Paling Popular
Terkini

Saya menulis tulisan ini pada 7 Oktober 2025. Pada hari ini dua tahun dahulu di Subuh Sabtu, gerila Briged al-Qassam Hamas menyerang Israel. Operasi Taufan al-Quds ini memeranjatkan dunia. Operasi ini memperlihatkan kekuatan dan keupayaan Hamas melawan penjajah Israel.

Operasi Briged Al-Qassam ini membawa agenda Palestin ke muka dunia. Ketika tulisan ini digarap media dunia sedang heboh membincangkan perihal Perjanjian Damai Gaza.

Wakil Hamas, Israel dan wakil Presiden Donald Trump kini berada di Kaherah untuk memperincikan perjanjian damai Hamas-Israel. Kerajaan Mesir menjadi tuan rumah. Wakil dari Qatar juga ikut sama dalam perundingan ini.

Wakil peribadi Trump ialah Jared Kushner. Sosok Yahudi peniaga-pemaju ini ialah menantu kepada Donald Trump sendiri. Juga bersama ialah seorang lagi peniaga-pemaju Steve Witkoff. Trump melantik Steve Witkoff sebagai wakil keamanan Timur Tengah.

Jared Kushner (kiri) dan Donald Trump

Rundingan damai ini menetas dari mulut Presiden Donald Trump. Dia mengajukan 20 fasal yang wajib dipersetujui oleh Hamas dan Israel untuk merealisasikan perjanjian ini.

Antara 20 fasal itu ada menyebutkan bahawa Gaza akan mendapat damai bila Hamas membebaskan semua tawanan. Masih ada 41 tawanan–hidup dan mati–di tangan Hamas. Juga Israel bersetuju untuk membebaskan 1,000 orang warga Palestin dalam penjara Israel.

Gaza mengikut perjanjian ini akan dibangunkan. Warga Gaza tidak akan dihalau keluar. Mereka boleh pergi dan datang ke tanah tumpah darah mereka.

Soldadu Zionis Israel akan berundur. Serangan darat dan udara akan dihentikan. Israel akan menarik keluar semua senjata berat seperti kereta kebal dan meriam besar.

Dalam masa 72 jam perjanjian ditandatangani - tawanan dibebaskan. Bantuan makanan dan perubatan akan dibenarkan masuk ke Gaza. Hospital dan infrastruktur seperti air dan elektrik akan dipulihkan.

Sekali baca kelihatan perjanjian damai ini molek dan meyakinkan.

Tetapi bila diperincikan, ada satu fasal dalam perjanjian yang mewajibkan Gaza jatuh ke tangan Lembaga Gaza Baru. Lembaga baru ini akan dikepalai oleh Presiden Trump sendiri. Lembaga Gaza ini juga akan dikendalikan bersama Tony Blair – bekas perdana menteri United Kingdom.

Jika Gaza sebuah syarikat: Donald Trump ialah Pengerusi syarikat. Dan Tony Blair menjadi CEO syarikat ini.

Lembaga ini akan melantik sesiapa yang mereka anggap sesuai atau pakar untuk mengendalikan pembangunan dan pentadbiran Gaza.

Dalam perjanjian ini peranan wakil Palestin tidak disebut. Malah Penguasa Palestin yang menguasai Tebing Barat dicicirkan.

Projek Anglo-Amerika

Bila saya ulang baca 20 fasal ini maka saya teringat akan sejarah Tanah Melayu. Apabila nama Tony Blair muncul maka ia lebih meyakinkan saya bahawa projek damai anjuran Trump ini adalah projek Anglo-Amerika.

Bila nama Tony Blair disebut maka tidak dapat tidak kita wajib kembali menyusur sejarah Palestin. Bumi Palestin ini adalah bekas tanah jajahan Inggeris. Israel dieram atas tapak tangan kuasa penjajah Inggeris.

Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum keluar pada tahun 1917 oleh kerajaan British. Deklarasi ini mengisytiharkan sokongan untuk "rumah negara untuk orang Yahudi" di Palestin. Ketika itu Palestin adalah sebahagian daripada Empayar Uthmaniyyah.

Tony Blair

Deklarasi ini ditulis oleh Setiausaha Luar UK Lord Arthur Balfour. Surat deklarasi ini ditujukan kepada sosok perniagaan Yahudi bernama Lord Rothschild. Deklarasi itu memberikan gerakan Zionis pengiktirafan kuasa besar dunia dan membantu membuka jalan kepada penubuhan Israel.

