KOLUM | Khutbah kedua di Surau ar-Rahman di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada hari itu menyentuh soal budaya membaca.
Dua jam sebelumnya, ucapan Anwar Ibrahim sewaktu merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di bangunan sama menyebut kepentingan dan perkaitan antara membaca dengan peradaban bangsa.
Saya fikir kandungan khutbah tersebut yang menyentuh tentang budaya membaca bukanlah suatu kebetulan, melainkan merupakan suatu perancangan yang baik.
Apabila perdana menteri bercakap atau mengulas soal buku, huraiannya menarik. Memang di dalam atau di luar penjara, dunia Anwar ialah buku. Dan bahan bacaannya juga merentasi bahasa, bidang dan genre.
Setelah meninggalkan pentas utama, dia pergi melawat puluhan reruai. Usah dikira berapa orang yang disapa, disalam dan berswafoto. Daripada Sasterawan Negara hingga kanak-kanak biasa.
Dia juga menurunkan tanda tangan sebagai simbol melancarkan buku-buku terbitan terbaharu pelbagai reruai dan penerbit. Isyarat yang dihantar ialah, seolah-olah dia mahu meraikan semua.
Pesta buku adalah medan pertemuan bangsa membaca, daripada kaum bangsawan di istana, penguasa, birokrat, sarjana, ahli politik, saudagar, penulis, seniman, penganggur dan sebagainya.
Penghargaan buat penulis
Awalnya majlis perasmian dirancang untuk diadakan pada Sabtu tetapi seminggu sebelum itu, pihak yang berkenaan memaklumkan aturan majlis dipinda menjadi awal sehari.
Penganjur dan mereka yang ada kaitan majlis itu terpaksa merombak jadual atau perancangan masing-masing. Pun begitu, tiadalah terasa kesal atau marah.
Apalah sangat kesusahan kami daripada kesusahan seorang perdana menteri yang mentadbir sebuah negara. Justeru kerana kesibukan itulah agaknya hidangan makan tengah hari yang disediakan pihak penganjur tidak sempat dijamah oleh perdana menteri.
Saya duduk satu meja dengan dua Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan. Turut berkongsi meja ialah Abdullah Hasan, A Aziz Deraman, Awang Sariyan dan Salinah Ja’afar.
Semuanya merupakan sarjana bahasa terkemuka.

Pada kesempatan itu, perdana menteri juga melancarkan empat buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn.
Buku itu ialah biografi Asraf berjudul Raja Bahasa Tanpa Mahkota karya Awang Sariyan, biografi Abdullah Hasan (Demi Memandaikan Bangsa oleh Salinah), Malaysia Madani – Perspektif Sosiobudaya (A Aziz Deraman) dan Salahuddin Ayub – Budak Suci di Lembah Siasah tulisan saya sendiri.
Ini merupakan kali ketiga Anwar melancarkan buku tulisan saya. Istimewanya kata pengantar buku itu juga ditulis oleh Anwar. Secara peribadi, ini adalah satu penghargaan buat saya sebagai penulis.
Pertama kali Anwar melancarkan buku saya ialah pada 2013 di Kampung Gajah, Pasir Salak. Ketika itu Anwar merupakan Pengerusi Pakatan Rakyat. Buku Aku Melayu di Kota Inggeris diterbitkan Kemilau Publika.
Turut dilancarkan ialah karya wartawan legenda Pak Subky Latif yang bertajuk Propagandis Zaman.
Seperti putaran gasing
Kali kedua pada 2019 di salah sebuah hotel terkemuka Batu Pahat sempena lawatan Anwar ke Johor. Buku yang dilancarkan ialah Akar Bangsa. Budaya, Naratif dan Identiti terbitan Ilham Books.
Sayangnya, hari tersebut saya terpaksa balik awal pagi itu ke Perak kerana sahabat kami, Raja Ahmad Iskandar meninggal dunia. Majlis pelancaran diteruskan tanpa saya - pengarangnya.
Memang ada perbezaan besar dengan waktu dia melancarkan buku saya sebelum ini.
Kali ini, Anwar melancarkan buku saya sewaktu dia seorang yang paling berkuasa di negara – perdana menteri. Masanya sangat bernilai.
Dia tidak lagi sekadar milik keluarganya, partinya, kerajaannya, negaranya tetapi milik ummah. Juga adalah milik perjuangan membebaskan Palestin secara lebih konstraktif. Bukan retorik.
Seusai sahaja dia berada di pesta buku, Anwar terus bergegas ke acara lain untuk mengiringi Yang di-Pertuan Agong bersolat Jumaat bersama rakyat. Rutin hariannya seperti putaran gasing. Pantas, tangkas dan cergas.

Kami memang mendukung kepimpinannya terutama dalam membawa gagasan kerajaan perpaduan. Ketika dia melawat reruai ke satu reruai, tiadalah kami mengekorinya.
Sebagai penulis, urusan kami berbeza.
Hanya mereka yang bertugas rasmi yang pergi mengiringinya. Ada Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengajian Tinggi, Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan.
Manakala para pegawai tinggi kementerian, pihak keselamatan, urusetia, wartawan, jurugambar dan mereka yang bertugas mengiringi perdana menteri.
Sebelah petang, saya bersama Mujahid Yusof ada sesi bedah buku Salahuddin Ayub Budak Suci di Lembah Siasah di pentas Dewan Hussein Onn.
Meski sesi itu seakan suatu episod nostalgia dengan arwah Salahuddin tetapi hal yang lebih utama ialah usaha mengangkat politik kasih sayang dan rahmah ke persada bangsa dan negara.

Pepatah orang tua menyebut, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Penulisan biografi tokoh seperti Salahuddin bukan soal sosok insan tersebut tetapi hal yang lebih utama adalah persoalan nilai-nilai yang perlu ada kepada seorang pimpinan.
Bagaimana nilai-nilai itu terbentuk, berterusan dan menjana potensi diri sebagai khalifah di muka bumi.
Usaha membumikan konsep rahmatan lil alamin yang bersifat abstrak menjadi suatu konsep yang dapat dirasai oleh rakyat menuntut gotong royong dari pelbagai pihak.
Fadzlina Sidek menulis dalam media sosialnya, “buku ini adalah tentang kekuatan peribadi Salahuddin Ayub yang memberikan tumpuan kepada karakter beliau yang sentiasa diingati kerana punya citra courage of conviction.”
Ramai mahu menjadi pemimpin tetapi tidak ramai yang punya citra tersebut.
Idealisme biasanya akan tersungkur di kaki kekuasaan yang berdiri tegak.
Dalam sesi bedah buku itu, Mujahid berkongsi pengalamannya bersama Salahuddin di puncak kekuasaan.
Idealisme seorang pemimpin politik dibugar dengan kekuatan rohani melalui bacaan al-Quran, matsurat dan wirid harian.
Mengalir perlahan air mata kami apabila Mujahid menghimbau kebaikan Salahuddin Ayub.
Al fatihah buatnya.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional dan Naib Pengerusi Amanah Perak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
