KOLUM | Agenda Palestin di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu
Persidangan Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September 2025 di New York kali ini didominasi oleh Palestin. Apa yang berlaku di Gaza semenjak 7 Oktober 2023 membuka mata dunia dan membawa Palestin ke PBB di New York.
Dulu pada tahun 1973, perkara yang sama berlaku. Ini sesudah Perang Ramadan atau Perang Yom Kippur. Perang Arab-Israel ini bermula pada 6 Oktober dan berhenti pada 25 Oktober 1973.
Perang Ramadan ini membawa perbincangan di PBB. Kemudian membuka jalan ke Perjanjian Camp David pada 17 September 1978. Pertemuan dan Perjanjian Camp David antara Anwar Sadat dari Mesir dengan Menachem Begin dari Israel. Presiden Jimmy Carter menjadi orang tengah.
Perjanjian Camp David adalah pembelotan pertama negara Arab. Negara Mesir yang terkuat dan terunggul menjadi mandul setelah Camp David.
Kemudian ke Perjanjian Oslo 13 September 1993. Perjanjian ini menemukan Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin. Presiden Bill Clinton menjadi orang tengah. Diikuti dengan Perjanjian Oslo 2 tahun 1995. Latar belakang Perjanjian Oslo ini ialah Intifada 1 dan Intifada 2. Dari sini konsep Penyelesaian Dua Negara mengeram dan menetas.
Ini adalah pembelotan kedua. Kali ini pemimpin Palestin dimandulkan dan menerima kewujudan Israel.
Kali ini agenda Palestin juga muncul pada bulan September. Pada 9 September 2025 – di hari ulang tahun PBB yang ke-80 agenda Palestin muncul kembali. Kali ini yang membawa Palestin ke PBB ialah Taufan Al-Aqsa.
Pada subuh Sabtu 7 Oktober 2023, gerila Hamas – Briged Al-Qassam – masuk menyerang Israel. Hamas menamakan Subuh ini Operasi Taufan al-Aqsa. Pertempuran berlaku. Lebih dari 1200 warga Israel tewas. Seramai 251 warga Israel ditawan oleh gerila Hamas dan dibawa masuk ke Gaza.
Soldadu Zionis menyerang balas. Gaza meledak menjadi sasaran bala tentera Zionis Israel. Mengikut data terakhir dari Jabatan Kesihatan Gaza hingga ke hari ini, lebih dari 65 ribu warga Gaza tewas. Mengikut data Unicef – berakhir bulan Jun 2025 – lebih 50,000 kanak-kanak tewas dan cedera.
Gaza hancur musnah. Bangunan tinggi semua menyembah bumi. Padang jarak padang tekukur. Gaza dibom dari udara dan dari darat. Israel menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai – genosid.
Warga dunia menyinga
Projek genosid ini bertujuan untuk menghapuskan umat Palestin. Pemimpin Eropah – Jerman, UK dan Perancis – buat-buat tak nampak. Pemimpin Negara Selatan mula bersuara. Warga dunia marah menyinga bila melihat jenayah Zionis-Israel.
Trump dan Netanyahu berjabat salam sambil tersenyum puas. Trump merancang untuk menjadikan Gaza tempat bercanda para elit politik dan orang-orang kaya dunia. Gaza akan dibersihkan untuk dijadikan hartanah mewah yang berhadapan dengan Lautan Tengah.
Si kaya dan cukong pemaju hartanah tersenyum dan meleleh air liur melihat tanah di tepi pantai berpasir landai. Menantu Trump – Yahudi Zionis Jared Kushner – seorang pemaju sedang merancang dengan para saudagar Arab untuk membina Gaza. Ini perancangan senyap pascaperang.
Selama dua tahun kebelakangan ini – semenjak 7 Oktober 2023 – berita Gaza terus menjadi induk berita di media dunia. Serangan soldadu Zionis Israel berlaku tanpa henti.
Pada 21 November 2024, berikutan penyiasatan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant, bekas menteri pertahanan Israel.
Demo besar-besaran berlaku di New York, di London, di Paris, di Melbourne, di Tehran, di Jakarta, juga di Kuala Lumpur – kerajaan di negara-negara ini mendapat tekanan dari rakyat untuk membantai Israel dan menyokong Palestin.
Pemimpin negara Arab seperti Mesir, Tunis, Maghribi dan Negara Teluk pula senyap menggaru telur. Rakyat dilarang berdemo di jalan raya. Malah kerajaan Saudi mengharamkan penggunaan kaffiyeh - selendang hitam putih simbol Palestin.
Dalam Israel Netanyahu juga mendapat tekanan dari keluarga tawanan Hamas. Dalam masa yang sama, perang di Gaza ini memaksa Israel memanggil soldadu simpanan. Ekonomi Israel terbarai. Semua ini menambah tekanan kepada Netanyahu.
Justeru untuk meredakan tekanan keluarga tawanan, Netanyahu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata. Maka gencatan senjata dilakukan pada 19 Januari 2025 hingga 25 Mac 2025. Gencatan senjata ini hanya untuk sementara – untuk pertukaran tawanan. Kemudian perang bermula kembali - lebih ganas dan lebih dahsyat.
Netanyahu mahu : Hamas dihapuskan. Tawanan Hamas dibebaskan. Ini mantra Netanyahu kepada dunia.
Penjenayah genosid kurun ini – Netanyahu yang ada waran tangkap - masih lagi mendapat sambutan permaidani merah bila datang ke Rumah Putih. Presiden Trump bukan hanya mengalu-alukan Netanyahu, malah memberi lampu hijau:
“Buatlah yang perlu kamu buat. Lakukan apa yang perlu kamu laku, demi keselamatan Israel.”
Tanpa Amerika, Israel musnah
Dunia hari ini jelas melihat dan memahami tanpa sokongan Amerika, negara Yahudi Zionis Israel akan musnah. Tanpa Amerika malah lebih tepat tanpa Presiden Donald Trump, Perdana Menteri Netanyahu tidak ada keupayaan untuk melakukan apa yang sedang Israel lakukan hari ini terhadap Gaza dan Palestin.
Sokongan padu – dana dan bantuan senjata – dolar, bom dan roket - dari Amerikalah yang menjadikan Zionis-Israel merasa berani melakukan jenayah genosid terhadap Palestin.
Negara sekutu Israel seperti UK, Jerman dan Perancis – membekal senjata. Negara-negara ini menjadi pembekal senjata untuk menyokong bantuan senjata dari Amerika. UK bersama Amerika – CIA – MI5 dan Mossad – bekerja sama mengumpul maklumat dan memberi panduan sulit untuk membantai Palestin.
Ejen CIA, MI5 dan Mossad berkeliaran di serata dunia untuk mengumpul maklumat. Siapa dan sosok mana yang wajib dibunuh kini disenaraikan. Teknologi canggih terus membantu lembaga risikan ini. Ejen Mossad menyusup masuk secara gelap ke dalam badan-badan risikan di Negara Selatan.
Pada 18 September 2025, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menuntut Israel melakukan gencatan senjata dan semua tawanan dibebaskan. Sebanyak 15 negara dalam Majlis Keselamatan bersetuju tetapi resolusi ini telah diveto oleh Amerika.
Perang berterusan. Netanyahu mengumumkan bahawa tentera darat Israel akan masuk secara besar-besaran untuk menghalau semua warga Palestin yang masih lagi berada di Gaza – atas alasan untuk memusnahkan gerila Hamas.
Kem-kem penempatan warga pelarian sudah disediakan di wilayah sempadan Mesir-Israel. Warga Gaza seperti lembu sedang dihalau dan diasak untuk masuk ke kandang ini di Mesir.
Satu demi satu negara sekutu Israel mula berubah pandangan dan mahu mengiktiraf Palestin. Sebelum persidangan PBB kali ini, Perancis, UK, Australia mengeluarkan kenyataan untuk mengiktiraf Palestin.
Negara Eropah yang berhaluan kiri seperti Ireland dan Sepanyol sudah lama bersuara menyokong Palestin dan mengutuk jenayah Zionis Israel. Negara-negara Selatan – di Latin Amerika, Afrika dan Asia telah lama menyokong Palestin.
Malah kes jenayah genosid Zionis Israel yang dibawa ke Mahkamah Dunia diajukan oleh Afrika Selatan.
Persidangan PBB kali ini secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin. Sebanyak 157 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf Palestin yang merangkumi Tebing Barat yang diduduki Israel, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan Semenanjung Gaza. Projek penyelesaian dua negara ini akan menggunakan sempadan tahun 1967.
Tak dapat visa
Bunyinya amat molek tetapi apakah ia masuk akal.
Pertama, sikap Amerika yang mustahil akan mengiktiraf Palestin. Lihat sahaja bagaimana wakil Penguasa Palestin tidak mendapat visa untuk bersama dalam persidangan di PBB kali ini. Selagi kuasa imperialis Amerika tidak mengubah dasar, maka mustahil negara Palestin akan muncul.
Kedua: Hingga ke hari ini, Israel tidak memiliki tanda sempadan yang jelas dalam peta dunia. Ini kerana Israel yang wujud hari ini hanyalah sebahagian dari projek besar untuk mendirikan Israel Raya. Projek Israel Raya ini mencakupi wilayah dari Semenanjung Senai ke Lebanon ke Syria hingga ke Iraq.
Paling akhir – apakah projek dua negara ini dapat dituntaskan? Muncul berita – media dunia melaporkan – penjenayah Perang Iraq Tony Blair, bekas PM UK akan memainkan peranan penting dalam projek ini.
Wajib disedari dalam satu segi dunia melihat apa yang berlaku dalam PBB di New York amat positif – Palestin diiktiraf. Tapi di belakang ini ada satu perancangan yang amat licik.
Melihat apa yang sedang berlaku di PBB – mengingatkan kita semua kembali kepada peranan PLO dan pembelotan. Penguasa Palestin – Mahmud Abbas – sama seperti peranan Tunku Abdul Rahman – sedang menunggu dengan setia.
Kali ini pembelotan kali ketiga akan berlaku. Peranan Mahmud Abbas ini sama seperti peranan Tunku? Mahmud Abbas dan Tunku sama? Sila tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/fd6f142f2a2de19621284ea2e3e660c0.jpg)
