KOLUM | Perang nadir bumi, ke mana China mahu bawa Amerika?
Khamis lalu, tiba-tiba China mengumumkan kawalan lebih ketat eksport nadir bumi yang diperlukan untuk teknologi termaju dalam bidang telekomunikasi, pertahanan, kepintaran buatan (AI), pengangkutan dan barangan pengguna. Buat pertama kali, negara kuasa ekonomi itu menggunakan strategi yang selama ini diperalatkan oleh Amerika Syarikat terhadap musuh-musuhnya.
China menggunakan peraturan produk langsung asing (FDPR) — mekanisme yang diperkenalkan pada tahun 1959 — seperti digunakan oleh Washington untuk menghalang eksport semikonduktor ke China. Mekanisme ini membolehkan Amerika Syarikat mengawal penjualan produk buatan luar negara jika produk itu mengandungi teknologi, perisian atau peralatan dari negaranya walaupun ia dihasilkan oleh syarikat bukan negara itu di luar negara.
Ertinya, jika teknologi Amerika Syarikat wujud di mana-mana bahagian dalam rantaian bekalan, Washington boleh menuntut bidang kuasa ke atasnya.
Melalui pengumuman mengejut pada 9 Oktober, syarikat asing kini dikehendaki mendapatkan kelulusan kerajaan China untuk mengeksport magnet yang mengandungi walaupun sejumlah kecil bahan nadir bumi yang berasal dari negara tersebut atau yang dihasilkan menggunakan teknologi perlombongan, pemprosesan atau pembuatan magnet dari China. Negara dan syarikat lain perlu kelulusan negara itu.

Sebelum ini FDPR digunakan oleh Amerika Syarikat terhadap Belarus dan Rusia pada Mac 2022 apabila Ukraine diserang. Pada Ogos dua tahun sebelumnya, Amerika Syarikat menggunakan mekanisme ini untuk menghalang kemaraan pantas teknologi 5G Huawei, syarikat telekom China. Dua langkah ini bagi mengawal penjualan cip kepada negara-negara tersebut.
Tiga tahun lepas, negara itu menggunakan FDPR untuk menyekat penjualan cip termaju kepada China. Langkah ini melarang sebarang syarikat pembuatan semikonduktor di seluruh dunia yang menggunakan peralatan Amerika Syarikat menjual kepada China. Tujuannya, agar China sebagai pesaing terdekat membangunkan teknologi pembuatan mereka sendiri.
China juga perlu membangunkan teknologi pemprosesan mereka sendiri untuk menggantikan teknologi Amerika Syarikat atau syarikat Barat yang mereka gunakan pada masa ini. Dalam keadaan itu, China mungkin memerlukan tempoh antara lima hingga 10 tahun untuk mengejar tahap teknologi masa kini.
Namun kini China pula mahu menyekat pesaing utamanya dengan mekanisme tersebut. Kali ini sasaran utama negara tersebut dijangkakan terhadap keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat.
Ia mengambil langkah mendadak itu selepas kedua-dua parti Demokrat dan Republikan mencadangkan negara itu menyekat keupayaan China menghasilkan mikrocip — yang penting dalam bidang seperti AI dan pemodenan ketenteraan. Dua negara ini juga bersaing untuk menjual teknologi termaju masing-masing seperti pusat data AI kepada negara lain.
Kawal lima unsur nadir bumi
Kali ini China mengawal eksport lima lagi unsur nadir bumi selepas mengambil tindakan yang sama terhadap tujuh unsur pada April lalu. Akibat bekalan nadir bumi dan magnet nadir bumi tiba-tiba terbatas dan menjejaskan banyak negara, selain Amerika Syarikat, kedua-dua negara itu akhirnya bertolak ansur sebulan kemudian. Tarif ke atas China diturunkan buat sementara waktu.
Kuasa-kuasa Barat terpaksa tunduk pada dominasi China dalam sektor nadir bumi. Ia menguasai 70 peratus perlombongan nadir bumi dunia, 90 peratus pemisahan dan pemprosesan, serta 93 peratus pembuatan magnet. Logam ini sangat penting dalam pengeluaran peralatan teknologi seperti kereta elektrik, bateri litium ion, televisyen LED dan kanta kamera.
