KOLUM | Syria baru bawah Jolani fokus kestabilan
KOLUM | Banyak harapan terhadap Syria baru pimpinan Abu Mohamad Al-Jolani. Antaranya ialah membela penduduk Gaza dan rakyat Palestin. Tetapi Ahad lalu beliau mendedahkan realiti bahawa Syria sudah “keletihan” untuk terlibat dengan sebarang konflik. Fokus pemerintahan beliau ialah kestabilan dan pembinaan semula negara.
Israel mengambil kesempatan dari kejatuhan rejim Bashar Al-Assad. Pada hari pertama mereka menakluk satu pertiga lagi Bukit Golan dan menawan puncak Bukit Hermon yang strategik bagi penaklukan ke atas Lubnan. Dua pertiga Bukit Golan telah ditawan mereka pada tahun 1973.
Dalam penaklukan itu ada tiga kampung yang berpenghuni.
Sungguh mudah Israel menakluk sisa-sisa Bukit Golan itu kerana tiada sebarang penentangan. Tentera rejim Assad telah lari dari pos-pos pengawal sementara pihak pejuang kumpulan pemberontak belum sempat dikerahkan ke situ. Beginilah keadaannya apabila tiada penggantian kekuasaan yang lancar selepas rejim Assad tumbang.
Keadaan yang sama pernah berlaku apabila rejim Shah Iran, Reza Pahlavi tumbang semasa Revolusi Islam Iran pada 1979, Iraq di bawah Presiden Saddam Hussein menyerbu wilayah Khuzestan yang dipanggilnya Arabestan dan Perang Iran-Iraq berlangsung sehingga tahun 1988.
Tetapi pada masa itu pemerintahan Ayatullah Khomeini mewarisi angkatan tentera Shah dan mampu melawan Iraq. Amerika Syarikat dan hampir semua negara Arab menyokong dan membantu Iraq. Hanya Syria di bawah Hafez Assad yang merupakan musuh ketat Saddam Hussein dari segi ideologi dan politik.
Aset tentera Assad
Kali ini Amerika tentunya berada di pihak Israel dalam tindakannya itu walaupun satu dunia tidak dapat menerimanya. Jolani pula tidak dapat mewarisi angkatan tentera Syria kerana ia telah dibubarkan serta-merta. Syria tidak mampu melakukan perlawanan ke atas Israel. Perang Syria-Israel tidak akan berlaku.
Sepanjang minggu lalu juga, Israel telah melancarkan 500 bom ke atas fasiliti-fasiliti tentera termasuk pangkalan tentera udara dan kapal-kapal tentera laut Syria. Maka tidak ada peluang langsung bagi sebarang kerajaan baru Syria untuk mewarisi kekuatan dan aset ketenteraan rejim Assad.

Setelah beberapa hari mendiamkan diri, Jolani memberikan amaran kepada Israel supaya tidak lagi maju ke depan dalam wilayah Syria. Beliau menyifatkannya sebagai pencerobohan tanpa provokasi. Nota bantahan telah diajukan ke Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
Duta Syria diarahkan untuk membuat bantahan itu. Kelihatannya kedutaan dan perwakilan Syria di seluruh dunia terus berfungsi. Mereka menurunkan bendera merah putih hitam rejim Assad dan menggantikannya dengan bendera hijau putih hitam pemerintah baru. Kedutaan pertama yang dihebahkan melakukan perkara demikian ialah di Moscow di mana Bashar Assad dan keluarganya berada.
Ia menunjukkan para diplomat Syria bergerak secara profesional, berkhidmat untuk negara mereka tanpa mengambil kira siapa yang berkuasa di Damsyik. Begitu juga apa yang berlaku di kedutaan Syria di Kuala Lumpur. Orang Syria berkumpul di halaman kedutaan mereka meraikan kejatuhan Assad.
Nota bantahan kepada PBB itu menunjukkan bahawa pemerintahan Jolani tetap menentang tindakan Israel tetapi ia dilakukan secara diplomatik dalam kerangka undang-undang antarabangsa dan bukannya melalui ketenteraan dan keganasan.
Rampasan tanah Bukit Golan
Menurut nota itu, Israel telah melanggar garisan merah seperti apa yang dipersetujui dalam perjanjian tahun 1974. Garisan merah itu menandakan wilayah di Bukit Golan yang ditakluki oleh Israel dalam perang tahun 1973 dengan wilayah yang dapat dipertahankan Syria.
Wilayah yang ditakluki Israel itulah yang merupakan kampung halaman ibu bapa Jolani. Akibat penaklukan itulah ibu bapanya menjadi pelarian dan berhijrah ke Riyadh, Arab Saudi. Tentulah Jolani mempunyai sentimen terhadap Bukit Golan hinggakan nama perang beliau iaitu Jolaini datang dari perkataan Golan.
Perdana Menteri Benjamin Netanhayu menegaskan bahawa Bukit Golan yang ditakluki negaranya pada tahun 1973 adalah milik Israel “selama-lamanya”. Malah dia menyatakan bahawa bilangan penempatan orang Yahudi akan ditambah sekali ganda iaitu sebanyak 2,000 rumah. Tentulah perkara ini tidak dapat diterima oleh kebanyakan negara di dunia. Mereka hanya bersedia untuk mengiktiraf wilayah Israel pada tahun 1967. Malah sepatutnya Israel hanya dibenarkan pada wilayah tahun 1948.

Menurut nota bantahan itu, garis merah wajar dikawal oleh Pasukan Pemerhati Peleraian PBB – The United Nations Disengagement Observer Force (UNDOF) yang ditubuhkan pada 31 Mei 1974 oleh resolusi 350 Majlis Keselamatan PBB. Ia adalah seperti “garisan biru” yang menandakan pemisahan antara Israel dan Lubnan dan dikawal oleh Pasukan Interim Israel-Lubnan PBB (UNIFIL) yang mana turut disertai oleh Battalion Malaysia (Malbatt). Pasukan ini ada memantau garisan biru. Tetapi pasukan seumpama ini tidak wujud di garisan merah walaupun sudah dipersetujui oleh PBB.
Israel menyatakan bahawa persetujuan tahun 1974 itu sudah tidak terpakai kerana rejim Assad telah tumbang. Perkara itu tentulah suatu pembohongan. Persetujuan itu adalah antara kerajaan Syria dengan Israel. Bukannya antara rejim Assad dengan rejim Netanyahu.
Perdana menteri Israel itu kata wilayah yang baru ditakluki itu adalah zon penampan (buffer zone) antara Israel dengan Syria. Tetapi kalau benar mereka mahu adakan buffer zone, ia harus dibuat di wilayah Israel dan bukannya wilayah Syria. Tindakan Israel itu dipandang oleh dunia adalah sebagai “land grab” (rampasan tanah).
Netanyahu sendiri sebut bahawa Israel melakukannya kerana sudah tiada siapa mengawal pos sempadan. Tetapi itu tidak bermakna sesiapa boleh mengambil tanah Syria sesuka hati. Ia juga menunjukkan sikap Israel yang tidak menghormati hak milik tanah orang lain, dan selanjutnya menyumbang pada perasaan anti-Yahudi (anti-Semite) yang ada. Maknanya, sentimen terhafap perkara yang Israel mahu banteras telah disemai olen gelagat mereka sendiri. Zionisme akhirnya sendiri membawa kepada antisemitisme. Suatu paradoks abad ke-21.
Jolani menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menyerang Israel bukan hanya kerana tidak mampu tetapi fokus mereka sekarang adalah lebih kepada usaha untuk mewujudkan kestabilan yang juga bererti memberi keamanan dan kesejahteraa pada rakyat Syria. Dalam wawancara awalnya, Jolani menyebut tentang mengukuhkan institusi-institusi negara.

Oleh itu, menurutnya, Israel tidak ada alasan lagi untuk menyerang Syria. Ini kerana selama ini Israel menyerang dan menakluk wilayah Syria kerana menyatakan bahawa negara itu mengancam keselamatannya.
Ternyata Jolani hendak membawa Syria untuk menjadi negara “sederhana” (moderate) iaitu tidak ekstrem atau radikal, seperti mana Mesir, Jordan, Iraq, Turki dan negara-negara Arab Teluk. Ia akan mengutamakan kepentingan nasional dan bukannya transnasional, pan-Arab atau pan-Islam. Maknanya ia tidak akan membantu Palestin dari segi ketenteraan.
Beliau tidak berhasrat untuk menubuhkan kekhalifahan tetapi hanya untuk mentadbir Syria.
Sehubungan itu, ia mengarahkan kumpulan-kumpulan Palestin di Syria supaya membubarkan sayap ketenteraan dan menutup kem-kem latihan mereka. Kumpulan Palestin itu hanya boleh beroperasi dalam aktiviti politik dan kebajikan untuk membantu rakyat Palestin. Dua kumpulan Palestin yang ada di Syria ialah Jihad Islami dan Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP) yang berhaluan kiri.
Tentu adalah menjadi tanda tanya bagaimana Jolani boleh berubah dari sebagai seorang ekstremis kepada sederhana. Pada mulanya beliau menyertai Al-Qaeda pada tahun 2003 setelah tersentap dengan Intifada Kedua Palestin. Beliau menjadi ekstrem dengan menyertai Al-Qaeda yang bersifat global. Beliau kemudian berpindah ke ISIS yang hanya tertumpu pada Iraq dan Syria. Jolani kemudian menubuhkan Jabhat Fateh Shams dan Nusra Front untuk menumpukan pada Syria saja.
Nusra kemudian bertukar nama menjadi Hayat Tahrir Syams (HTS) yang bermaksud Jawarankuasa Pembebasan Syria menumpukan pada usaha menjatuhkan rejim Assad. Ia dapat menawan Idlib dan mentadbir melaluii Kerajaan Penyelamat (Salvation) Nasional pada tahun 2017. Mungkin apabila melihat realiti penderitaan rakyat akibat perang menyebabkan belliau dan HTR menjadi “sederhana”.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/e3b4a3b26e57e86cc5425de8ff07c002.jpg)