Deklarasi Balfour inilah permulaan mencetuskan konflik kerana ia tidak menghiraukan hak dan aspirasi kewarganegaraan kepada majoriti anak watan Arab Palestin yang sedia ada.

Bila saya membaca berita Gaza dalam tahun 2025 saya teringat kepada sejarah Tanah Melayu pada tahun 1955. Ketika itu saya berumur lima tahun. Ingatan saya masih cerah lagi. Saya pernah melihat melihat soldadu Inggeris, soldadu Fiji, soldadu Bengali dan soldadu Gurkha masuk ke kampung saya.

Malah kem Gurkha di Kuala Klawang, Jelebu ini akhirnya menjadi tapak Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ). Hingga ke hari ini jalan ini dinamakan Jalan Gurkha.

Saya masih ingat lagi kereta perisai untuk pegawai Inggeris dan datang pergi di Jelebu. Mereka wajib melintasi hutan dara Bukit Tangga, di mana Gerakan Pembebasan Tanah Melayu beroperasi. Pernah satu gerombolan soldadu Inggeris dibunuh oleh gerila pembebasan di Bukit Tangga.

Saya ternampak di Kampung Chenor pesawat tentera udara Inggeris menaburkan kertas dari udara ke dalam hutan Jelebu. Ini kertas selebaran meminta pejuang gerila kemerdekaan Tanah Melayu menyerah diri.

Saya juga teringat bagaimana keluarga kami tidak dapat pulang ke Jelebu dari Jempol Kuala Pilah. Ini berlaku kerana wilayah Simpang Pertang sedang dibom dari udara oleh soldadu Inggeris.

Kampung berkurung

Sebenarnya apa yang berlaku di Gaza lebih dahsyat dari yang pernah berlaku di Tanah Melayu. Betul, keluarga kami juga dimasukkan ke dalam kampung berkurung – kawat besi – tapi gerak laku Zionis di Gaza lebih ganas, jahat dan zalim. Tidak ada bandingan.

Saya juga teringat bagaimana arwah ayah membawa poster gambar Perjanjian Baling. Pada ketika itu saya hanya melihat gambar, tidak tahu membaca. Saya kenal sosok-sosok dalam gambar itu. Ada yang bertopi dan ada yang bersongkok. Ada yang memakai seluar pendek. Ada yang bernama Tunku dan ada yang bernama Rashid.

Ini adalah Perjanjian Baling 1955 di Kedah. Ini adalah usaha penjajah Inggeris untuk membawa damai. Pada ketika ini gerila Pembebasan Rakyat Tanah Melayu bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) sedang melancarkan perang gerila melawan Inggeris.

Kuasa kolonial Inggeris yang jatuh muflis sesudah Perang Dunia Kedua kini dipukul teruk oleh gerakan gerila kemerdekaan di Tanah Melayu.

Untuk menyelamatkan diri kuasa kolonial Inggeris mencari dan mendirikan kumpulan boneka untuk memastikan harta kekayaan – kebun getah dan lombong bijih – milik Inggeris di Tanah Melayu terjamin selamat.

Taktik mewujudkan kumpulan boneka tali barut penjajah ini adalah taktik Inggeris yang berjaya. Malah taktik ini jugalah yang digunakan oleh Zionis Israel di Tebing Barat.

Jika di Tanah Melayu Inggeris memberikan kuasa kepada budak kolonial bernama Tunku Abdul Rahman, di Palestin taktik yang sama dilakukan. Kuasa penjajah Zionis Israel menobatkan Mahmud Abbas sebagai ketua Penguasa Palestin di Tebing Barat.

Tugu Tunku Abdul Rahman di Parlimen Malaysia

Tunku melalui Perjanjian Baling akan diberi kuasa oleh Inggeris untuk mengurus Tanah Melayu. Mahmud Abbas dengan Perjanjian Oslo diberi taraf sebagai subkontraktor untuk mengawal Tebing Barat bagi pihak Israel.

Bila saya membaca kembali sejarah Perjanjian Baling 1955 maka tidak dapat tidak saya akan menyamakannya dengan apa yang sekarang sedang berlaku di Gaza pada tahun 2025.

Salah satu fasal dalam Perjanjian Baling 1955 ialah Parti Komunis Malaya wajib meletakkan senjata. Gerila yang menyerah diri akan diampunkan. Parti Komunis akan diharamkan dari mengambil bahagian dalam politik di Tanah Melayu.

Salah satu fasal dalam Perjanjian Damai Gaza 2025 ialah Hamas wajib meletakkan senjata. Ahli Hamas yang bertaubat akan diampunkan. Hamas diharamkan daripada memainkan apa-apa peranan dalam Palestin.

Jelas semua ini dari kitab kuning yang sama. Dari ajaran dan taktik penjajah yang sama. Palestin Merdeka atau Penyelesaian Dua Negara tidak disebut dalam Rundingan Damai Gaza 2025.

Kepentingan anak watan Gaza

Adalah benar dan benar belaka bahawa warga Gaza telah letih dan terseksa selama dua tahun ini. Adalah benar dan benar belaka bahawa kemusnahan dan bala petaka menimpa Gaza. Warga Gaza mahu perang dihentikan.

Tapi apakah Perjanjian Damai Gaza 2025 ini akan membawa damai?

Apakah Lembaga Gaza Baru ini akan mewakili kepentingan anak watan Gaza?

Bila muka Tony Blair muncul sebagai pembantu Donald Trump banyak kepala menggeleng. Ini kerana sosok yang bernama Tony Blair ini adalah penjenayah Perang. Sosok ini bersama George Bush telah menipu dunia untuk melakukan perang ke atas Iraq.

Tentera Briged Al-Qassam

Bila Perjanjian Damai Gaza ini diumumkan dari mulut Trump, dengan cepat lagi tangkas suara dari Arab Saudi, Turkiye, Indonesia, Jordan, Pakistan dan Mesir menyokong.

Bila saya membaca kenyataan dari negara-negara Islam ini saya tersenyum. Pemimpin negara ini mengingatkan saya kembali kepada zaman Mahathir menjadi perdana menteri. Setiap kali Mahathir memberi pandangan, belum pun habis ucapan Mahathir, Samy Vellu telah berkata: Saya sokong!

Negara-negara Arab-Islam ini semuanya negara boneka kepada kuasa imperial Anglo-Amerika. Mesir akan runtuh jika berbilion dolar Amerika tidak sampai. Mungkin ramai tidak sedar Mesir sama seperti Israel menerima lebih dari 50 bilion dana dari Amerika. Jordan juga menerima lebih dari 10 bilion dolar.

Turkiye pula adalah anggota Nato. Turkiye adalah negara Islam yang pertama semenjak 1949 mengiktiraf Israel. Hubungan Turkiye dan Israel seperti abang adik.

Ketika tulisan ini digarap perbincangan di kota peranginan lumayan Sharm el-Sheikh di Laut masih berjalan.

Delegasi Amerika yang diketuai Steve Witkoff sampai untuk mengukuhkan penglibatan Presiden Donald Trump dalam rundingan ini.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, menyeru untuk menamatkan permusuhan, yang mewujudkan "malapetaka kemanusiaan pada skala yang tidak dapat difahami".

PM Israel Netanyahu dalam perutusannya ulang tahun 7 Oktober berikrar untuk mencapai semua matlamat perang, termasuk menghancurkan Hamas.

"Penghapusan pemerintahan Hamas dan memastikan Gaza tidak akan lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.” Ini janji Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, masih banyak ketidakpastian sebelum perjanjian ditandatangani. Paling penting apakah Hamas bersetuju untuk meletakkan senjata seperti yang dilakukan oleh Al-Fatah dan PLO.

Hamas akan hilang kuasa?

Lalu saya teringat kepada kata-kata Che Guevara: 

"Adalah penting untuk ditekankan bahawa peperangan gerila adalah perang massa, perang rakyat. Kumpulan gerila adalah nukleus bersenjata, barisan hadapan perjuangan rakyat."

Saya teringat juga kata-kata dari Mao Zedong: Kuasa datang dari muncung senapang.

Jika Hamas meletakkan senjata maka Hamas tidak ada kuasa.

Perjanjian Baling 1955 ditolak oleh PKM, perang gerila diteruskan. Apakah pada tahun 2025 Hamas akan meneruskan perang atau hilang kuasa. Kita tunggu dan lihat. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS