2008 dimulakan dengan kontroversi seorang pemimpin politik tertinggi Barisan Nasional (BN). Dengan pilihanraya yang dikatakan akan diadakan tidak lama lagi iaitu pada bulan Mac, sedikit sebanyak ianya akan memberikan kesan kepada BN.

Hujung minggu yang lalu heboh mengenai pengedaran DVD skandal seks seorang pemimpin tertinggi MCA dengan seorang wanita yang dikatakan seorang penjual bunga, di beberapa kawasan di Johor seperti Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

Pada hari pertama tahun 2008, Naib Presiden MCA yang juga merupakan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memanggil satu sidang akhbar tergempar di Pejabat MCA Labis pada jam 4 petang. Sidang akhbar itu sesak dengan kehadiran wartawan dan jurugambar.

Dalam sidang akhbar itu, Chua Soi Lek telah mengejutkan seluruh negara apabila beliau membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau adalah orang yang terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita seperti dalam rakaman DVD yang disebarkan secara meluas di beberapa kawasan di Johor.

Beliau turut mengatakan bahawa wanita muda yang menjadi pasangannyadalam DVD tersebut merupakan seorang teman peribadinya.

Selain daripada itu Menteri Kesihatan tersebut turut mengatakan bahawa siapa yang merakam DVD melalui kamera litar tertutup (CCTV) tersebut dan apa motifnya sudah tidak penting lagi, yang penting ialah keluarga beliau telah memberikan kemaafan kepada dirinya.

Walaubagaimanapun, Chua berkata bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti.

Ambil iktibar

‘‘Menteri berkhidmat atas kepercayaan yang diberi oleh Perdana Menteri” kata-katanya yang telah menyebabkan beliau menerima tepukan yang gemuruh daripada penyokongnya termasuk seorang pemimpin Umno tempatan yang hadir, iaitu Datuk Sulaiman Taha.

Tetapi pada hari berikutnya, beliau mengubah fikiran dan mengumumkan peletakan jawatannya dalam kerajaan dan semua jawatannya dalam MCA.

Chua boleh dikatakan sebagai seorang ahli politik yang “gentleman” apabila berani membuat pengakuan secara terbuka. Pengakuan beliau telah menghentikan spekulasi yang bertiup mengenai “DVD skandal seks pemimpin tertinggi MCA” yang telah bermula semenjak hujung minggu lalu. Tanpa menunggu masa yang lama, Chua telah memanggil satu sidang akhbar dan membuat pengakuan.

Tindakan Chua ini harus dihormati oleh semua pihak. Walaupun pengakuan beliau akan memberikan impak yang besar terhadap dirinya selaku seorang ahli politik dan menteri, beliau tetap berani berkata benar. Pemimpin tertinggi kerajaan yang lain seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan Chua tersebut.

Contohnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan skandal pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu mengambil masa yang terlalu lama untuk mengeluarkan kenyataan penafian.

Beliau menunggu sehingga khabar angin tersebut tersebar luas sehingga dijadikan “modal” oleh parti pembangkang dan hampir menyebabkan kekalahan BN dalam pilihanraya kecil di Ijok tahun lalu sebelum membuat kenyataan penafian.

Begitu juga dengan Menteri Kerjaraya Datuk Seri Sammy Vellu yang sering “menyalahkan tuhan” apabila berlaku tanah runtuh dan keretakkan jambatan di lebuhraya dan sedikitpun tidak menyalahkan kementeriannya.

Pikul tanggungjawab

Chua menjadi lebih “gentleman” apabila beliau turut melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Kesihatan, Naib Presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis. Prof Dr. Khoo Kay Kim yang memberikan komen mengenai pengakuan Chua dan skandal seks pemipin MCA tersebut berkata, “adalah perlu bagi seseorang pemimpin yang telah nyata melakukan kesalahan meletakkan jawatan agar rakyat dapat memilih pemimpin lain yang lebih beramanah dan bertanggungjawab serta menjadi contoh kepada anak-anak bangsa kita.”

Tindakan meletakkan jawatan apabila melakukan kesalahan atau gagal memikul sesuatu tanggungjawab adalah sesuatu yang normal dilakukan oleh ahli-ahli politik dinegara-negara jiran kita.

Contohnya pemimpin parti Demokrat, Banyat Bantadtan meletakkan jawatan sebagai presiden parti sejurus selepas keputusan pilihanraya Thailand 2005 diumumkan. Beliau melepaskan jawatan selepas parti pimpinannya tewas kepada parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin Shinawatra pada pilihanraya umum 2005 di Thailand.

Chua seharusnya tahu bahawa pengakuan dan DVD skandal seks beliau akan menjejaskan MCA dan BN secara amnya. Jika terus memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan, Naib Presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis, beliau hanya akan menjadi liabiliti kepada Perdana Menteri, MCA dan BN Johor.

Yang lebih merumitkan lagi ialah pilihanraya umum semakin hampir. BN yang kelihatan seperti sudah bersedia untuk mengharungi pilihanraya umum ke-12 terpaksa menyelesaikan kes skandal seks pemimpin tertinggi MCA terlebih dahulu sebelum pembubaran Parlimen diumumkan oleh PM.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah siapakah yang merakam skandal seks Menteri Kesihatan tersebut? Mengikut laporan akhbar arus perdana dan media elektronik, skandal tersebut dirakamkan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan lokasi skandal seperti sebuah bilik hotel.

Apakah ini berpunca daripada pertembungan yang hebat antara “Team A” dan “Team B” dalam MCA? Lebih-lebih lagi pemilihan parti MCA yang akan diadakan tahun ini.

Isu Radzi-Shahidan

Sebelum ini kita dapat saksikan pertembungan secara terbuka antara pemimpin tertinggi Umno. Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang berasal dari Perlis secara terbuka mengkritik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. Shahidan dikatakan sebagai punca perpecahan didalam Umno Perlis.

Selain daripada itu Shahidan yang merupakan salah seorang “warlord” dalam Umno Perlis dikatakan sudah terlalu lama memegang jawatan MB Perlis dan harus diganti dengan orang baru. Secara sinis MB Perlis mengucapkan terima kasih terhadap komen Radzi dan mengatakan beliau bersedia berundur pada bila-bila masa jika diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

Pertelingkahan antara Radzi dan Shahidan telah mengundang “kemarahan” ditegur oleh pemimpin Umno yang lain seperti Ali Rustam, Zahid Hamidi dan Sharir Samad yang mahukan masalah dalaman Umno diselesaikan dalam parti dan bukannya melalui media. Mereka mendakwa jika masalah dalaman Umno dihebohkan, Umno akan rugi dan akan menguntungkan pihak-pihak lain.

Selepas BN mendapat “vitamin” daripada isu Hindraf, skandal seks Chua Soi Lek memberikan “vitamin” kepada parti-parti pembangkang pula, terutamanya PAS. Kali ini PAS boleh menggunakan skandal Chua Soi Lek untuk menganyang Islam Hadhari dan Umno, terutamanya di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam.

Sebelum ini pengundi-pengundi atas pagar dari kalangan orang Melayu dan beragama islam dikatakan telah mengalihkan sokongan mereka kepada Umno selepas isu tuntutan Hindraf dimainkan oleh media-media arus perdana.

Kini telah tiba masanya bagi BN untuk berdepan dengan parti-parti pembangkang yang akan menggunakan isu skandal seks Chua Soi Lek sebagai kempen pilihanraya yang akan datang.

Belumpun selesai isu Pita Lingam, timbul isu pita baru. Sekarang imej kerajaan telah tercalar apabila Menteri Kesihatan terlibat dalam skandal seks dan DVD rakaman skandal seks telah tersebar kepada umum.

Nampaknya BN perlu menyelesaikan perpecahan dalaman terlebih dahulu sebelum pilihanraya umum yang akan datang. Jika tidak, agak sukar untuk mereka mempertahankan mandat besar yang mereka perolehi dalam pilihanraya umum 2004.

Dan jika BN hilang banyak kerusi dalam pilihanraya yang akan datang, kredibiliti Perdana Menteri akan terjejas. Ini akan memudahkan timbalannya untuk mengambil alih jawatannya sebagai Presiden Umno dalam pemilihan Umno yang akan datang.

2008 telahpun dimulakan dengan kontreversi skandal pemimpin tertinggi BN. Sudah tentu tahun ini akan menjadi lebih menarik terutamanya di dalam arena politik Malaysia.