KOLUM | Warga Malaysia diberitahu bahawa Azam Baki kini telah menjadi bekas ketua pesuruhjaya SPRM. Maknanya Azam Baki telah meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Jika masih terdapat barangan Azam Baki yang tercicir dalam pejabat ianya akan dibungkus dan masuk ke dalam kotak. Khidmat Grab akan digunakan untuk menghantar semua barang-barang ini ke rumah Azam Baki yang dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai. Selepas menjadi bekas, perkara berkaitan Azam saya tidak ambil pot (peduli).


BACA BERKAITAN:

Pemilikan saham: Azam fail saman fitnah RM100j pada Bloomberg

‘Lupa makan ubat, dia pun depress’ - Azam sindir penunjuk perasaan anti-SPRM

4 dekad tabur bakti, Azam Baki tinggalkan legasi perangi rasuah

Saya tak akan maafkan pihak serang saya tanpa sebab - Azam


Sekali pandang dilihat babak dan drama yang melibatkan Azam Baki ini sudah selesai. Tamat, the end, finito atau bak kata warga Pakistan khatam kogia.

Pemimpin PH berdemonstrasi tuntut pengunduran Azam Baki pada 2022.

Malah, ada yang menganggap kempen Tangkap Azam Baki telah berjaya.

Justeru Adam Adli - penyandang kerusi timbalan menteri pendidikan tinggi hari ini - boleh nyenyak tidur malam.

Kini Adam Adli tidak lagi dikutuk dan diperlekeh oleh anak muda mahasiswa kerana dia pernah berjanji untuk menangkap Azam Baki. Janji ini dibuat di zaman Adam Adli menjadi 'aktivis bising' sebelum dilantik menjadi 'menteri senyap'.

Parti DAP yang bising dan heboh berkempen mengasak Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ke atas Azam Baki tak perlu bising dan heboh lagi. Dikatakan juga, Anthony Loke pasti ada masa terluang untuk bantu kukuhkan Rider Gate.

Gambar fail, Adam Adly ketika protes anti-Azam Baki pada 2022.

Nurul Izzah juga pernah berjanji jika dilantik sebagai timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dia akan menggoncang kedudukan Azam Baki di SPRM. Kini – semua tidak perlu lagi. Amin.

Saya sendiri ikut sama berkempen untuk mengumpul orang ramai agar menyertai tunjuk perasaan Tangkap Azam Baki pada 25 April 2026 di Dataran Merdeka. Saya telah berceramah – lebih jujur menghasut - di Tanjung Pulau Pinang dan di Kota Bahru Kelantan.

Sepatutnya setelah Azam Baki menjadi bekas saya wajib gembira sama dan berehat santai. Tidak, saya tidak gembira dan tidak berehat.

Saya mengambil sikap yang lain. Sikap ini ada saya nyatakan tetapi tidak tuntas ketika saya menghasut orang ramai untuk turun berdemo Tangkap Azam Baki di Dataran Merdeka.

Dalam ceramah menghasut yang tidak lebih dari 115 minit - secara jujur saya nyatakan bahawa saya hanya menggunakan nama Azam Baki ini sebagai peluru dan umpan untuk menghasut.

Untuk saya Azam Baki ini kalau di Pakistan hanya dianggap sebagai chota wala (orang bawahan). Kalau di Paris Azam Baki ini hanya petit garcon (orang kecil).

Dalam ilmu semiotik pemikir Peranchis - Ferdinand de Saussure – Azam Baki ini adalah penanda yang membawa petanda.

Jika dalam budaya wayang kulit Melayu Azam Baki ini hanyalah patung-patung yang digerakkan. Di belakang patung-patung ini wujud pak dalang. Azam Baki ini hanya boneka untuk pak dalang bermain wayang.

Ketika menghasut dan berceramah dalam program kempen Tangkap Azam Baki adalah susah untuk saya menerangkan dan memberi pencerahan secara tuntas wayang pak dalang dalam SPRM ini.

Justeru dalam tulisan ini saya cuba memberi pencerahan sejarah lampau dan juga wayang pak dalang Azam Baki.

Mungkin ramai terperanjat bila membaca atau mendengar bahawa Azam Baki ini memiliki saham bernilai berjuta-juta ringgit. Mengikut dasar kerajaan adalah salah melanggar peraturan bila penjawat awam memiliki harta melimpah ruah.

Ini sahih lagi benar apa yang dilakukan oleh Azam Baki melanggar peraturan penjawat awam. Tapi untuk saya ini sap sap sui. Mat Salleh di London kata: no big deal.

