Sampai bila akan terus begini?
Belumpun misteri kes Nurin Jazlin Jazimin diselesaikan, timbul kes baru. Seorang kanak-kanak bernama Sharlinie Mohd Nashar yang mesra dengan panggilan “Nini” hilang akibat diculik di Taman Medan, Petaling Jaya Selatan.
Nini hilang sehari sebelum umat Islam merayakan Awal Muharram (9 Januari 2008) ketika bermain 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun. Menurut beliau, ketika hilang, mangsa yang mempunyai tiga adik-beradik memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.
Ketua Polis Negara, Musa Hassan telah mengerahkan polis Bukit Aman dan Selangor untuk mencari Sharlinie. Kata beliau: “Kita sedang memburu dua suspek melalui lakaran wajahnya dan akan mengedarkannya kepada media cetak dan elektronik secara meluas.Polis juga berharap orang ramai agar tampil membantu menyalurkan maklumat kerana di kawasan kejadian terdapat banyak gerai.” (Utusan Malaysia, 10 Januari 2008)
Kehilangan Sharlinie turut mendapat respon daripada perdana menteri. Beliau menyeru agar penculik memulangkan Sharlinie dan insaf dengan kemarahan rakyat. Selain itu, parti-parti politik seperti Umno, MIC, MCA, PAS, DAP dan PKR turut membantu usaha mencari Sharlinie.Selain lawatan pimpinan parti ke rumah ibubapa Sharlinie, poster-poster kehilangan Sharlinie telah diedarkan oleh petugas-petugas parti politik dengan pelbagai cara. Tanpa mengira kaum dan agama, rakyat Malaysia bangkit untuk menghulurkan pertolongan.

Dalam pada itu terdapat juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka telah mempermainkan perasaan ibubapa Sharlinie yang sedang dalam kesedihan meratapi kehilangan anak mereka. Menurut Mohd. Nashar Mat Hussain, bapa kepada Sharlinie, beliau telah menerima banyak panggilan dan SMS palsu. Panggilan dan SMS yang beliau terima adalah berkaitan dengan lokasi anak mereka. Berikutan dengan panggilan dan SMS palsu itu, polis telah menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang remaja yang disyaki terlibat dalam memberikan maklumat palsu kepada ibubapa Sharlinie.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Mazlan Mansor berkata wanita berusia 27 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu rumah ditahan oleh unit khas polis di Johor Bahru setelah didapati beberapa kali menghantar SMS kepada bapa Sharlinie dengan memberi maklumat palsu dan menjadikan kes kehilangan Sharlinei, lima tahun, yang kini menjadi tumpuan di seluruh negara, sebagai bahan gurauan. Manakala remaja lelaki dari Bagan Serai, Perak itu pula ditahan hari ini kerana perbuatan serupa.
Berikutan kes kehilangan Sharlinie, kerajaan telah memperhebatkan pemasangan CCTV di tempat-tempat awam. CCTV turut dicadangkan agar dipasang ke sekolah. Menteri Besar Selangor telah mengumumkan bahawa CCTV akan dipasang di padang permainan tumpuan di seluruh Selangor. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran pula, kementeriannya akan memohon dana khas untuk pemasangan CCTV di sekolah-sekolah bagi membendung kegiatan penculikan.
Keadaan rumah murah
Akan tetapi inilah yang sering berlaku di Malaysia. Selepas berlaku sesuatu kejadian atau insiden, barulah langkah pencegahan hendak diambil. Setelah berlaku banyak kejadian yang melibatkan penculikan kanak-kanak, barulah CCTV hendak dipasang di padang permainan dan disekolah. Satu lagi yang menjadi persoalan, apakah CCTV dapat membantu menyelesaikan masalah? Dalam kes penculikan dan pembunuhan menyayat hati adik Nurin Jazlin Jazimin telah membuktikan bahawa CCTV tidak dapat membantu untuk mengenalpasti penjenayah tersebut.
Sebelum ini, polis memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi imej seorang lelaki bermotosikal Modenas Kriss yang meninggalkan beg berisi mayat Nurin Jazlin di sebuah pusat perniagaan di PJS2, Petaling Jaya pada 17 September lalu. Bagaimanapun, sehingga kini polis tidak dapat mengesan dan memberkas lelaki dalam rakaman CCTV itu. Nombor pendaftaran motosikal Modenas Kriss tersebut juga tidak dapat dikesan walaupun kualiti imej rakaman itu telah ditingkatkan menerusi bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Dua lelaki ditahan oleh polis baru-baru ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan adik Nurin Jazlin selepas polis menerima maklumat dari orang ramai yang mendakwa wajah kedua-dua lelaki tersebut mirip gambar lakaran suspek pembunuh Nurin. Sama ada benar atau tidak mereka ini pembunuh Nurin masih lagi dalam siasatan polis. Yang benar ialah CCTV tidak dapat membantu polis mengenalpasti lelaki yang meninggalkan beg berisi mayat Nurin di Petaling Jaya tahun lalu.
Ibubapa dan orang ramai harus menerima hakikat bahawa Malaysia sudah tidak lagi selamat seperti dulu. Kini kanak-kanak tidak boleh lagi bebas bermain di taman-taman tanpa pengawasan orang dewasa. Kanak-kanak juga sudah tidak selamat lagi untuk ke kedai atau pasar malam bersama kawan-kawan untuk membeli barang-barang dan berjalan-jalan.
Gaya hidup harus ditukar. Ibubapa perlu memberi lebih tumpuan kepada anak-anak mereka bagi memastikan keselamatan lebih terjamin. Kawasan penempatan penduduk miskin kota seperti Taman Medan atau flat-flat sudah pasti sesak dengan penduduk. Kesesakan ini telah menyebabkan jenayah penculikan lebih mudah berlaku.
Mungkin inilah yang harus dikaji semula oleh kerajaan. Kawasan perumahan rakyat bawahan mungkin perlu dirombak semula. Jika anda ke Taman Medan, lokasi kehilangan Sharlinie, anda akan dapat melihat kepadatan penduduk yang begitu tinggi. Rumah-rumah murah yang rapat antara satu sama lain, rumah-rumah flat yang banyak dan jalan-jalan yang sempit adalah pemandangan yang biasa disini.
Kepadatan ini yang telah menimbulkan pelbagai masalah. Taman Medan juga adalah lokasi berlakunya pergaduhan antara kaum Melayu dan India pada tahun 2001. Peruntukan kerajaan seharusnya digunakan untuk mereformasikan kawasan perumahan rakyat dan bukannya untuk memasang CCTV.
Ambil iktibar
Satu pelan jangka panjang diperlukan untuk merombak semula kawasan penempatan rakyat. Tanah-tanah yang masih lagi banyak seharusnya digunakan untuk membina kawasan perumahan rakyat bawahan. Kawasan perumahan untuk rakyat yang lebih selesa. Jika bangunan tinggi seperti KLCC, lapangan terbang yang moden seperti KLIA dan litar lumba F1 boleh dibina, mengapa tidak perumahan untuk rakyat yang lebih selesa dibina?
Bukankah rakyat-rakyat bawahan yang tinggal di Taman Medan, kampung Dato Harun, flat-flat di Wangsa Maju dan banyak lagi kawasan perumahan yang padat turut memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara?
Marilah kita bersama-sama doakan agar kes kehilangan kanak-kanak tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. Semua pihak harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada Adik Nurin Jazlin dan Adik Sharlinie. Jangan biarkan anak-anak kecil bermain-main dan keluar tanpa pengawasan daripada orang dewasa.
Di samping itu semua pihak harus membantu mencari Sharlinie. Adik kecil ini sedang berada di luar sana dalam keadaan ketakutan. Bantuan yang berterusan daripada rakyat mungkinmembantu ibubapa Sharlinie menemui semula anaknya yang tersayang. “Abang Kucing” atau apa sekalipun gelaran kepada penculik kanak-kanak ini tidak harus dibiarkan berleluasa.
Polis harus memberikan tumpuan kepada kes-kes jenayah yang semakin meningkat. Kalau kawalan ketat dapat diberikan untuk menghalang perhimpunan aman daripada diadakan di ibukota Kuala Lumpur, mengapa tidak kawalan ketat dan tumpuan diberikan untuk mencari kanak-kanak yang hilang?
Mengapa tidak adakan sekatan jalanraya besar-besaran di seluruh negara untuk mencari adik Sharlinie seperti yang dilakukan tahun lalu ketika berhadapan dengan perhimpunan Bersih dan Hindraf? Jika ini dilakukan, saya yakin adik Sharlinie sudah ditemui.