Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Laporan Bloomberg pasal Azam Baki: Projek tumbangkan Anwar?

KOLUM | Seminggu sebelum puasa tahun 2026, negara kita heboh dengan berita rasuah dan salah guna kuasa Azam Baki.

Sosok ini ialah ketua Suruhanjaya Pencacahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malaysia heboh bagai nak rak. Semuanya berpunca kerana ada laporan berita dari akhbar Bloomberg mengenai Azam Baki.

Akhbar Bloomberg keluaran syarikat Bloomberg LP. Ini sebuah syarikat persendirian milik Michael Rubens Bloomberg yang berpusat di New York Amerika.

Syarikat Bloomberg LP ini memberi khidmat kepada pelabur dan ahli perniagaan di seluruh dunia. Bloomberg menyediakan laporan yang mendalam melalui Bloomberg.com, Televisyen Bloomberg, Radio Bloomberg dan penerbitan seperti Bloomberg Businessweek.

Hakikatnya bila kita menyebut Bloomberg maka ia bersangkut-paut dengan modal, dolar, ringgit, untung rugi pelaburan atau suasana pelaburan di seluruh dunia.

Untuk kaum pemodal, kaum kapitalis dan syarikat multinasional Bloomberg ini wajib untuk dibaca, didengar dan ditonton untuk dijadikan rujukan.

Penganut agama Kristian merujuk kepada kitab Injil. Penganut Hindu merujuk kepada Bhagavad Gita. Umat Islam merujuk kepada Quran nanakala kaum kapitalis akan merujuk kepada pandangan, tulisan dan komentar Bloomberg.

Bila media kita mengutip dan melaporkan kembali berita Azam Baki daripada Bloomberg ramai bertanya: Betul ke berita ini? Sahih ke? Fitnah ke berita daripada Bloomberg ini?

Pertanyaan seperti ini tidak betul dan tidak salah. Pada hemat saya pertanyaan yang lebih tepat dan lebih benar ialah: Kenapa Bloomberg melaporkan berita Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Untuk saya adalah lebih penting kita menyelongkar dan mengkaji untuk mengetahui apa latar yang memangkin Bloomberg untuk mengeluarkan laporan berita Azam Baki ini?

Tujuan akhirnya, saya mahu tahu apa berita di belakang berita? Apa udang di sebalik batu? Buah apa ada tersorok di dalam guni Bloomberg.

Saya melakukan ini kerana saya telah melihat apa yang telah berlaku hasil laporan berita Najib Razak pada 21 September 2015 oleh akhbar New York Times. Ini ketika Najib masih lagi perdana menteri.

Laporan New York Times tentang Najib dan 1MDB meledak. Berita awal daripada New York Times ini telah menjemput pelbagai media dunia untuk tidak tercicir dalam melaporkan Najib dan 1MDB. Kes 1MDB ini menjadi panas menggelegak satu dunia.

Di Malaysia berita New York Times dibincang bagai 'nak rak'.

Pembangkang meloncat mengambur menggunakan berita ini sebagai rujukan sahih bahawa Najib Razak telah mencuri duit negara melalui syarikat 1MDB.

Louise Story wartawan New York Times lebih sebulan tinggal di Malaysia. Wartawan wanita bernama Louise ini telah menjalankan penyelidikan – menemu bual pelbagai sosok.

Tukar rejim

Malah Louise telah beberapa kali singgah di Old Town Cafe di Brickfeilds bertemu dengan Hishamuddin Rais.

‘We run the story... sometime in the fall...’ Ini kata-kata Louise bila saya tanya bila berita ini akan disiar. Maknanya saya wajib menunggu antara empat ke lima bulan sebelum berita ini meledak.

‘Ada berita bigger than big... kau perlu bersedia tentang 1MDB...’ Ini permintaan saya kepada Sidikin Omar wartawan Suara Keadilan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat. Saya mahu Suara Keadilan tidak tertinggal.

