Bulan Ogos amat bermakna bagi rantau Nusantara. Singapura menyambut Hari Kebangsaannya pada 9 Ogos, Indonesia pada 17 Ogos dan Malaysia sambut 31 Ogos.
India juga menyambut Hari Kemerdekaan pada 15 Ogos sementara Pakistan sambut pada 14 Ogos. Kemerdekaan India adalah penting bagi Malaysia kerana perlembagaan India menjadi contoh kepada perlembagaan Malaysia.
Dalam bahasa kebangsaan India iaitu, Hindi, perdana menteri disebut pradhaan mantree yang berasal dari perkataan Sanskrit. Indonesia turut menggunakan istilah perdana menteri.
Di Bangladesh, istilah bagi perdana menteri dalam bahasa Bengali ialah prodhanamontri.
Satu institusi perlembagaan yang berasal dari India ialah Durbar. Asal istilah Durbar adalah dari Parsi. Ia merujuk pada raja mengadakan persidangan di balairung seri.
Institusi Durbar ini menjadi amalan maharaja-maharaja Moghul yang memerintah India. Kerajaan Moghul berasal dari orang Mongol yang mengambil budaya Parsi. Jadi Durbar adalah persidangan maharaja-maharaja Moghul dengan raja dan putera wilayah-wilayah bawah pemerintahannya.
Maka konsep Durbar ini juga diambil oleh British untuk memerintah India. Durbar pertama India yang dikenali sebagai Durbar Delhi diadakan pada tahun 1877. Ia merupakan perhimpunan raja-raja India bawah penguasaan British.
Daripada contoh Durbar Delhi, British juga menganjurkan Durbar di Tanah Melayu. Durbar ini bertujuan mengukuhkan kedudukan British ekoran penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) pada tahun 1875. Maka Durbar pertama diadakan pada tahun 1897 di Istana Negara yang baru siap di Kuala Kangsar, Perak. Durbar itu dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Pahang, Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ia disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi British, iaitu wakil pada Raja British, Residen Jeneral iaitu ketua bagi residen-residen FMS dan residen-residen Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Maka Durbar ini berkembang menjadi Majlis Raja-raja yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ketika ia ditubuhkan pada tahun 1948. Apabila merdeka, pesuruhjaya tinggi sudah tidak ada dalam Majlis Raja-raja. Istilah pesuruhjaya tinggi diberikan kepada semua duta besar negara-negara Komanwel, dan bukan khas untuk pegawai British.
Dalam Majlis Raja-raja, bukan saja ada Yang di-Pertuan Agong, sultan-sultan, raja dan Yang Di-Pertuan Besar tetapi juga Yang Di-pertua Negeri. Residen Jeneral digantikan dengan perdana menteri dan residen digantikan dengan menteri besar atau ketua menteri.
Bila Singapura berpisah
Ketika Singapura dalam Malaysia, Yang Di-Pertuan Negara dan perdana menterinya mewakili pulau itu. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia dan menjadi republik, maka Yang Di-Pertuan Negaranya menjadi presiden.
Bendera kebangsaan Singapura berasaskan warna merah dan putih seperti Indonesia. Selain Singapura, negeri yang mempunyai latar merah putih ialah Melaka. Dari tahun 1973 hingga 1988, Sarawak juga memiliki bendera negeri berlatar merah putih dengan segi tiga berwarna biru di kiri.
Dalam sejarah, pernah dicadangkan dalam Perlembagaan Rakyat supaya bendera Malaya juga berlatar merah putih. Begitu juga Brunei seperti yang dicadangkan oleh Parti Rakyat Brunei (PRB) ketika memberontak pada tahun 1963. Bendera cadangan mereka adalah merah putih dengan tiga segi hijau di kiri.
Parti-parti Malaysia juga mengambil latar merah putih pada bendera mereka. Parti pertama yang menggunakannya ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945. Ini diikuti dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang meletakkan obor berwarna hitam di tengah pada tahun 1946. Pada tahun sama, Umno turut menggunakan merah putih sebagai bendera dengan bulatan kuning serta keris berwarna hijau. PAS juga menggunakan bendera merah putih dengan bulan penuh hijau di penjuru.
Pada tahun 1955, apabila Parti Rakyat Malaya (PRM) ditubuhkan, ia menggunakan bendera latar merah putih dengan simbol kepala kerbau banteng hitam di tengah. Bendera yang sama turut digunakan oleh Parti Rakyat Singapura (PRS) dan PRB. Begitu juga Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang menggunakan bendera merah putih dengan perisai Iban di tengah. Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) juga mempunyai bendera merah putih dengan logo parti di tengah-tengah.
Bendera merah putih diambil sempena kerajaan-kerajaan purba yang menggunakan warna putih sebagai panji-panji kerajaan mereka termasuk Majapahit yang benderanya adalah jalur-jalur merah putih seperti bendera Malaysia hari ini.
Pertubuhan Indonesia yang mula menggunakan bendera merah putih ialah Perhimpunan Indonesia dengan lambang kepala kerbau banteng di tengah pada tahun 1920. Pertubuhan itu, benderanya dan nama Indonesia diharamkan oleh penguasa Belanda.
