Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Baru-baru ini seorang ahli politik PAS, Dr Zuhdi Marsuki menyatakan bahawa “dalam 10 tahun PAS telah membentuk tiga gabungan Gagasan, MN dan PN. Dua telah terkubur dan satu mulai tenat.”

Apa yang dimaksudkan dengan Gagasan ialah Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang ditubuhkan pada 2016.  MN ialah Muafakat Nasional yang disertai oleh PAS dan Umno yang ditubuhkan pada 2019.

PN tentunya Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang ditubuhkan pada 2020.

Tempoh 10 tahun itu adalah dari tahun 2015 hingga 2025. Tahun 2015 adalah titik ubah bukan saja bagi PAS dan pengikut-pengikutnya tetapi negara ini. Pada tahun inilah perpecahan berlaku dalam PAS, dengan sebahagian ahlinya membentuk Amanah. Tetapi ada juga yang pernah menjadi ahli PAS berpuluh-puluh tahun memilih untuk tidak aktif lagi.

Ini kerana pada 2015 PAS telah mengubah haluan. Maknanya apabila Amanah menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, ia juga menandakan ulang tahun ke-10 PAS mengubah haluan. 

Apa yang disebut sebagai perubahan haluan itu ialah apabila PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang telah menolak kerjasama dengan DAP dan PKR, yang membawa erti menolak Anwar Ibrahim sebagai ketua dan selanjutnya sebagai calon Perdana Menteri. Penolakan PAS itu juga meruntuhkan Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas kerjasama PKR, PAS dan DAP dapat menafikan dua pertiga majoriti BN dan menguasai lima negeri dalam pilihan raya 2008.

Haluan lama itu adalah hasil dari perjuangan bersama PKR, PAS dan DAP sejak 1998 apabila gerakan Reformasi dilancarkan. Maknanya, perjuangan 10 tahun secara bersama antara PKR, PAS dan DAP telah menampakkan hasilnya pada 2008. Pada mulanya gabungan itu dipanggil Barisan Alternatif yang terdiri daripada Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM), PAS dan DAP untuk menghadapi PRU 1999, yang memberi keuntungan bagi PAS dengan memenangi Terengganu.

Oleh kerana Keadilan parti baru dan belum lagi mempunyai akar umbi serta penyokong massa, maka PAS banyak membantu Keadilan. Pengikut PAS berkempen untuk Keadilan seperti partinya sendiri dan Anwar Ibrahim sebagai ketua mereka.

Dalam PRU 2004, Keadilan sudah bergabung dengan PRM untuk menjadi PKR. Sekali lagi gabungan mereka, Barisan Alternatif yang terdiri daripasa PKR, PAS dan DAP bertanding dengan akar umbi serta penyokong massa PAS berkempen untuk PKR dan DAP.

Barisan Alternatif terpukul dalam PRU 2004. PAS kehilangan Terengganu dan PKR hanya tinggal satu kerusi Parlimen. BN pula merasakan mereka telah kembali kuat dan cabaran daripada pembangkang berjaya dipatahkan.

Namun begitu, keadaan berubah pada 2008. Dalam PRU tahun itu, DAP sudah keluar dari Barisan Alternatif kerana bimbang pengundi Cina menolak kerjasama parti itu dengan PAS. Sementara PAS kekal bersama PKR dalam Barisan Alternatif. Pun begitu, DAP terus bekerjasama dengan Barisan Alternatif. Anwar Ibrahim yang sudah bebas dari penjara tetapi tidak boleh bertanding berkempen untuk semua calon Barisan Alternatif dan DAP.

Kemenangan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga dalam PRU 2008 memberi keyakinan baru bahawa pembangkang boleh menang pada masa akan datang. Formula untuk kemenangan itu telah ditemui iaitu kerjasama antara PKR, PAS dan DAP yang diisytiharkan sebagai gabungan Pakatan Rakyat.

Harapan cerah Pakatan Rakyat boleh tercapai selagi Fadzil Noor menjadi Presiden PAS dan Nik Aziz Nik Mat adalah Mursyidul Am, dengan kebanyakan AJK PAS Pusat mendukung kerjasama PKR-PAS-DAP itu. Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002 dan Nik Aziz meninggal dunia pada 2015. Setelah ketiadaan dua tokoh ini, Abdul Hadi Awang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.  Tentu keadaan ini dialu-alukan oleh Umno pimpinan Najib Razak. Pucuk dicita ulam mendatang.

Sebenarnya usaha dan kempen untuk menarik keluar PAS daripada pakatan pembangkang  dapat dikesan sejak dari awal lagi, iaitu pada malam kemenangan PKR-PAS-DAP di Selangor pada 2008. 

Walaupun dalam pilihan raya itu Pakatan Rakyat belum ditubuhkan, tetapi pakatan parti pembangkang telah diisytiharkan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang belum secara rasmi didaftarkan turut bertanding di bawah tiket PKR. Pertandingan satu lawan satu dengan BN dapat dilakukan. Apa yang pasti ialah penyokong PAS mengundi DAP, dan penyokong DAP mengundi calon PAS. Apabila pembangkang menang, ia bermakna majoriti rakyat menyokong kerajaan negeri PKR-DAP-PAS.