Logam-logam ini juga amat penting untuk industri pertahanan Amerika Syarikat. Menurut badan pemikir Pusat Kajian Strategi dan Antarabangsa (CSIS), logam nadir bumi digunakan dalam pembuatan jet pejuang F-35, kapal selam kelas Virginia dan Columbia, peluru berpandu Tomahawk, sistem radar, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) Predator dan juga siri bom pintar.

Selain itu, logam nadir bumi juga digunakan dalam penghasilan semikonduktor yang seterusnya digunakan dalam teknologi AI termasuk untuk tujuan ketenteraan.
Apakah rundingan tarif dua negara itu akan kendur semula seperti beberapa bulan lalu dalam pertemuan Presiden Donald Trump dan Xi Jinping di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 1 November? Marah dengan tindakan mengejut China, Trump mengugut tidak mahu hadir tetapi belum membuat keputusan membatalkannya, setakat ini.
Untuk memahami kesannya kepada kuasa besar Barat itu, kita semak kajian CSIS dengan lebih jelas:
"Amerika Syarikat kini sudah bergelut untuk menyaingi kadar pengeluaran sistem-sistem [teknologi pertahanan] ini. Sementara itu, China sedang mempercepatkan pengeluaran peluru dan senjatanya dengan pesat, serta memperoleh platform dan peralatan ketenteraan termaju pada kadar yang dianggarkan lima hingga enam kali lebih pantas berbanding Amerika Syarikat.
"Sekatan yang baru diumumkan ini merupakan langkah paling signifikan oleh China setakat ini yang menyasarkan sektor pertahanan. Di bawah peraturan baharu itu, bermula 1 Disember 2025, syarikat yang mempunyai sebarang kaitan dengan angkatan tentera asing — termasuk Amerika Syarikat — secara umumnya tidak akan diberikan lesen eksport.
"Kementerian Perdagangan [China] juga menjelaskan bahawa sebarang permohonan untuk menggunakan logam nadir bumi bagi tujuan ketenteraan akan ditolak secara automatik. Dasar ini pada asasnya bertujuan untuk menghalang sebarang sumbangan langsung atau tidak langsung daripada logam nadir bumi atau teknologi berkaitan yang berpunca dari China ke dalam rantaian bekalan pertahanan luar negara.
"Malah sebelum langkah baharu ini diperkenalkan, pangkalan industri pertahanan Amerika Syarikat sudah pun berdepan cabaran besar — termasuk keupayaan pengeluaran yang terhad serta kesukaran untuk meningkatkan kapasiti dengan cepat bagi memenuhi keperluan teknologi pertahanan yang semakin meningkat.
"Sekatan baharu ini hanya akan memperdalamkan kelemahan tersebut, melebar jurang keupayaan dan membolehkan China mempercepatkan pengukuhan kekuatan tenteranya dengan lebih pantas berbanding Amerika Syarikat — pada waktu ketegangan di rantau Indo-Pasifik semakin memuncak."
Tarikan dari Greenland
Sekarang nasib Amerika Syarikat seperti tekanannya mengawal mikrocip termaju kepada China pada 2022. China bergantung teknologi mikrocip Amerika Syarikat, sementara negara itu terpaksa mengharapkan teknologi nadir bumi daripada pesaing yang dimusuhinya. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku pada kuasa besar itu?
Amerika Syarikat kini mempunyai satu lombong nadir bumi yang beroperasi, namun ia tidak mempunyai keupayaan untuk memisahkan unsur nadir bumi berat dan terpaksa menghantar bijihnya ke China untuk diproses. Suatu waktu dahulu, memang ada syarikat-syarikat negara itu yang menghasilkan magnet nadir bumi. Sehingga tahun 1980-an, Amerika Syarikat sebenarnya merupakan pengeluar nadir bumi terbesar di dunia.
Namun syarikat-syarikat ini akhirnya keluar daripada pasaran apabila China mula menguasai industri tersebut dari segi skala pengeluaran dan kos. Hal ini dipercayai menjadi salah satu sebab mengapa Trump begitu bersemangat untuk menandatangani perjanjian mineral dengan Ukraine — kerana ia mahu mengurangkan kebergantungan terhadap China.
Satu lagi tempat yang menarik perhatian Trump ialah Greenland, yang mempunyai simpanan nadir bumi kelapan terbesar di dunia. Sejak beberapa bulan lalu Trump berulang kali menunjukkan minat untuk mengambil alih wilayah autonomi Denmark itu. Malah, tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa ekonomi atau ketenteraan bagi menguasainya.

Tanggapan satu lagi badan pemikir Foreign Policy in Focus elok diperhatikan: "Dari pandangan Trump, kedua-dua wilayah tersebut berkongsi satu ciri utama: dalam istilah [komuniti niaga] Wall Street, ia merupakan aset yang sedia untuk diambil alih.
"Ukraine telah dilemahkan oleh pencerobohan besar-besaran Rusia pada tahun 2022 dan kini sangat bergantung pada bantuan ketenteraan serta perisikan Amerika Syarikat. Sementara Greenland yang tidak mempunyai angkatan tentera sendiri sedang berusaha untuk mencapai kemerdekaan daripada Denmark.
"Dalam 100 hari pertama pemerintahannya, Trump pernah menyatakan hasrat untuk memperoleh Greenland dan tidak menolak kemungkinan campur tangan ketenteraan.
"Bagi Ukraine pula, presiden Amerika Syarikat itu mengeluh bahawa negara tersebut menerima senjata Amerika tanpa memberikan sebarang pulangan. Dalam salah satu langkahnya yang bersifat urus niaga klasik, Trump mencadangkan agar Ukraine membayar 'hutangnya' dengan sumber mineral yang terdapat di bawah tanahnya."
Amerika terdesak
Ertinya Amerika Syarikat cukup terdesak, gagal mencari sumber nadir bumi yang cukup dan tidak mempunyai keupayaan memprosesnya tanpa teknologi China. Bagi menjawab langkah mengejut China beberapa hari lepas, Trump mengancam mengenakan tarif 100 peratus pada 1 November ini.
Strategi antiperdagangan bebas atau jalan nasionalisme ekonomi Trump, sejak penggal pertama, akhirnya menikam diri sendiri. Kita belum pasti apa hasil rundingan dua negara itu beberapa minggu lagi tetapi kita tahu perang dagang ini boleh melemahkan ekonomi dunia dan boleh menjejaskan kita semua.

Seorang bekas pegawai negara itu yang pernah terlibat dengan China berkata bahawa langkah pentadbiran Xi ini sebagai peringatan kepada Amerika Syarikat betapa mudahnya Beijing menukar kebergantungan ekonomi menjadi alat tekanan terhadap pesaingnya.
"Ibarat pistol yang diacu ke kepala menjelang rundingan ini," kata Geoffrey Gertz, bekas pengarah ekonomi antarabangsa di Majlis Keselamatan Negara semasa pentadbiran Presiden Joe Biden.
"China tidak mengatakan bahawa mereka akan menghentikan semua eksport serta-merta tetapi mereka memberi isyarat bahawa mereka mampu berbuat demikian bila-bila masa jika mahu. Dan inilah konteks asas yang akan menjadi latar bagi rundingan Amerika Syarikat–China."
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook. Tulisan ini merujuk pelbagai liputan berita semasa walau tidak dinyatakan sumber satu persatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/8c2f7525c8de7104694c29c7452222e5.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/f3ebe38073e5624032a1e98bcb59c90a.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/34f2184c90af1e3afbd5717a4fe1c681.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/06e5527e4b2a2a9b74686d296ba88e7b.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/1dd6ab354dfc2edcbb246caee7f43e23.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/d34c777d814e210aa29aa0f7a4de3923.jpg)