Pada awalnya saya tidak faham kenapa New York Time menghantar wartawan berbulan-bulan untuk menyediakan satu berita. Fikir punya fikir saya merumuskan bahawa ini projek regime change - tukar rejim - atau projek tukar kerajaan dari Amerika.

Kali ini bukan New York Times tapi Bloomberg yang meledakkan berita tentang Azam Baki. Dengan cepat tanpa berfikir panjang saya merumuskan dan menulis dalam Blok Tukar Tiub bahawa ini satu lagi projek regime change.

Mudah amat mudah untuk saya merumuskan perkara Azam Baki ini.

Azam Baki dilaporkan terlibat dengan pembelian saham dan salah guna kuasa. Daripada berita Bloomberg ini dapat dibayangkan ketua SPRM yang melawan rasuah ini terlibat dalam rasuah.

Malah berita Azam Baki ini dituduh terlibat dalam aktiviti salah guna kuasa dan rasuah telah lama berkumandang. Pada 20 Januari 2022 telah diadakan satu tunjuk perasaan menuntut Azam Baki meletak jawatan.

Demo di hadapan parlimen telah mendengar ucapan ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim.

Hakikatnya kes rasuah Azam Baki ini bukan sesuatu yang baru.

Amat mudah saya merumuskan bahawa Bloomberg ini sedang menjalankan projek tukar kerajaan.

Bukan sebab antirasuah

Saya yakin akhbar Bloomberg bukan berkempen melawan rasuah. Bukan kerana pelanggaran hak asasi manusia. Bloomberg bukan ada sangkut-paut dengan Amnesty Internasional. Bukan kerana demokrasi. Bukan. Bukan. Bukan.

Kalau Bloomberg betul mahu berkempen menentang rasuah atau salah guna kuasa atau demokrasi atau hak asasi manusia: Kenapa Bloomberg tidak melaporkan tentang Muhamad bin Salman dari Saudi Arabia? MBS ini bukan sahaja dituduh rasuah malah pernah didakwa terlibat kes pembunuhan.

Atau kenapa Bloomberg tidak menulis tentang dakwaan rasuah Presiden Marcos di Filipina atau Presiden Prabowo di Jakarta? Kenapa Bloomberg pilih Azam Baki jika tidak kerana ada udang dalam guni.

‘Ini hujah saya Yang Arif....’

Regime change bermakna tukar kerajaan. Azam Baki bukan perdana menteri. Regime Change bermakna menukar kerajaan Anwar Ibrahim. Walhal Azam Baki hanya pegawai besar dalam kerajaan. Jatuh Azam Baki tidak jatuh kerajaan.

Sabar dulu biar saya beri pencerahan dengan cahaya yang terang.

Kempen tukar kerajaan bukan dijalankan dalam seminggu dua. Tidak. Projek ini telah lama diatur. Hanya kita kurang arif dan kurang sedar.

Banyak berita telah muncul dalam Bloomberg sebelum ini. Semuanya menjurus untuk melahirkan naratif bahawa Anwar Ibrahim wajib diganti.

Anwar Ibrahim ini mendakwa sebagai pemimpin berjiwa Islam tetapi untuk Bloomberg ini hanya teater. Maka pada 25 April 2024 meledak berita daripada Bloomberg mendakwa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk mendirikan kasino di Forest City Johor. Bloomberg mendakwa mendapat maklumat bahawa persetujuan telah tercapai antara syarikat judi dengan kerajaan. Amin.

[Anwar kemudian menafikan laporan Bloomberg itu manakala Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Mei 2024 menegaskan siasatan yang dilakukan terhadap wartawan Bloomberg berhubung laporannya tentang dakwaan penubuhan kasino di Forest City itu bukan atas arahan kerajaan.]

Siasatan itu menurutnya hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat dikaitkan dalam laporan Bloomberg itu.

Bloomberg juga secara konsisten telah menerbitkan beberapa kali tentang kes ‘perniagaan jual beli manusia’ - ini bersangkutan dengan buruh import dari luar negara.

