KOLUM | Suatu rakaman pertandingan ayam serama melintas di media sosial. Ayamnya katik-katik, jalan berkepak tanpa fungsinya sepasang kepak. Mendada seperti ‘gym-bro’ yang baru lepas angkat besi. Leher pun tidak kelihatan. Balung dan ekor pun saling bertemu. Manakala operator si ayam-ayam ini di tepi-tepi meja, bertepuk dan bersorak seolah-olah sang ayam faham bahasa Melayu.
Saya mengekek ketawa.
Politik Malaysia juga tentu sekali tidak jauh beza. Ayam serama dalam parti-parti politik pun sama sebiji seperti katik-katik mendada jalan berkepak ini sambil beg diselit di celah ketiak, dengan baju batik Jawa lengan pendek. Jam tangan berjenama. Asli atau tiruan belakang kira. Dulu ada yang spesis gantung vape di leher. Sekarang sudah jarang jumpa.
Ayam belaka serama politik ini semuanya. Lagi ditepuk, lagi disorak, lagi dia berkepak dan mendada. Sangat Hollywood sebenarnya. Kan?
Namun di sebalik ayam-ayam politik ini sebenarnya ada ‘operator’ yang mengasuh dan memberi makan. Menyediakan keperluan dan membuat perhitungan siapa berlaga siapa. Semuanya demi laba. Bukan sebab mereka itu sangat-sangat meminati ayam pun. Atau mungkin mempunyai gagasan besar bahawa masa senggang lelaki pertengahan usia mesti dihabiskan dengan ayam. Tidak kira jenis apa atau bagaimana cara menyantuni ayam-ayam ini.
Tentunya tidak. Tidak sama sekali.
Apa jenis ayam pun, yang penting ialah duit. Siapa yang memberi makan, memperaga, menyediakan kemudahan, memperdagangkan ayam, menjual beli ayam, semuanya kerana duit.
Sama halnya dengan politik. Terutamanya politik orang Melayu.
Yang disorak sampai nak tercabut anak tekak itu tak ada kena mengena dengan hasil dan hakikat sebenar permainan politik. Apa yang direbut sebenarnya ialah kuasa dan segala yang mengalir daripada pintu-pintu kekuasaan. Individu dan parti politik boleh memperniagakan agama, bangsa, masa depan kaum, hak asasi, nilai-nilai moral, dasar ekonomi, namun pada akhirnya semua itu hanyalah modal untuk merebut satu perkara: kekuasaan.

Hujung minggu ini ada kenduri besar di negeri JDT. Meski awal setahun, Menteri Besarnya Onn Hafiz telah membubarkan DUN dalam tempoh tidak lama dari selesainya perhimpunan ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno meraikan ulangtahun ke-80 parti itu di Istana Besar Johor.
Belum pun tempoh kempen bermula, Onn hadir sepentas dalam sebuah ‘podcast’ bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail yang dilaporkan media sebagai menyerang kerajaan pusat, dengan mempersoalkan kebocoran ekonomi dan peruntukan yang dikembalikan kepada negeri Johor.
Asakan tersebut kemudiannya disambut dengan pertemuan antara Perdana Menteri dengan Tunku Ismail, tidak lain bagi mendamaikan suhu pertembungan antara istana dengan pihak pentadbiran negara.
Pentas pulihkan maruah Umno
Pilihan raya negeri Johor bukan pertembungan politik biasa-biasa. Bagi yang membaca isyarat-isyarat daripada tindakan pihak-pihak berkepentingan, PRN Johor adalah pentas untuk bukan sekadar mengukur kekuatan serta potensi Umno untuk kembali menjadi parti dominan, bahkan juga adalah pentas berpencak memecah bunga bagi mengumumkan bahawa ia memang sedang kembali menjadi parti dominan.
Bukan itu sahaja. Ia malah merupakan pentas untuk mempertontonkan kepada khalayak umum siapakah tangan-tangan yang berjaya memulihkan maruah dan jatidiri Umno itu, di tengah rancak kekuasaan kerajaan campuran kendalian Anwar Ibrahim dan parti-parti komponen Pakatan Harapan.
Lalu di sini kita temukan pertandingan telur siapa lebih besar dalam perkelahian politik yang tidak mungkin selesai.
Namun seperti cerita ayam serama tadi, ini bukan soal Umno atau orang Melayu. Ini soal siapa yang sedang menunggu laba dan untung berganda apabila mereka yang dicatur dan disorak itu mendapat kemenangan. Selebihnya hanyalah hal-hal kolateral yang akan menjadi lalapan di tebing piring.
Siapakah tangan yang mencatur dan mengatur? ‘Cui bono?’ Siapa yang mendapat manfaat, bak kata orang kampung saya. Ini tidak sukar diteka. Tapi kita hanya boleh teka melalui bacaan semiotik di gambar-gambar perhimpunan pimpinan Umno, menyukat senyuman siapa yang paling lebar dan siapa yang masuk dalam bingkai serta siapa yang kembali disorot kehidupannya di media sosial setelah lama tidak dipedulikan.
Tangan-tangan ini kelak akan menuntut hak mereka pada penghujung perlumbaan, setelah ayam-ayam mereka kembali disimpan di dalam sangkar.
“Ini semua kerana ‘move’ yang aku susun, aku atur dan aku ‘execute’! Ini hasil pelaburan aku!” kata dia sambil mendabik dada, menuntut ‘return of investment’ yang telah dia incar sejak awal mula.
Siapakah yang akan membayar harga kemenangan itu nanti? Orang Melayu kah?
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
