Ketika berucap menggulung perbahasan di perhimpunan Pemuda Umno di PWTC, menantu Perdana Menteri berkata: "Ini bukan soal saya anti-demokrasi, tak nak dengar suara rakyat, ini soal undang-undang, ini soal haram, mereka perlu ditangkap..."

"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalanraya tetapi bertanding dalam gelanggang pilihanraya umum.

"Kita yakin kita akan menang menentang mereka,". (8 November 2007).

Manakala Perdana Menteri pula dalam ucapan penggulungannya pada 9 November 2007 berkata: "Saya dukacita. Apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan? Sebenarnya yang mereka cabar, yang mereka hendak ketepikan adalah undang-undang.

"Mereka mencabar undang-undang dan peraturan. Mereka mencabar rakyat kerana rakyat mahu supaya negara ini aman, selamat dan stabil sepanjang masa. Itu yang dicabar, bukan saya.

''Tetapi saya kata saya pantang dicabar," (Utusan Malaysia, 10 November 2007).

Itulah dua amaran yang dikeluarkan oleh menantu perdana menteri, merangkap Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno di perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

Dengan kawalan ketat polis melalui sekatan jalanraya di semua pintu masuk ke Kuala Lumpur, banyak bas dari Utara, Selatan dan Pantai Timur disuruh berpatah balik, dan rakyat diintimidasi dengan propaganda bahawa perhimpunan aman akan bertukar ganas, Kuala Lumpur tetap dibanjiri 40,000 rakyat dan perarakan besar ke Istana Negara berjaya dilakukan.

Jika tidak ada sekatan besar-besaran oleh polis, saya yakin kehadiran rakyat akan melebihi angka 100 000.

Cuba sembunyi berita

Media-media arus perdana cuba mengatakan bahawa perhimpunan rakyat gagal dengan mengatakan hanya 4,000 rakyat yang hadir. Malahan gambar-gambar juga tidak disiarkan.

Sedangkan media antarabangsa seperti BBC, CNN, New York Times, Bangkok Post dan Al Jazeera melaporkan puluhan ribu rakyat membanjiri Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil. Ia turut disertakan dengan gambar-gambar dan klip video yang menunjukkan perhimpunan raksasa rakyat.

Hujan lebat langsung tidak melemahkan semangat rakyat untuk berarak ke Istana Negara. Dengan aman dan tertib, mereka berjalan tanpa merosakkan harta awan dan menimbulkan kekacauan.

Ternyata dakwaan bahawa perhimpunan anjuran Bersih itu akan bertukar ganas adalah tidak tepat dan fitnah semata-mata. Malahan perhimpunan pada 10 November 2007 yang lalu adalah bukti bahawa rakyat Malaysia matang dalam mempraktikkan demokrasi.

Walaupun perhimpunan berjalan dengan aman, polis tetap menggunakan kekerasan dalam menyuraikan ribuan rakyat yang berhimpun di Masjid Jamek.

Menurut seorang teman yang berada di lokasi tersebut, polis telah menembak gas pemedih mata sebanyak enam kali ke atas mereka yang berhimpun di kawasan tersebut.

Namun rakyat tetap tidak bersurai. Tangkapan juga dilakukan, namun ianya tidak menakutkan hadirin yang berhimpun. Ini merupakan pendidikan politik yang terbaik untuk sesetengah hadirin yang pertama kali mengikuti demonstrasi jalanan.

Dan bagi sesetengah pihak, inilah pertama kali mereka merasakan tembakan gas pemedih mata dan terkejut melihat cara polis menyuraikan perhimpunan yang berjalan secara aman.

Dari pemantauan saya, kemungkinan besar telah berlaku perpecahan dalam pasukan polis yang mengawal perhimpunan raksasa itu. Kita ambil contoh dua lokasi - Masjid Jamek dan Masjid Negara. Masjid Jamek di bawah polis Kuala Lumpur manakala Masjid Negara pula di bawah polis Brickfields.

Di Masjid Jamek, polis telah bertindak bersungguh-sungguh untuk memastikan perhimpunan aman disuraikan. Tembakan gas pemedih mata, tangkapan dan pukulan digunakan untuk menggagalkan perhimpunan itu.

Berbeza dengan polis yang mengawal Masjid Negara. Mereka seolah-oleh memberikan sokongan kepada perhimpunan. Apabila kumpulan besar rakyat yang datang dari Sogo tiba di jalan yang berseberang dengan Masjid Negara, mereka langsung tidak menghalang tetapi mengundurkan trak meriam air bagi memastikan kawasan tersebut dapat memuatkan puluhan ribu rakyat yang hadir.

Apakah ini menandakan telah berlakunya perpecahan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)? Apakah telah ada team A dan team B dalam PDRM? Apakah ia kesan daripada apa yang berlaku terhadap Datuk Ramli Yusuff yang juga pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) sebelum ini?

Unit Amal ambil alih tugas polis

Pujian yang besar harus diberikan kepada Unit Amal PAS yang telah mengambil alih tugas polis untuk memastikan perhimpunan berjalan secara aman. 700 anggota dari seluruh negara telah dikerahkan untuk bersama membantu menjayakan perhimpunan raksaksa anjuran Bersih itu.

Mereka telah mengawal lalulintas dan memastikan agar tidak ada sebarang provokasi dilakukan untuk mencemari perhimpunan aman. Mereka juga telah menjadi benteng kepada rakyat sekiranya berlakunya sebarang konfrontasi.

Sejarah baru telah terlakar dalam politik Malaysia. Selepas 20 September 1998, perhimpunan untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil minggu lalu adalah sebuah perhimpunan yang besar dan bersejarah. Ia akan menjadi rujukan baru dalam kamus politik Malaysia.

Telah terbukti bahawa tidak ada apa yang boleh menghalang arus kebangkitan rakyat. Rakyat Malaysia telah bersama-sama dengan arus kebangkitan rakyat antarabangsa seperti di Pakistan dan Burma yang bangkit untuk menuntut perubahan politik dilakukan.

Ugutan, amaran dan cabaran tidak melemahkan semangat rakyat untuk keluar ke jalanraya untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil. Perdana Menteri dan menantunya telah dicabar oleh rakyat.

Satu isyarat yang jelas telah diberikan. Sekarang terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan memorandum yang telah dihantar oleh wakil Bersih. Rakyat telah menempuh segala halangan dan rintangan untuk sampai ke Istana Negara dengan laungan 'Daulat Tuanku'.

Sekarang sudah tiba masanya untuk Yang di-Pertuan Agong menggembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia.