintu.

"Aku tido. Pala pening sikit harini," kata Ustaz Aimi sambil mengibas-ngibas rambut ala PU Syed itu. Ustaz Aimi walau sudah punya anak lima, badannya belum gemuk.

Takut jual mahal

Dalam perbualan yang kemudian, dia memberitahu kami yang dia baru saja memotong rambut.

Melalui telefon, dia perlihatkan kami gambar dia bersama rambut barunya itu. Memang agak panjang.

Dalam hati kami bertanya, bagaimana Ustaz Aimi ke madrasah tempat dia mengajar dengan rambut sedemikian? Sebelum sempat kami tanyakan, dia memberitahu yang dia tidak lagi mengajar di madrasah tersebut.

Dia tidak memberikan sebab, namun memaklumkan yang dia baru saja ditemu duga di sebuah madrasah yang terletak berdekatan dengan rumahnya.

"Dekat bahagian gaji, aku biarkan kosong. Takut kalau aku letak rendah nanti macam merendahkan al-Quran," kata Ustaz Aimi, "kalau letak tinggi, dah macam jual mahal pulak."

Dia sudah lama mengajar al-Quran. Suara dia memang tak sedap pun. Cuma dia pandai berbahasa Arab. Maka kami mengandaikan bahawa sebutannya mestilah tidak ada salah dan silapnya.

Mungkin kerana suara tidak sedap itulah agaknya Ustaz Aimi sentiasa tidak akan mahu ditolak menjadi imam apabila sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh.

Jika terpaksa, apabila bersembahyang bersama Fairuz, Stone dan kami yang terkenal murakab itu misalnya, maka bacaan ustaz itu adalah amat perlahan.

Seperti saja sepasang kekasih sedang berbisik-bisik.

Kami bertanya kepada Ustaz Aimi mengenai mereka yang mengaji di TikTok sambil menerima hadiah yang kemudian boleh ditukar kepada wang ringgit.

Alasan makan suap

Dalam kejahilan, kami katakan bahawa kami menyamakan mereka itu dengan orang yang mengemis. Hal itu kerana, dulu di Kuantan terdapat beberapa orang peminta sedekah di kaki lima yang membaca ayat-ayat al-Quran.

Orang lalu-lalang akan memberikan sumbangan kepada mereka. Pada kami, itu adalah perbuatan yang memalukan.

Ustaz Aimi pula berlepas tangan dengan mengatakan yang dia bukan wali kasyaf sehingga boleh tahu apa niat sebenar mereka berbuat demikian. Pun begitu, dia juga tidak setuju dengan perbuatan tersebut.

"Kalau boleh elak, elaklah," kata dia lagi, "duit menjadikan semua bende betul. Kalau ngka tanya orang makan suap pun, dia akan bagi alasan sebab apa dia mesti makan suap."

Memang pun. Lihat sajalah siapa pun yang kerjanya meminta-minta atas nama agama.

Bina kubah, berniaga umrah, buat telaga, korban murah dan sebagainya. Itu belum diambil kira mereka yang kerjanya gigih mengutip derma kononnya untuk anak yatim, derma untuk memberi makan orang buat haji dan sebagainya.

Ada saja alasan untuk menghalalkan wang yang mereka kumpul itu untuk kegunaan peribadi. Beli kereta dan motosikal besar, bina rumah agam dan hidup seperti hanya di sini sajalah peluang untuk manusia merasa bahagia.

Mungkin pada asalnya mereka berniat baik, namun setelah mengumpul sekian banyak wang, mata mereka pun ditutupi oleh keinginan untuk hidup mewah.

Dan kemewahan adalah kanser tahap lima yang selalunya datang kepada mereka yang mahu dekat dengan agama. Lalu mereka semua menjadi gila dek kerana lahap.

Secara peribadi kami pula amat jengkel melihat orang agama berbangga-bangga dengan jam tangan mahal. Perbuatan begitu seharusnya dikhaskan kepada ahli politik yang tidak berguna itu saja, dan kami yang selalu lupa pada dunia (dan akhirat) ini.

Lama dulu ada orang berpesan kepada kami. Kata dia, berilah derma tapi jangan kutip derma. Jangan terlibat dengan orang yang mengutip derma. Kami mendengarnya dan menganggap ia sekadar satu halangan untuk berbuat baik.

Takut dimarah Tuhan

Bagaimanapun apabila melihat pelbagai kejadian yang terhasil daripada kerja-kerja mengutip derma dengan menjaja agama, ada benarnya pesanan tersebut.

Kita ada kerajaan dan juga lembaga zakat yang telah ditentukannya. Biarlah mereka uruskan segalanya.

Benar, mereka mungkin ada kekurangan namun hal tersebut tentu lebih baik daripada melihat segala macam porak-peranda yang dicetuskan oleh mereka yang kononnya bergerak atas nama agama.

Berhentilah membina pusat pengajian agama jika niat kamu ialah mahu kaya. Malu nanti dimarah Tuhan. Pelajar-pelajar agama juga mesti tahu yang mereka ke madrasah itu tujuannya untuk mencintai Tuhan, bukan mengharap orang kasihan.

"Aku nak mati di Madinah," kata Ustaz Aimi di hujung-hujung perbualan kami. Baru-baru ini dia pitam ketika memandu. Mujur kereta itu cuma meluncur perlahan sebelum tersekat apabila tayarnya terjatuh ke longkang di birai jalan.

Dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Setelah ke hospital, Ustaz Aimi disyaki mengalami keracunan makanan.

Setelah hari itu, dia kerap teringat dan bercakap mengenai kematian. Cadangannya ialah apabila anak-anaknya selesai bersekolah, dia dan keluarga akan berpindah ke Madinah untuk menetap di sana.

Itu tentu saja berbeza dengan rakan karibnya, Ustaz Hafiz Halim, yang - walaupun baru selamat menjalani pembedahan pintasan jantung - seperti orang Kuantan yang lain, masih sibuk dengan pesta itu dan pesta ini pada setiap hujung minggu.

Jenis sit-down berlari punya budak!


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penderma yang pemurah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS