Khabar angin bahawa pilihanraya umum semakin hampir telah bertiup kencang. Di kedai-kedai kopi sudah ramai membicarakan tentang tarikh pilihanraya umum yang dikatakan akan diadakan pada hujung tahun ini.

Faktor utama yang menyebabkan khabar-khabar angin ini bertiup kencang adalah ekoran kenaikan harga minyak dunia yang telah mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak AS94.46 setong kelmarin. Harga minyak dunia juga dikatakan akan mencapai AS100 setong tidak lama lagi.

Ketegangan yang berlaku antara Amerika Syarikat dengan Iran dan Turki, dengan puak Kurdis di Iraq adalah antara penyumbang utama kenaikan harga minyak dunia.

Akan tetapi negara-negara yang menjadi pencabar kepada Amerika seperti Iran, Venezuela dan Russia mendapat keuntungan besar daripada kenaikan harga minyak dunia kerana mereka juga merupakan antara pengeluar besar minyak dunia.

Walaupun mreupakan salah sebuah negara pengeluar minyak yang seharusnya mendapat keuntungan besar ekoran daripada kenaikan harga minyak dunia, tetapi rakyat Malaysia tetap merasai kesan kenaikan bahan bakar tersebut.

Dengan alasan kerajaan sudah tidak sanggup untuk menanggung subsidi, maka kenaikan harga minyak akan tetap berlaku dalam jangka masa terdekat ini, selewat-lewatnya awal tahun depan.

Dalam sebuah forum rakyat bertajuk Jenayah dan Rasuah: Malaysia di Ambang Bahaya pada 4 November lalu, Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata beliau mendapat maklumat dari teman-teman di Petronas bahawa kerajaan akan menaikan harga minyak sebanyak 70 sen seliter selepas pilihanraya umum akan datang.

Beliau yang juga panelis dalam forum berkenaan menguatkan lagi hujahnya bahawa harga minyak akan naik berdasarkan kepada satu pertemuan dengan Perdana Menteri. Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri berulang kali menegaskan bahawa kerajaan sudah tidak sanggup lagi untuk menanggung subsidi minyak akibat kenaikan harga minyak dunia.

Selain itu, Husam juga berkata, kenaikan harga minyak dan bahawa pilihanraya umum akan diadakan pada hujung tahun, turut dinyatakan oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dipengerusikan oleh Ibrahim Ali baru-baru ini.

Bebankan rakyat

Kenaikan harga minyak sudah pasti akan membebankan golongan majoriti rakyat. Ia akan mendorong kepada kenaikan harga barang keperluan asas. Dengan pendapatan yang rendah, sudah pasti kenaikan harga akan terasa perit sekali, terutamanya bagi penduduk miskin kota.

Kenaikan harga minyak yang mendadak dan berterusan juga telah menyebabkan ramai rakyat yang berada dalam golongan kelas menengah bertukar menjadi golongan kelas bawahan.

Hari ini jika kita tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai keluarga, pendapatan RM3,000 sudah tidak boleh lagi dianggap bergaji besar ekoran kos sarahidup yang begitu mahal. Bayangkanlah bagaimana golongan yang berpendapatan di bawah RM1,000 dan bekerluarga hidup di Kuala Lumpur?

Pada tahun 2006, telah berlaku beberapa siri demonstrasi rakyat Malaysia menentang kenaikan harga minyak. Penentangan terhadap kenaikan harga bahan bakar itu telah mendorong tertubuhnya Gabungan Memprotes Kenaikkan Harga Minyak (Protes).

Beberapa siri demonstrasi yang dianjurkan oleh Protes mendapat sambutan besar rakyat. Ini telah menyebabkan polis bertindak keras terhadap kebangkitan rakyat ini bagi mematikan pergerakan yang menjadi semakin popular dan mendapat sokongan besar.

Faktor ini yang menyebabkan kerajaan tidak berani mengadakan pilihanraya umum selepas harga minyak dinaikkan. Jika pilihanraya diadakan selepas kenaikan harga minyak, kemungkinan besar Barisan Nasional akan mengulangi pengalaman buruk pilihanraya umum ke 10 tahun 1999. Umno akan kehilangan banyak kerusi dan undi orang Melayu akan bersama pembangkang.

Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Joceline Tan yang bertajuk "In no hurry for polls" dalam akhbar The Star pada 30 September 2007, beliau telah menemuramah "budak-budak tingkat 4" yang diketuai oleh menantu PM. Rata-rata mereka begitu yakin bahawa kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihanraya dan parti pembangkanglah yang memberi tekanan agar pilihanraya diadakan lebih awal.

Selain itu mereka juga berkata dengan angkuhnya bahawa Anwar Ibrahim bukanlah lagi faktor dan jika Anwar bertanding sekalipun, mereka akan mengalahkannya dan mitos tentang Anwar akan ditutup.

Reformasi pilihanraya

Kelmarin, PAS yang dipimpin oleh presidennya, Tok Guru Abdul Hadi Awang dengan beberapa pemimpin tertinggi PAS telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai reformasi pilihanraya. SPR diketuai sendiri oleh pengerusinya Tan Sri Rashid Abdul Rahman. Pertemuan tersebut berjalan dengan baik. Walaubagaimanapun SPR tidak menjamin reformasi pilihanraya akan berlaku. Ini telah menguatkan lagi semangat presiden PAS itu untuk bersama-sama rakyat dalam Perhimpunan 100 000 rakyat anjuran BERSIH.

Perhimpunan 100,000 rakyat anjuran BERSIH akan menjadi penentu kepada reformasi pilihanraya di Malaysia. Jika perhimpunan tersebut berjaya menjadi perhimpunan raksaksa, senario politik negara akan berubah. Tekanan yang kuat daripada rakyat akan menyebabkan kerajaan akur.

Kita ambil contoh penggunaan dakwat kekal. Protes dan desakan yang bertubi-tubi daripada rakyat menyebabkan SPR dan kerajaan Malaysia akur. Begitu juga dengan reformasi pilihanraya, jika tekanan diberikan secara berterusan, sudah pasti satu hari akan berlakunya perubahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia.

Yang penting ialah program kesedaran rakyat harus dijalankan secara berterusan. Rakyat Malaysia sudah pasti telah muak dengan misteri teka-teki pilihanraya.

RTM telah memainkan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menghadiri perhimpunan BERSIH. Pemuda Umno telah "membantai" perhimpunan 100 000 rakyat dalan lamanwebnya. Lamansweb BERSIH juga telah digodam Ahad lalu.

Laman-lamanweb alternatif juga telah menjadi medan untuk menjawab propaganda RTM dan Pemuda Umno. Malahan, gambar-gambar demonstrasi menentang Malayan Union yang dikepalai Datuk Onn Jaafar telah dikeluarkan bagi meyakinkan rakyat bahawa demonstrasi adalah budaya Umno juga.

Nampaknya spekulasi tentang tarikh pilihanraya umum yang dikatakan akan diadakan pada hujung tahun ini tidak melemahkan semangat BERSIH yang dianggotai oleh badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja, parti politik dan persatuan mahasiswa untuk meneruskan prhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November 2007. Apakah perubahan politik akan benar-benar berlaku di Malaysia? Kita tunggu dan lihat.