Malaysiakini
Opinion

Selamat Tinggal 2007

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tinggal beberapa hari lagi kita akan meninggalkan 2007. Ia mungkin adalah tahun yang paling bermakna bagi sesetengah pihak dan mungkin juga yang paling malang bagi pihak yang lain.

Ramai juga yang tidak sanggup untuk meninggalkan 2007 kerana “bencana” yang bakal berlaku pada tahun 2008. “Bencana” yang dimaksudkan ialah khabar angin tentang kenaikan harga minyak. Kerajaan dikatakan bakal menaikkan harga minyak pada tahun 2008. Kemungkinan besar harga minyak di Malaysia akan dinaikkan selepas pilihanraya umum ke-12.

Asas kepada kenaikan harga ini sangat kukuh memandangkan harga minyak dunia sekarang ialah AS93.14 setong (harga pada Hari Natal, 25 Disember 2007) dan dijangka mencapai AS100 setong dalam jangkamasa terdekat. Peperangan dan krisis politik yang berlaku di Timur Tengah tidak memungkinkan akan berakhir dalam jangkamasa terdekat ini.

Sebab itu ramai yang sudah mula gusar menghitung hari-hari akhir 2007. Contohnya peniaga-peniaga di Medan Selera Taman Melawati, Kuala Lumpur. Seorang teman lama yang membantu keluarganya mengusahakan sebuah kedai makan di medan selera tersebut merungut tentang masa depan perniagaan mereka.

Dengan kenaikan harga barang yang mendadak dan pelanggan yang semakin berkurangan, amat perit sekali untuk mereka terus berniaga.Untuk menaikkan harga makanan, mereka serba salah dan takut dimarah oleh pelanggan.

Akhirnya merekalah yang menanggung kerugian dari hari ke hari. Bapa teman saya memberitahu saya, jika harga minyak dinaikkan lagi pada tahun hadapan, mereka akan menanggung kos yang lebih besar lagi akibat daripada harga barang-barang mentah yang akan naik seiring dengan kenaikkan harga minyak. Jika itu berlaku, kemungkinan mereka akan menutup kedai dan pulang ke kampung.

Ini adalah salah satu contoh sahaja. Sudah pasti ramai peniaga-peniaga kecil yang mengalami nasib yang sama. Mereka-mereka ini tidak didokong oleh kekuatan modal yang besar seperti McDonalds, Kentucky Fried Chicken, Burger King dan lain-lain.

Dari segi demokrasi, 2007 boleh dikatakan sebagai tahun-tahun gelap demokrasi di Malaysia. 2007 ditutup oleh pemerintah Malaysia dengan memberikan 'signal' bahawa demokrasi akan mati.

Blogger ditahan

Insiden terbaru yang berlaku ialah pada 24 Disember 2007, sehari sebelum Hari Natal dirayakan. Seorang blogger yang menggunakan nama samaran Cucu Mat Kilau telah ditahan oleh polis yang berpakaian preman sewaktu berada di rumah.

Tanpa sebarang waran tangkap dan kenyataan dari polis bahawa beliau ditahan, pintu hadapan rumah blogger yang berusia 36 tahun itu didakwa telah ditendang dan dipecahkan oleh pihak polis pada jam 10 pagi. Ketika beliau baru hendak turun dari rumah, dengan rakusnya polis didakwa telah memegang dan terus menggarinya. Beliau berkali-kali bertanya mengapa beliau ditahan dan apa sebabnya. Tanpa memberikan sebarang jawapan, polis menyuruh beliau mendiamkan diri.

Rumahnya digeledah walaupun waran geledah tidak ditunjukkan. Setelah satu jam, beliau pun dibawa oleh polis.Tiga telefon bimbitnya dan satu komputer riba, turut dibawa oleh pihak polis. Beliau didakwa turut ditampar oleh pihak polis semasa dalam perjalanan ke IPD Kuantan. Apabila tiba di balai polis, beliau didakwa disuruh mengambil ujian air kencing. Setelah keputusan air kencingnya menunjukkan bahawa beliau tidak terlibat dengan dadah, beliau dilepaskan dan kesemua barang-barangnya yang diambil oleh polis dikembalikan.

Persoalannya sekarang, jika beliau hendak ditangkap akibat disyaki menggunakan dadah, di manakah waran tangkapnya? Apa kena menggena komputer riba dengan dadah? Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai berita penahanan beliau, sila layari http://cucumatkilau.blogdrive.com.

Apakah ini salah satu cara kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi hendak menakut-nakutkan blogger? Ternyata Abdullah juga bimbang untuk menghadapi 2008. Tambahan lagi 2008 dikatakan sebagai tahun pilihanraya umum ke-12. Oleh kerana terlalu takut dengan penentang-penentangnya, taktik-taktik kotor telah digunakan untuk memastikan beliau akan terus berkuasa.

Lima pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA. Dengan menggunakan seksyen 8 ISA, mereka telah dihantar terus di Kem Kamunting selama dua tahun tanpa perlu “diseksa” selama 60 hari di Bukit Aman. Suwandi Abdul Ghani dan Mohamad Azman Aziz yang ditembak polis dalam “Tragedi Batu Burok” kini merengkok dalam Penjara Terbuka Marang setelah hakim tidak membenarkan mereka diikatjamin pada 9 Disember yang lalu. Manakala polis yang menembak mereka langsung tidak bicarakan dan tidak dipersoalkan tindakan mereka.

2007 tidak mungkin dilupakan oleh ahli keluarga Nurin Jazllin Jazimin dan rakyat Malaysia. Sehingga hari ini - setelah lebih tiga bulan Nurin dirogol dan dibunuh dengan kejam - pembunuhnya masih lagi belum tertangkap. Jika 4,000 orang anggota polis boleh dikerahkan untuk mengawal perhimpunan Bersih pada 10 November yang lalu, takkanlah polis tidak boleh menangkap pembunuh Nurin dengan bantuan yang telah diberikan oleh FBI?

Harga minyak

Sedangkan rungutan pemerintah untuk membungkam musuh-musuh politik mereka dilaksanakan dengan pantas. Realiti semasa telah menunjukkan bahawa polis hanya cemerlang ketika bertindak untuk melemahkan penentang-penentang Barisan Nasional.

Berdasarkan insiden-insiden yang berlaku di atas, saya juga tidak “berani” untuk meninggalkan 2007. Tidak sanggup difikirkan apa yang akan berlaku lagi pada tahun 2008. Berdasarkan apa yang telah berlaku pada tahun 2007, tidak menunjukkan bahawa 2008 akan menjadi lebih baik.

Namun, sebagai orang muda, saya tidak boleh bersikap pesimis. Jika orang muda bersikap pesimis, makin gelap masa depan negara. Dari segi positifnya, penindasan-penindasan yang sebegitu, kemungkinan besar akan disambut dengan perlawanan yang hebat. Reformasi dahulu dikatakan tidak begitu berjaya oleh kerana rakyat Malaysia masih lagi hidup senang.

Sekarang ini, dengan beban kenaikan harga barang yang berterusan, golongan kelas bawah semakin melebar. Jika harga minyak dinaikkan lagi pada 2008, golongan ini akan terus membesar dan golongan kelas menengah akan terus mengecil. Ini akan meluaskan lagi jurang kekayaan di antara miskin dan kaya. Jika ini berlaku, Malaysia akan menjadi seperti Indonesia dan Filipina di mana jurang kekayaan antara yang kaya dengan yang miskin begitu lebar.

Jika benarlah teori yang mengatakan bahawa “apabila masyarakat susah barulah mereka akan melawan”, terutama jika kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak, maka 2008 seharusnya menakutkan Barisan Nasional juga. Jika untuk menuntut “pilihanraya yang bebas dan adil” Kuala Lumpur telah dibanjiri oleh puluhan ribu rakyat, apalagi jika isu yang bersangkut paut dengan kehidupan harian diperjuangkan?

Apapun, selamat tinggal 2007. Semoga 2008 akan memberikan sinar dan harapan baru buat rakyat Malaysia. Ooops…. terlupa pula. Apa berita tentang tahun Melawat Malaysia 2007? Setelah berbilion ringgit dibelanjakan untuk Tahun Melawat Malaysia 2007, apakah pulangannya kepada rakyat Malaysia? Untung atau rugi?