Tetapi pada malam kemenangan itu, ada usaha gelap untuk menafikan aspirasi rakyat Selangor. Perkara ini diceritakan kemudian oleh Dr Hasan Ali dalam ceramahnya yang kemudian tersebar. Hasan Ali adalah antara pemimpin PAS negeri yang turut terlibat  menubuhkan sebuah kerajaan PAS-Umno bagi menafikan PKR dan DAP. 

Usaha itu gagal. Walaupun ketika itu Abdul Hadi Awang sudah menjadi presiden tetapi Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Mursyidul Am PAS yang berpengaruh dan komited terhadap pakatan PKR-PAS-DAP dan menolak Umno.

Allahyarham Nik Aziz Nik Mat

Di pihak Umno pula, satu strategi ditemui dan dirancang untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Strateginya adalah memecahkan pakatan itu. Caranya ialah mencari kelemahan hubungan antara parti itu. Maka kelemahan itu ditemui pada PAS dan DAP. 

Tetapi untuk melakukan perpecahan antara PAS dengan DAP, dicari pula kelemahan antara dua kumpulan PAS iaitu antara kumpulan yang mesra DAP dan kumpulan anti-DAP. Kumpulan anti-DAP merupakan golongan berfikiran konservatif Melayu sementara kumpulan mesra DAP adalah mereka yang cenderung pada fahaman demokratik dan progresif. Maka kelemahan hubungan antara keduanya dibesar-besarkan hinggalah akhirnya berlakulah perpecahan PAS pada 2015.

Namun begitu, Umno pula turut berpecah. Puncanya ialah isu 1MDB dan penolakan terhadap Najib. Sebab itu, tahun 2015 adalah amat bermakna bagi Malaysia. Akhirnya Bersatu ditubuhkan pada 2016. Parti ini kemudian menyertai PH dan memberi semula harapan bagi Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam menghadapi PRU 2018, strategi Umno ialah untuk memberi ruang kepada PAS menarik sebanyak mungkin undi PH dalam pertandingan tiga penjuru bagi membolehkan BN  terus menang.

Maka PAS bertanding di paling banyak kawasan dalam sejarahnya. Ternyata calon yang mereka letakkan di tempat-tempat mereka tidak boleh menang bertujuan memecahkan undi pembangkang.

Strategi PAS berjaya dan memenangi semula Terengganu, tetapi ia menggagalkan strategi BN. Apa yang terserlah ialah PAS telah memecah undi Melayu dan ada di beberapa tempat, ia memenangkan PH dan merugikan BN.

Dengan PH memenangi PRU 2018, BN dan PAS mencorak strategi baru iaitu Muafakat Nasional. Gabungan Gagasan Sejahtera dilupakan begitu saja. 

Pemeteraian Muafakat Nasional

Ternyata MN memberi kesan dengan menampilkan isu Melayu atas dasar menolak DAP. Ia menang siri pilihan raya kecil dan itu memberi kesan kepada PH yang merasakan mereka kehilangan sokongan, pengaruh dan undi. Ia juga memberi tekanan kepada Bersatu yang merupakan parti mewakili kepentingan Melayu.

Untuk menjatuhkan PH, BN perlu mencari hubungan lemah di dalamnya dan cuba putuskan. Hubungan lemah itu ialah antara Bersatu dengan PKR. BN memperoleh peluang besar apabila PKR berpecah antara kumpulan penyokong Azmin Ali dan penyokong Anwar Ibrahim.

Bersatu keluar PH dan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan yang dianggotai oleh Bersatu, kumpulan Azmin, BN dan PAS. Kumpulan Azmin itu kemudian menyertai Bersatu. 

Kerajaan pimpinan Muhyiddin itu ditubuhkan pada 2020. Inilah kali kedua PAS berada dalam kerajaan persekutuan. Sebelum ini ia berlaku pada 1974, apabila PAS menjadi anggota BN. Dengan Kelantan dan Terengganu di bawahnya, inilah pencapaian Abdul Hadi yang besar, mengalahkan Fadzil Noor dan Yusof Rawa selaku presiden.

Muhyiddin merancang satu gabungan jangka panjang yang terdiri daripada Bersatu, BN dan PAS yang dinamakan PN. Maknanya ia merangkumi MN.

Tetapi BN enggan menyertai PN. Antara Bersatu dan Umno, PAS pilih Bersatu. Maka PN terdiri daripada PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Dalam PRU 2022, tidak ada gabungan yang memperoleh majoriti. PH muncul sebagai gabungan terbesar, diikuti dengan PN dan BN. Tetapi dari segi parti, PAS muncul sebagai parti paling besar dan juga menang di empat negeri. Ini juga satu pencapaian dasar dan strategi Abdul Hadi. 

Namun begitu, kini untuk menghadapi PRU akan datang, PAS mahu pencapaian lebih besar iaitu untuk menjadi kerajaan persekutuan dengan calon mereka sebagai Perdana Menteri.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS