Selepas pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan pada 7 September 2007, heboh satu negara dengan pengumuman bahawa yuran sekolah rendah dan sekolah menengah akan dimansuhkan. Turut menggembirakan hati rakyat apabila kerajaan mengumumkan bahawa buku teks akan diberikan percuma kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isirumah keluarga.

Pengumuman ini telah menggembirakan hati kebanyakan rakyat Malaysia kerana beban hidup akibat kenaikkan harga barang, diberi perhatian oleh kerajaan. Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein yang ditemui wartawan selepas pengumuman Bajet 2008 berkata: “Saya amat gembira dan bersyukur dengan intipati bajet kali ini kerana bidang pendidikan terus menjadi tumpuan kerajaan. Apa yang pasti bajet kali ini benar-benar memberi berita gembira kepada semua rakyat.

‘‘Sebenarnya inilah hasrat kerajaan kerana selama ini kita sentiasa memikirkan mengenai apakah cara kita dapat memberi pendidikan percuma kepada semua rakyat. Mendapat pendidikan terbaik sememangnya menjadi cita-cita kita. Alhamdulillah, akhirnya kita dapat merealisasikannya pada bajet kali ini,” (Utusan Malaysia, 8 September 2007).

Pada hari berikutnya ketika berada di Pekan, Pahang, menteri pelajaran itu berkata, ibubapa sudah tiada alasan lagi untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana kerajaan telah menyediakan “pendidikan percuma”. Selain itu beliau juga menyebut tentang , persepsi dunia terhadap Malaysia sebagai antara negara membangun yang memberi peluang pendidikan secara percuma kepada rakyat. Ia akan dihormati dan dipandang tinggi. Katanya, tidak ada negara membangun yang memberi pendidikan secara percuma seperti di Malaysia. (Utusan Malaysia, 9 September 2007)

Namun apabila sekolah dibuka pada 2 Januari 2008, lain pula ceritanya. Walaupun kerajaan telah memansuhkan yuran sekolah rendah, yuran sekolah menengah dan memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar, rata-rata ibubapa masih lagi tidak gembira. Malahan, ramai ibubapa yang merungut akibat dibebani dengan pelbagai bayaran apabila sekolah dibuka.

Pada 3 Januari 2008, Utusan Malaysia melaporkan: Di Kelantan, golongan ibu bapa mengeluh apabila terpaksa menanggung bayaran tambahan persekolahan yang mencecah sehingga RM180 sedangkan caj maksimum yang ditetapkan kementerian ialah RM38.50 bagi sekolah rendah dan RM55.50 bagi sekolah menengah.

Mereka mendakwa ada sekolah yang mewajibkan pembelian tudung, alat tulis dan keperluan lain yang tidak tersenarai dalam garispanduan selain bayaran Internet, latih tubi, nota amali sains, baju sukan, buku log dan kertas soalan.

Yuran tambahan

Di Perak, hal yang sama berlaku apabila pelaksanaan langkah baru itu tidak membawa sebarang kesan, sebaliknya kadar bayaran yang dikenakan pihak sekolah adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Sekolah Kebangsaan Seri Ampang mendapati kadar yang dikenakan bagi murid tahun satu hingga enam ialah dari RM149.60 hingga RM166.20 seorang.

Di Terengganu, bayaran yang perlu ditanggung ibu bapa mencecah RM105.95 bagi sekolah rendah dan RM87.50 untuk sekolah menengah, yang turut melibatkan yuran tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Di Perlis pula, kadar bayaran tambahan bagi murid tahun mencecah sehingga RM116.80.

Bayaran itu termasuk derma untuk PIBG sebanyak RM20, selain yuran khas, keperluan pelajar, buku kerja dan alat tulis.

Bajet 2008 yang dikatakan akan memberi kesenangan kepada rakyat ekoran pemansuhan yuran sekolah rendah, menengah dan pemberian buku teks percuma, terbukti hanyalah “indah khabar dari rupa”.

Pemansuhan yuran sekolah dan buku teks percuma menyebabkan sekolah-sekolah mengenakan yuran tambahan sehinggakan terdapat juga sekolah yang mengenakan “yuran tandas” kepada pelajar.

Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Him Pheng, kesatuan itu telah mengenalpasti beberapa bayaran tidak munasabah yang dikutip oleh pihak sekolah sedangkan ianya tidak berkaitan dengan pembangunan pelajar.

Selain itu, Setiausaha Agung NUTP itu turut mendedahkan ada sekolah yang mengenakan “yuran tandas” sebanyak RM11 ke atas setiap pelajar.

Di mana keris Hisham?

Terdapat juga sekolah yang mengenakan yuran PIBG sebanyak RM200. Menurut Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, senario itu berlaku disebabkan PIBG diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan kadar yuran yang bakal dikenakan ke atas pelajar.

Dimanakah “keris” Hishamuddin Tun Hussein apabila rakyat dibebani masalah yuran-yuran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah? Mengapa hanya garang semasa perhimpunan agung Umno tetapi berdolak-dalik ketika kementeriannya gagal untuk menggembirakan hati rakyat?

Beliau meminta ibu bapa supaya tidak hanya pandai melenting meluahkan perasaan marah mereka jika diminta bayar lebih untuk pendidikan anak-anak mereka, sebaliknya bertanya diri sendiri apakah sumbangan mereka kepada pihak sekolah.

"Sepatutnya ibu bapa menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan untuk membantu pihak sekolah meningkatkan prestasi anak mereka tetapi keadaan bertukar sebaliknya. Saya pernah melawat sebuah sekolah Cina yang mana ibu bapa, melalui PIBG menyumbang, untuk membersihkan tandas-tandas di sekolah tersebut.

"Saya melihat PIBG menyediakan perpustakaan dan prasarana teknologi maklumat, ibu bapa juga proaktif, sanggup membantu sekolah dan menyediakan aktiviti yang mampu memanfaatkan pelajar," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Pelajaran di Taman Wetland. (Bernama, 5 Januari 2008).

Ternyata apa yang digembar-gemburkan oleh menteri pelajaran sebaik sahaja PM mengumumkan Bajet 2008 tahun lalu, adalah janji-janji politik semata-mata. Sekarang rakyat sendiri sudah boleh melihat realiti sebenar yang berlaku dengan janji-janji kerajaan untuk menyediakan “pendidikan percuma”.

Yuran sekolah yang dimansuhkan tidak memberikan apa-apa keuntungan apabila sekolah bertindak mengenakan pelbagai yuran tambahan. Buku teks yang diberikan percuma tidak memberi jaminan bahawa ibubapa tidak perlu menggeluarkan wang untuk membeli “buku latihan tambahan” yang diwajibkan oleh sesetengah sekolah ke atas setiap pelajar.

Persoalannya sekarang, dimanakah “pendidikan percuma” yang dikatakan oleh Menteri Pelajaran sebaik sahaja PM mengumumkan Bajet 2008?