KOLUM | Subjek Kesusasteraan Melayu yang diambil sewaktu belajar di tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Perhentian, Pontian memang memberi kesan mendalam terhadap pemikiran Salahuddin Ayub.

Cikgu Tuminah - guru sasteranya itu - pernah membimbing Salahuddin menikmati karya Pramoedya Ananta Toer melalui novel Keluarga Gerilya yang mendidik pembaca mengenai makna kemanusiaan.

Sastera bukan sekadar sebuah mata pelajaran di sekolah buat Salahuddin, malah ia menjadi proses pembinaan falsafah hidup manusia. Secara tidak langsung, ia tertanam dalam sanubari Salahuddin.

Kerana itu bukan sahaja kata-kata dalam pidato Salahuddin berbau puitis dan dihiasi puisi atau pantun, malah ada ungkapan yang dilafazkannya itu dihafal sejak dari bangku sekolah.

Ada juga yang terpancul secara bersahaja dari mulutnya sendiri.

Malangnya, kini pembelajaran subjek Kesusasteraan Melayu sekadar menumpang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu melalui Komponen Sastera (Komsas). Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu tidak berupaya berdiri sendiri.

Pun begitu kehidupan Salahuddin dilihat lebih kepada politik, wakil rakyat dan menerajui parti. Tidak ramai yang menyedari bahawa Salahuddin sebenarnya adalah insan berjiwa seni yang sarat dengan perjuangan sastera dan bahasa.

Salahuddin hidup dalam dunia politik yang penuh kekejaman para pemainnya. Justeru wajah dan peranan Salahuddin dalam dunia kesusasteraan dan bahasa menjadi tenggelam.

Anggap tanggungjawab semua

Semasa menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin membuka ruang yang luas untuk para seniman, karyawan dan artis berperanan membantu parti terutama semasa era reformasi.

Ketika itu aktiviti membaca puisi dan nyanyian mula mendapat tempat dalam PAS.

Ketika mendapat ruang menyampaikan ucapan sulungnya di parlimen, perkara pertama yang disentuhnya ialah isu kemiskinan rakyat. Kedua, bidang pendidikan yang berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kemudian pada persidangan bertarikh 23 Nov 2004, Salahuddin sekali lagi bangkit. Dia mencelah ketika Ismail Sabri Yaakob menegur RTM yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris dalam rancangan mereka.

Salahuddin merujuk kepada Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995 yang memberikan badan itu kuasa menegur dalam isu bahasa kebangsaan.

Akta tersebut tidak memberikan taring kepada DBP untuk menguatkuasakan peraturan berkaitan bahasa Melayu. Agensi itu memang tiada peruntukan melaksanakan ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh mereka.

Sekiranya DBP telah memberikan 'fatwa' tetapi pandangan mereka tidak diendahkan, DBP tidak boleh buat apa-apa.

Kemudian, Salahuddin meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil perhatian serius cadangannya untuk memberi kuasa yang lebih kepada DBP.

Tiada pindaan dibuat

Ketika itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Mahadzir Mohd Khir, memberitahu Dewan Rakyat, tanggungjawab mendaulatkan bahasa kebangsaan terletak pada semua warga Malaysia.

Bekas pensyarah Universiti Malaya itu dalam jawapannya menyatakan rasa bersetuju untuk menerima cadangan yang dibawa oleh seseorang ahli parlimen termasuk Salahuddin, tetapi tiada suatu jaminan yang tegas dapat diberikan.

Sudah 20 tahun saranan Salahuddin disuarakan, tetapi langkah memberikan kuasa kepada DBP berlalu begitu saja tanpa sebarang khabar berita.

Pada masa sama semangat Bahasa Jiwa Bangsa juga tidak dihayati sepenuhnya oleh kementerian, agensi mahupun jabatan kerajaan termasuklah mereka yang menjadi menteri.

Lihat saja ungkapan atau istilah yang digunakan ini sebagai contoh: PMO, MOA, MOF, MOTAC, ICU dan sebagainya. Alangkah 'miskinnya' bahasa Melayu di negara yang menjadikan ia sebagai bahasa kebangsaan ini!

Lihat bait-bait puisi Usman Awang yang menjadi lirik lagu rasmi DBP ini:

Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa
Nama dari suatu sejarah
Api dari suatu zaman
Kesaktian lidah rakyat

Entah berapa ramai menteri pelajaran atau menteri pendidikan bertukar ganti. Begitu juga watak yang dilantik sebagai ketua pengarah di DBP, namun tiada sebarang pindaan terhadap akta tersebut dibuat.

Di sebalik semua itu, Salahuddin dan DBP mempunyai hubungan istimewa yang kurang disingkap pada awam.

Ketika Johan Jaafar menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (2006 – 2009), dia menganjurkan Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia yang membawa ketua-ketua pemuda parti kerajaan dan pembangkang duduk bersama di Dewan Syed Nasir.

Selain Salahuddin, turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Pemuda Umno Malaysia, Hishammuddin Hussein, serta beberapa ketua yang lain. Mereka berpidato bersempena menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Sebagai ahli politik, menguasai dan memahami selok-belok media sangat penting. Ia termasuk membina agenda, naratif, linguistik dan retorik politik.

Salahuddin mengakui dia banyak belajar daripada Johan.

Percaya pada DBP

Sebelum itu, DBP menjadi tuan rumah kepada perdebatan antara Salahuddin dengan Nazri Aziz mengenai isu sekolah agama rakyat pada tahun 2003.

Abdul Aziz Deraman yang menjadi ketua pengarah ketika itu bertindak sebagai moderator. DBP bukan sahaja menjadi tuan rumah tetapi menjadi penggerak utama kepada kejayaan program tersebut.

Kedua-dua program tidak menjurus kepada persoalan sastera atau bahasa. Dalam konteks yang lebih luas, program tersebut adalah cerminan usaha pembinaan bahasa politik yang lebih demokratik dan progresif.

Tatkala politik hilang kuasa, tibalah waktunya sastera bersuara!

Hubungan Salahuddin dengan DBP semakin erat sewaktu isu PPSMI meletus tetapi ia lebih bersifat peribadi.

DBP sebagai agensi kerajaan tentu sekali menerima tekanan daripada kerajaan yang mahu melaksanakan PPSMI.

PPSMI adalah ‘Keranda 152’ yang kedua tetapi DBP sebagai agensi di bawah kerajaan menurut perintah kepada pihak yang lebih berkuasa.

Salahuddin berhubung rapat dengan Presiden Kesatuan Sekerja DBP, Hasni Abas, untuk merangka pembentukan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai bekas Ketua Pengarah DBP, Hassan Ahmad (1976 – 1988).

GMI digerakkan oleh mereka yang pernah dikaitkan dengan DBP seperti Dinsman, Ainon Mohd, Abdullah Hassan, Pyanhabib dan yang lain-lain.

Kemuncak gerakan itu membawa pejuang bahasa termasuk Sasterawan Negara, A Samad Said, turun ke jalan raya berdemonstrasi dan berdepan dengan pasukan FRU.

Salahuddin percaya bahawa DBP sebagai rumah bangsa itu memiliki keramat yang membawa negara ini lebih berdaulat.

Semasa Salahuddin dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, dia memilih bekas ketua bahagian teknologi maklumat DBP, Sulaiman Kaiat, menjadi setiausaha pertama kementerian itu.

Setelah Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri pada penghujung 2022 dan dia terpilih sekali lagi sebagai menteri kabinet. Salahuddin terus mengintai jendela DBP.

Ada mesej tersirat yang hendak disampaikan oleh Salahuddin yang kini sudah setahun pergi.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.