KOLUM | Pembangkang zaman Madani
KOLUM | Salah satu keistimewaan sistem demokrasi moden ialah masyarakat mempunyai ruang untuk berbeza fikiran.
Biasanya pihak yang memegang kuasa sedaya upaya memperkukuhkan pengaruhnya sama ada secara kuku besi atau perundangan, manakala yang kalah sedaya upaya bangkit untuk menggantikan si pemenang.
Usaha 'bangkit' itu dilakukan dengan pelbagai cara dan tidak terhad kepada perhitungan peti undi semata-mata, malah menjangkau usaha membeli wakil rakyat.
Soal moral dalam menentukan kedudukan kekuasaan diabaikan. Ia hanya tinggal dalam kitab atau buku di universiti.
PRU ke-14 pada 2018 menjadi penanda aras perubahan besar dalam gaya demokrasi Malaysia. Antara perubahan paling ketara ialah persaingan sengit politik yang menjadikan kuasa kerajaan sangat rapuh.
Ia menyebabkan berlakunya seberang-menyeberang antara parti sehingga PH kehilangan mandat hanya setelah memerintah 22 bulan. Dalam tempoh lima tahun sahaja, Malaysia mempunyai empat perdana menteri.
Sedangkan sebelum itu, selama lebih 60 tahun negara dipimpin oleh hanya enam perdana menteri. Kestabilan kerajaan dapat dijamin sehinggalah tarikh pengundian diadakan.
Tahun 2018 adalah titik tolak bahawa kesetiaan kepada parti kian luntur dan idealisme perjuangan hanya dalam buku manifesto, slogan dan logo.
Menubuhkan parti segera menjadi pendekatan untuk mengisi kelaparan kuasa dan pengaruh. Ia mengubah pendekatan parti dan pakatan pembangkang menjadi tidak jantan.
Ia membangkitkan rasa rindu kepada politik sebelum era itu apabila dalam jumlah yang kecil, sesebuah parti mampu menyengat seperti tabuan, mengigit semacam semut api.
Macam air mengalir
Sebarang isu berbangkit sama ada di peringkat domestik atau nasional, jika pembangkang tidak puas hati, mereka akan turun ke jalan raya bersama sepanduk masing-mmasing mengajak masyarakat bangun menentang.
Pemimpin muda pembangkang sekarang mungkin merasakan hal itu sesuatu yang aneh, tetapi begitulah realiti suatu ketika duulu. Para pendemonstran sanggup disumbat ke dalam lokap, rela dibawa ke mahkamah.
Hatta mereka bersedia hilang kerja demi perjuangan yang diyakini, atau dipindahkan kerja atau dibekukan kenaikan pangkat. Semakin ditekan, semakin melawan.
Biar ada Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membolehkan seseorang ditangkap tanpa bicara, ia bukan penghalang, malah ramai yang bersedia mengorbankan nyawa.
Dari situlah ternatijahnya tragedi di Memali, Lubuk Merbau dan di tempat lain.
Pembangkang pada era Madani berberza sifat, kualiti atau wawasannya.

Tangkapan tanpa bicara GIHSB dan sisa Jemaah Islamiah di Johor beberapa bulan lalu berlaku seperti air mengalir. Kalau ada pun sekadar kocakan suara yang lesu di tepi tebing bibir para pembangkang.
Laporan tentang kebebasan di Malaysia yang dikeluarkan oleh Centre for Independent Journalism bagi 2024 mencatatkan hanya dua akta tentang kebebasan yang diperbaiki oleh kerajaan.
Laporan itu juga menyebutkan tiada kemajuan untuk pindaan Akta Rahsia Rasmi dan pelindungan kepada pemberi maklumat.
Tiga pindaan akta lain melibatkan hasutan, penerbitan, komunikasi dan multimedia adalah langkah ke belakang.
Bukan soal lama, sekejap
Bersih pula memberikan gred D kepada kerajaan Madani apabila banyak janji yang tidak terlaksana. Barangkali jika PN mengeluarkan laporan indikator kebebasan, angka itu tidak jauh berbeza dengan Bersih, atau mungkin lebih teruk lagi.
Pun begitu tiada demonstrasi kecuali di dewan parlimen, wakil rakyat bergasak sesama sendiri. Itupun mungkin sekadar untuk menarik lensa publisiti murahan serta mencipta nama.
Kebanyakan parti dan pemimpin politik pada era Madani merupakan mereka yang menikmati hidup sebagai sebahagian kerajaan. Amanah yang baru setahun jagung ditubuhkan menjadi kerajaan persekutuan dan beberapa pemimpin menjadi menteri pada 2018.
Bekas pemimpin Umno yang keluar dan menubuhkan Bersatu menjadi sebahagian kerajaan persekutuan pada masa yang sama.
PAS pertama kali menjadi salah satu kompenan parti pemerintah di peringkat persekutuan pada tahun 2020 melalui Langkah Sheraton. Lama atau sebentar, bukanlah soalnya.
Hal itu kerana pengalaman tersebut sudah cukup untuk memberi pengalaman mengenai sedapnya berkuasa atau sakitnya menjadi pembangkang.
Kejatuhan BN sebagai sebuah regim pada 2018 mempengaruhi keadaan politik negara apabila keadaan tidak menentu selama bertahun-tahun.

Ia merapuhkan semua jati diri parti dan pemimpin politik. Mereka bersedia melarutkan jati diri dan idealisme perjuangan demi sekarung kuasa.
Khabar angin tentang rundingan antara pihak-pihak tertentu memang sering kedengaran. Kadangkala khabar itu hilang dan kemudian timbul semula dengan watak yang berbeza.
Slogan "dulu lawan, sekarang kawan" memang mempamerkan sifat politik yang sebenarnya. Jika terlanjur membuat fitnah atau kata jelek, tidak lama kemudian tarik balik atau minta maaf dalam media.
Pembangkang berlawan setakat tidak merosakkan peluang dan ruang untuk menjalani hubungan kerjasama politik pada masa hadapan.
Mungkin pada era Malaysia Madani menunjukkan politik negara sudah berada di tahap kematangan demokrasi? Mungkin letih atau bingung?
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/b86260d1f1ca07f58fdfa7e7b174841e.jpg)
