KOLUM | Usaha Global Sumud Flotilla (GSF) seperti yang disebut oleh Greta Thunberg adalah suatu tindakan minimum aktivis kemanusiaan untuk memecah kepungan Israel yang dipaksakan ke atas Palestin sejak sekian lama.

Di sebalik gerakan damai itu, mereka cuba memecah kesunyian dunia dalam membicarakan soal Palestin.

Meski mengetahui penghujung pelayaran mereka itu tidak akan menjejak pantai Gaza, kempen tersebut menjadi gelombang anjakan baru yang menghempas ke seluruh penjuru dunia.

Kesan langsung daripada GSF ialah meningkatnya tulisan-tulisan mengenai Palestin dan juga kempen tanpa lelah pejuang kemanusiaan.

Memang dunia perlu diberi ingatan demi ingatan agar putaran masa berada pada landasan yang betul.

Salah satu jentikan ingatan peribadi tentang Palestin ialah sebuah buku yang bertajuk Dari Beirut ke Jerusalem tulisan Dr Ang Swee Chai. Asalnya buku itu diterbitkan pada 1989 oleh Grafton Books & Times International di London.

Buku edisi terjemahan bahasa Melayu diterbitkan 2002 oleh Harakah bersempena dua dekad berlakunya peristiwa berdarah Sabra dan Shatila.

Saya memilih dan membacanya kembali dalam memahami halangan-halangan yang memungkinkan orang bukan Islam kurang bersama dalam acara-acara mengenai Palestin.

Pingat tertinggi Palestin

Mengapa sebahagian besar orang bukan Islam di Malaysia menunjukkan sikap dingin terhadap isu Palestin? Jika ada demonstrasi atau himpunan berkaitan Palestin, biasanya cuma kelibat Tian Chua yang ada.

Dia pun tenggelam dalam lautan para penunjuk perasaan berkulit sawo matang, laungan takbir dan seruan khaibar, khaibar ya Yahud.

Akhirnya, acara perjuangan Palestin menjadi ritual orang Melayu memenuhi sentimen semata-mata.

Berbalik kepada penulis buku Dari Beirut ke Jerusalem. Ang ialah seorang doktor ortopedik yang beragama Kristian dan lahir di Pulau Pinang.

Buku tersebut menceritakan pengalaman Ang daripada seorang yang menyokong penubuhan negara Israel berubah menjadi pejuang kemanusiaan sekali gus membela perjuangan Palestin.

Ang tidak mengangkat senjata sebaliknya memainkan peranan sebagai doktor perubatan dalam misi kemanusiaan.

Ang Swee Chai

Pada 1987, Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat, telah menganugerahkan pingat tertinggi Palestin, Bintang Palestin, kepada doktor warga Singapura itu sebagai menghargai sumbangannya dalam kerja-kerja kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Sebelum ke Palestin, Ang mempunyai fikiran bahawa rakyat Israel adalah manusia terpilih dan negara Israel adalah sesuatu yang termaktub dalam ajaran agama.

Dia juga menjadi penyokong Israel dan percaya bahawa penciptaan negara Israel adalah melindungi manusia daripada penindasan.

Pandangannya tentang PLO pula ialah sebuah pertubuhan pengganas dan pembenci orang Yahudi.

Apabila dia menonton berita tentang peristiwa berdarah pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di kaca televisyen, nurani Ang mula terdetik sesuatu.

Israel telah menjadi Goliath dalam cerita tradisi agama samawi yang melanyak dan membawa kemusnahan, keganasan dan kematian di Lubnan, tetangga Israel.

Detik fikiran berubah

Ketika itu, amukan Isreal telah melepasi sempadan kemanusiaan. Pertubuhan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang membawa makanan dan bekalan perubatan turut menjadi sasaran mereka.

Ang menulis: “Daripada pengamatan saya, tiada siapa yang peduli tentang apa yang berlaku dan Tuhan telah memejamkan mata-Nya daripada melihat apa yang berlaku di Lubnan.”

Apa yang berlaku di Gaza pada dua tahun terakhir ini sebenarnya jauh lebih dahsyat berbanding tragedi Sabra dan Shatila pada 1982.

Ketika itu, seorang rakan Ang, Brian Mayou, mengatakan bahawa seorang doktor ortopedik amat diperlukan bagi merawat mangsa peperangan di Beirut. Dia menyahut panggilan untuk memenuhi keperluan pada masa itu.

Sebagai seorang penganut Kristian, Ang menganggap Tuhan telah menjawab doanya sewaktu menjadi seorang doktor ortopedik.

Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Itulah detik perubahan fikiran Ang terhadap Palestin.

Naskhah setebal 403 halaman tulisan Ang itu banyak mencatat pengalaman yang sangat bermakna. Antaranya keberanian dan kesabaran orang Palestin ketika diuji dengan peperangan yang panjang.

Ia juga adalah soal panggilan kemanusiaan yang merentasi batas agama, bangsa, negara, ideologi dan warna kulit.

Tentunya suara panggilan itu tidak hanya ke gegendang telinga dan nurani Melayu semata-mata. Keriuhan tong-tong kosong hanya menenggelamkan suara kemanusiaan Palestin yang terjajah dan kini sedang dalam malapetaka kebuluran.

Meski gencatan senjata sudah termeterai, proses membangun ‘manusia’ masih panjang dan tidak menentu. Ada yang terlebih Hamas daripada Hamas. Ada pula yang lebih Iran daripada Iran. Atau terlebih Mesir daripada Mesir.

Soal perbezaan pandangan tidak dapat dielakkan. Mana mungkin pandangan manusia hendak disatukan dalam semua aspek kehidupan. Perbezaan pandangan menjadikan hidup ini lebih kreatif, indah dan damai.

Usaha lawan penindasan

Rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dalam berbeza pandangan perlu diutamakan. Dari situlah lahirnya sifat kekitaan atau inklusif pada persoalan Palestin.

Selagi persoalan Palestin dihak milik Islam, orang Islam atau pihak tertentu sahaja, nilai Islam sebagai Islam for all hanya tinggal sebagai suatu retorik.

Masyarakat barat yang memahami isu Palestin dari sudut kemanusiaan sejagat akan bersama dalam perjuangan Palestin.

Mereka mampu merealisasikan falsafah kemanusiaan dalam bentuk manusia awam faham atau merasai.

Sekurang-kurangnya, GSF berjaya mempamerkan Palestin di kotak fikiran orang Malaysia bahawa ini membawa lambang kemanusiaan sejagat.

Ini adalah sebahagian usaha melawan penindasan dan penjajahan. Memerangi kebuluran dan membangun masyarakat yang harmoni dalam kepelbagaian.

Itu adalah satu kejayaan besar yang sangat besar. Bukan sekadar mengingatkan peta yang hilang dalam atlas tetapi kemanusiaan yang hampir mati di bumi manusia.

Usaha Nusantara Sumud Flotilla setidak-tidaknya telah memecahkan kedinginan pada perjuangan Palestin.

Hanya cadangan kecil pada masa akan datang, perlu ditingkatkan jalur-jalurnya agar lebih berwajah Malaysia.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.