Indonesia menaikkan bendera kebangsaannya itu pada 17 Ogos 1945 serentak dengan pengisytiharan kemerdekaannya dari Belanda. Keterujaan PKMM terhadap Revolusi Indonesia membawa mereka turut mengambil bendera Indonesia sebagai bendera mereka.
Pada tahun 1947, persidangan gabungan parti-parti kiri Malaya iaitu Putera-AMCJA mendukung Perlembagaan Rakyat yang menetapkan bahawa bendera Malaya ialah merah putih dengan 12 bintang melambangkan 12 negeri di Malaya termasuk Singapura.
Putera ialah Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang diketuai oleh PKMM dan dianggotai oleh API, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Majlis Agama Tertinggi (MATA), Badan Tani Se-Malaya (Batas) dan Gerakan Angkatan Muda (Geram).
AMCJA pula ialah Majlis Bertindak Bersama Seluruh Malaya yang dianggotai oleh Kesatuan Demokratik Malaya (MDU), Persekutuan Wanita, Kesatuan Sekerja Persekutuan Seluruh Malaya (PMFTU), Persatuan Bekas Komrad MPAJA dan MIC.
Putera, AMCJA, Perlembagaan Rakyat dan bendera itu diharamkan dan pemimpinnya ditangkap oleh penjajah British.
300 reka bentuk bendera Tanah Melayu
Majlis Raja-raja yang bersidang pada tahun 1949 memutuskan supaya reka bentuk bendera Tanah Melayu diadakan melalui cadangan dari kalangan rakyat.
Lebih 300 reka bentuk diterima dan tiga disenaraipendekkan oleh jawatankuasa. Dua bendera berwarna biru tua dengan 11 bintang dan keris bersilang. Satu lagi reka bentuk ialah seperti bendera Johor dengan bulan bintang berlatar di sudut. Cumanya warna biru itu dijadikan 11 jalur biru putih.
Jawatankuasa putuskan bahawa bintang berbucu lima itu dipecahkan kepada 11 untuk mewakili semua negeri di Tanah Melayu. Bulan bintang itu pula bukan berwarna putih tetapi kuning. Sementara latarnya yang berwarna biru diubah kepada merah. Jalur-jalur biru putih pula ditukar kepada merah putih.
Pada tahun 1959, Singapura memperoleh kedudukan pemerintahan sendiri tetapi belum merdeka. Untuk reka bentuk bendera rasmi, maka dicadangkan supaya bendera kebangsaan berwarna merah. Ada kalangan mereka yang teruja dengan Revolusi China mahukan bendera Singapura menyerupai bendera Republik Rakyat China (PRC) yang mempunyai latar merah dengan lima bintang kuning di penjuru. Walaupun bendera PRC itu ada lima bintang, bendera Singapura dicadangkan supaya ada tiga bintang saja, bagi melambangkan orang Melayu, Cina dan India.
Tetapi tiga bintang pada latar merah adalah seperti lambang Bintang Tiga, iaitu Tentera Pembebasan Anti Jepun (MPAJA) yang merupakan sayap ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM).
Bagi mengelak persamaan itu, maka tiga bintang itu ditambah jadi lima. Maka bendera Singapura jadi pula seperti bendera PRC, bezanya bendera PRC ada sebutir besar yang didampingi lima bintang kecil.
Akhirnya penyelesaian yang dibuat ialah menambah bulan sabit pada bendera Singapura. Jadi bulan sabit itu melambangkan orang Melayu dan Islam sementara yang lima bintang itu mewakili orang Cina. Namun secara rasmi maksud bulan sabit itu adalah Singapura sebagai negara muda dan lima bintang itu melambangkan demokrasi, perdamaian, kemajuan, persamaan dan keadilan.
Satu lagi cara untuk tidak kelihatan bahawa Singapura itu adalah negara orang Cina ialah menukar warna merah kepada merah putih. Bendera merah putih melambangkan Nusantara dan Singapura adalah sebahagian daripadanya.
Apabila Malaysia ditubuhkan, pecahan bintang dan jalur ditambah pada bendera untuk menampung tiga negeri baharu iaitu Singapura, Sarawak dan Sabah. Dengan Malaysia mengambil bendera Tanah Melayu sebagai benderanya, maka Tanah Melayu hilang identitinya. hilang identiti dan benderanya. Bukan itu saja, malah konsep Tanah Melayu, Malaya dan Melayu itu berubah. Melayu digantikan dengan Bumiputera untuk menampung kaum Sarawak dan Sabah. Tanah Melayu sudah menjadi Semenanjung Malaysia. Maka tidak ada Malaya dan Malay Peninsula.
Sebagai seorang vexillologist iaitu peminat hal ehwal bendera dan panji-panji, saya merasakan bahawa kalaulah bendera Singapura itu bukan bendera kebangsaan negara itu, maka ia sesuai untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaysia ketika ia ditubuhkan pada tahun 1963. Bendera itu ada bulan sabit dan lima bintang yang boleh mewakili Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei, iaitu jika Brunei turut serta. Tetapi tentulah itu tidak berlaku.
Sejarah ada perjalanannya yang tidak boleh diundur. Sejarah sudah menetapkan bahawa Singapura dan Brunei tidak bersama Malaysia dan Jalur Gemilang sudah cukup indah sebagai bendera Malaysia.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