Ada yang lebih besar. Azam Baki hanya penanda. Inilah yang wajib kita semua warga Malaysia yang bertanggung jawab wajib mengetahui.

Ada gajah di belakang nyiru. Ada kondom di dalam dompet. Ada sejarah di dalam berita. Ada dakwaan kongsi gelap dibawa masuk ke dalam badan politik Malaysia.

Apa itu kongsi gelap? Ini jawapan dari Wikipedia dan saya setuju 100 peratus: Kongsi gelap merujuk kepada kumpulan jenayah terancang atau pertubuhan sulit yang tidak berdaftar di sisi undang-undang dan sering terlibat dalam kegiatan haram untuk membiayai operasi mereka.

Kumpulan ini, yang juga dikenali sebagai triad atau samseng, terlibat dalam aktiviti seperti dadah, perjudian haram, pemerasan wang perlindungan dan pelacuran.

Perang Larut, kongsi Gee Hin dan Hai San

Di Klang ada kumpulan India Geng 24 Bukit Raja – ada Geng 24 Apache. Kita pernah dengar Geng Mamak. Ada Geng 04 – Geng 08 atau Geng Double 7. Ada kumpuan China Wah Kee, Geng Lima Jari atau Geng 306.

Kongsi gelap ini bukan satu perkara yang baru. Dalam Hikayat Abdullah tulisan Abdullah Munshi (1796 -1854) ada dikesahkan samseng China Tien Ti Hui.

Jangan lupa dengan Ghee Hin dan Hai San. Dua kumpulan kongsi gelap China terbesar yang menguasai perlombongan bijih timah di Tanah Melayu (terutamanya Larut, Perak) pada abad ke-19.

Persaingan ekonomi, perebutan kawasan lombong, dan konflik etnik mencetuskan Perang Larut (1861-1874) yang menjejaskan keamanan. Konflik ini berakhir dengan Perjanjian Pangkor 1874 – bila mana Tanah Melayu secara rasmi dijajah oleh Inggeris.

Jelas samseng, kongsi gelap ini bukan satu yang baru.

Bila kita membaca kembali sejarah Perang Larut kita akan bertemu dengan watak Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim. Raja Abdullah disokong oleh Ghee Hin manakala Ngah Ibrahim oleh Hai San.

Mafia korporat

Wow! Ini macam berita yang baru kita baca tentang dakwaan mafia korporat. Betul ada persamaan. Kalau Perang Larut puncanya ialah perebutan bijih timah. Kini bukan bijih timah tapi perebutan harta kekayaan syarikat di bursa saham.

Justeru saya akui Karl Marx betul dan benar. Menurut Karl Marx, perebutan harta kekayaan adalah inti dari konflik antara kelas-kelas sosial dalam sistem kapitalis. Perebutan inilah sebagai akar penindasan dalam agihan ekonomi yang tidak adil.

Justeru kemasukan kongsi gelap ke dalam badan politik kita bukan satu yang baru. Yang baru hanya para pemain. Kuala Lumpur 2020 bukan Larut 1820. Tapi kongsi gelap, samseng, gengster atau triad masih wujud seperti dulu.

Yang berubah, kalau dulu senjata dalam keris tombak dan racun. Kini ada pistol, senapang, bom tangan dan M16. Kalau dulu berebut emas dan bijih. Kini berebut saham dan syarikat.

Pada zaman Perang Larut ada raja, ada sultan, ada tok bandar, ada penghulu dan tok panglima. Ini punca kuasa dan penguatkuasa.

Tahun 2026 ketika dakwaan mafia korporat berlaku kita ada pengarah SPRM, ada ketua polis negara dan ada mahkamah – ini bukan punca kuasa. Ini alat pendinding kuasa.

Dari mana pula kongsi gelap ini mendapat kuasa? Ghee Hin dan Hai San dapat memelihara geng yang ramai menjadi kaki pukul kerana ada dana daripada perniagaan bijih timah.

Sama seperti Geng 306 yang didakwa mendapat dana daripada rumah urut, perniagaan lendir, syabu dan ganja. Di mana Ghee Hin dan Hai San hari ini?

Siapa sebenarnya Azam Baki jika dia hanya sekadar ‘boneka’? Siapa pula sebenarnya Farhash, Victor Chin dan Ramanan?

Yang wajib ditanya ialah siapa Anwar Ibrahim dalam dakwaan perang mafia korporat ini? Jawapan ini akan membawa ke kuliah pencerahan. Untuk jawapan dan pencerahan sila baca sambungan minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS