Lima belas hari selepas perhimpunan anjuran Bersih, ibukota negara bergegar lagi dengan satu lagi perhimpunan rakyat anjuran Hindraf untuk menyampaikan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia.

Walaupun dikritik media antarabangsa, NGO dan aktivis politik mengenai cara polis mengendalikan perhimpunan Bersih, namun pasukan itu tetap menggunakan metadologi yang sama untuk menghalang perhimpunan tersebut diadakan. Polis mengadakan sekatan di lebuhraya dan jalan masuk ke Kuala Lumpur. Seperti sewaktu perhimpunan Bersihm, 4,000 anggota polis ditugaskan untuk menghalang perhimpunan Hindraf.

Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang perhimpunan Hindraf. Media arus perdana setiap hari dan setiap malam memainkan perananan untuk "membelasah" perhimpunan yang bertujuan untuk menuntut kerajaan British membayar pampasan kepada kaum India di Malaysia.

Namun, 30,000 penyokong Hindraf dari seluruh negara berjaya masuk ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan. Sejak dari awal pagi lagi, pihak polis bertindak menghalang orang ramai menyertai perhimpunan tersebut. Berkali-kali gas pemedih mata dilepaskan tetapi semua itu sedikitpun tidak melemahkan semangat penyokong Hindraf untuk terus berhimpun.

Ramai pihak yang hadir memantau perhimpunan tersebut percaya insiden seumpama itu dapat dielak sekiranya pihak polis bertindak secara profesional dan membiarkan penyokong Hindraf berhimpun di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British.

Selepas perhimpunan berlalu, laporan media arus perdana yang berat sebelah, hanya menyiarkan gambar-gambar dan berita mengenai polis yang tercedera sahaja. Mereka tidak langsung menyiarkan gambar-gambar dan berita mengenai penyokong Hindraf yang dipukul atau tercedera.

Sekalung tahniah harus diberikan kepada penyokong Hindraf kerana berani mempertahankan hak kebebasan untuk berhimpun secara aman yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Politik perkauman

Namun apa yang merisaukan hati saya ialah perhimpunan anjuran Hindraf ini akan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengapi-apikan kebencian antara kaum di Malaysia yang hanya akan merugikan semua pihak.

Sebenarnya, dominasi politik perkauman telah berjaya dipecahkan sedikit demi sedikit. Telah ramai rakyat yang mula menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) hanya meneruskan dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh kerajaan British.

Kenaikan harga barang yang berlaku akibat kenaikkan harga minyak dunia telah menjejaskan semua pihak - tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Peniaga gerai Melayu, Cina dan India semuanya merungut kerana menanggung kerugian dari hari ke hari.

Orang Melayu di Kampung Berembang dan orang India di Kampung Rimba Jaya berkongsi kesedihan apabila surau dan kuil mereka dirobohkan. Peguam Melayu, Cina dan India telah berarak di Putrajaya pada bulan Ramadhan yang lalu, untuk menuntut agar sistem kehakiman negara dibersihkan.

Begitu juga dengan Syed Mokhtar Al-Bukhary, Ananda Krishnan dan Robert Kuok, mereka adalah antara yang terkaya di Malaysia. Telah terbukti bahawa kekayaan tidak mengenal bangsa dan agama. Begitu juga dengan kemiskinan.

Perhimpunan Hindraf Ahad lalu telah memberikan "vitamin" kepada politik perkauman yang telah nazak di Malaysia. Ianya akan terus menghidupkan mitos bahawa nasib sesuatu kaum dan bangsa hanya boleh dibela oleh kaum dan bangsa masing-masing sahaja. Umno, MCA dan MIC akan terus relevan.

Sejarah telah membuktikan bahawa politik perkauman di Malaysia telah beberapa kali hampir kecundang. Namun "vitamin" telah disuntik agar politik perkauman terus hidup.

'Nafas baru'

"Tragedi 13 Mei" yang berlaku pada tahun 1969 adalah antara contoh terbaik untuk dijadikan teladan dan panduan. Pada ketika itu, Umno, MCA dan MIC telah mulai hilang sokongan rakyat. Kerusi yang diperolehi Perikatan (kini BN) dalam pilihanraya umum 1964 telah merosot pada pilihanraya umum 1969.

Sejumlah 89 kerusi Parlimen yang diperolehi pada pilihanraya 1964, telah merosot kepada 66 kerusi pada pilihanraya 1969. Perikatan telah kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sentimen perkauman diapi-apikan dan tercetusnya tragedi 13 Mei. Insiden tersebut telah memberikan nafas baru kepada Umno, MCA dan MIC. Orang Melayu kembali memberikan sokongan pada kepada Umno. Begitu juga dengan orang Cina dan India. Mereka kembali kepada MCA dan MIC.

Situasi yang sama hampir berlaku. Pada tahun 2004, BN memperolehi kemenangan yang terbesar dalam sejarah pada pilihanraya umum ke-11. Mandat yang besar diberikan kepada Perdana Menteri baru, Abdullah Ahmad Badawi.

"Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari". Mandat besar yang diberikan kepada Pak Lah tidak memberikan kebahagiaan kepada rakyat. Harga barang terus naik. Gaji yang dinaikkan bagi pekerja sektor awam, menjadi tidak bermakna apabila ianya disusuli dengan kenaikan harga barang yang mendadak.

Tuntutan agar gaji minima diberikan kepada pekerja swasta juga tidak dilayan. Hasilnya ramai yang duduk dalam kelas ekonomi menengah, telah bertukar menjadi kelas bawah. Tambahan lagi, kenaikan harga minyak dunia yang berterusan tidak menyebelahi BN. Ini adalah antara faktor besar yang dikatakan akan mengurangkan kerusi BN dalam pilihanraya akan datang.

Yang dikhuatiri sekarang ialah apakah sejarah akan berulang. Diharap rakyat Malaysia akan bertindak bijak. Jangan diulang sejarah silam yang sukar untuk dipulihkan sehingga hari ini. Jangan kerana kuasa dan kedudukan, nyawa rakyat bawahan dijadikan pertaruhan.

Jangan cemarkan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 dengan insiden yang tidak diingini. Semua pihak harus memainkan peranan agar sengketa antara kaum dan agama tidak berlaku.

Media arus perdana harus menjadi lebih bijak dalam isu perkauman. Jangan mainkan sentimen perkauman yang hanya akan menyebabkan Malaysia mundur ke belakang.