Kapal gelap minya Rusia

Berita buruh dari Bangladesh ini memperlihatkan Bloomberg sebagai pejuang buruh. Poodah. Syarikat Bloomberg LP ini penyokong sistem ekonomi kapitalis. Mustahil Bloomberg mula berani menentang penindasan kaum buruh.

Berita kasino dan berita pekerja asing ini adalah naratif yang disebarkan untuk meyakinkan bahawa projek tukar kerajaan wajib dilakukan.

Bagaimana pula berita kapal gelap yang membawa minyak dari Rusia? Kapal gelap tanpa tuan ini kemudian menyedut minyak dari kapal Rusia. Minyak ini beralih tangan dan tidak lagi menjadi minyak Rusia yang disekat penjualannya oleh Amerika.

Ini bukan seludup minyak – tapi alih asal-usul minyak. Dikatakan minyak Rusia ini mungkin perjalanan akhir ke India. Dari India minyak ini beralih tuan untuk dieksport ke Eropah.

Bloomberg telah melaporkan berita kapal gelap ini. Malah Anwar Ibrahim pernah ditanya wartawan tentang kapal gelap ini. Jawapan mudah daripada Anwar Ibrahim: Perkara ini berlaku bukan di perairan Malaysia tapi di laut antarabangsa.

Berita kapal gelap, minyak Rusia dan India ini bukan satu yang baru. India adalah pembeli besar minyak Rusia kerana harga yang murah.

Trump telah menunjukkan rasa marah terhadap perkara ini. Trump telah memberi amaran kepada Perdana Menteri India Narendra Modi jika pembelian minyak Rusia ini tidak dihentikan maka India akan di kenakan 100 peratus tarif oleh Amerika.

Tup Tup Modi Perdana Menteri India datang mengejut melawat Kuala Lumpur. Apa perbincangan empat mata antara Modi dan Anwar Ibrahim hanya Guru Nanak yang mengetahui. Atau Bloomberg juga tahu?

Paling menarik ialah berita awal tentang Azam Baki ini telah menjemput wartawan tempatan untuk bertanya kepada Anwar Ibrahim - apakah Azam Baki akan direhatkan?

“Orang buat kerja, you maki buat apa.” Ini jawapan Anwar Ibrahim yang dilapor media tempatan pada 12 Februari 2026.

Jelas Anwar Ibrahim terus mempertahankan Azam Baki. Sebenarnya berita awal ialah pancing. Bila Anwar Ibrahim mula menangkis maka Bloomberg menerbitkan lagi berita Azam Baki.

Kali ini Bloomberg membocorkan berjela-jela tulisan dan berita Azam Baki dan SPRM. Untuk memberahikan lagi berita ada diselitkan kesah mafia koperat dan pistol di pinggang.

Bila berita ini keluar satu Malaysia menjadi gempar sekali lagi. Labun orang ramai di kedai Mamak semakin kuat dan jelas. Orang ramai mula bertanya kenapa Anwar Ibrahim terus mempertahankan Azam Baki?

Apa ada hubungan sulit Anwar Ibrahim dengan sosok yang didakwa memiliki hubungan dengan kongsi gelap? Jeng jeng jeng.

Tidak memadai dengan berita pistol dan kongsi gelap. Bloomberg juga telah menyediakan dokumentari 24 minit: Corruption as Cancer.

Dokumentari ini pasti telah dirancang berbulan-bualan lebih awal. Semua dirancang dan diatur dengan teliti untuk melahirkan naratif bahawa Anwar Ibrahim perlu di turunkan.

Saya yakin pasti ada banyak lagi udang tersorok dan buntil dan guni Bloomberg. Pasti pendedahan baru akan keluar terutama jika Azam Baki menyaman Bloomberg. Atau Anwar Ibrahim akan menyeret Bloomberg ke mahkamah? Kita tunggu dan lihat. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS