KOLUM | Mata dan hati saya mula terbuka bila berita Dara, Amoi dan Kelat (DAK) muncul dalam media. Ini tiga ekor gajah – warga asli Tanah Melayu - kini ditempatkan di dalam Zoo Tennoji Osaka, Jepun.
Apa yang menarik perhatian saya ialah wujudnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menimbul dan membawa berita tiga ekor gajah ini ke pengetahuan umum.
NGO ini memainkan peranan yang penting untuk memberi kesedaran dan pencerahan dalam hal ehwal haiwan. Tanpa mereka saya tidak akan mengetahui tentang nasib Dara, Amoi dan Kelat yang sedang terkurung di Osaka, Jepun.
Kesedaran dan pencerahan tentang kebajikan haiwan ini bukan satu yang baru dalam negara kita.

Saya pernah membaca laporan Bernama pada 7 Ogos 2025 bila mana seorang pak cik telah didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang. Pak cik ini telah didenda kerana memukul Lucky, anjing peliharaannya, dengan rotan dan paip.
Perbuatan ganas ini telah dirakam oleh jiran tetangga yang membuat laporan kepada polis.
Untuk saya berita ini menunjukkan bahawa masyarakat kita telah setapak maju ke hadapan. Telah ada kesedaran di kalangan warga bahawa haiwan juga mempunyai hak asasi.
Malah kita juga wajib berbangga kerana negara kita pada tahun 2015 telah meluluskan Undang-Undang Penganiayaan Haiwan. Hukuman berat ke atas pak cik yang memukul Lucky termaktub di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
BACA BERKAITAN:
Di sebalik kritikan, Zoo Osaka pamer foto gajah Malaysia 'bahagia'
Tiada unsur komersial dalam perjanjian tiga gajah ke Jepun - MPT
MB Pahang gesa bawa balik tiga gajah Malaysia di zoo Jepun
Seksyen ini melarang keras sebarang bentuk kezaliman terhadap haiwan, termasuk: memukul atau menyepak haiwan. Mencederakan menggunakan senjata (seperti besi atau buluh). Mengabaikan kebajikan sehingga menyebabkan penderitaan. Meracun atau membunuh haiwan tanpa alasan munasabah.
Kita juga ada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan 2022): Kesalahan mengimport, mengeksport, atau menyeludup hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 dan penjara sehingga 15 tahun.
Undang-undang dan akta ini pada hemat saya membuktikan bahawa Malaysia kini dalam landasan tamadun kemanusiaan yang betul. Kita bukan saja menjaga hak asasi manusia tetapi kita juga menjaga hak asasi haiwan.
Lalu timbul persoalan bagaimana Dara, Amoi dan Kelat boleh berhijrah ke Osaka, Jepun?

Soalan ini menjadi tanda tanya kerana yang berhijrah ialah gajah. Bagaimana haiwan gajah yang amat besar ini boleh dihantar ke Jepun. Gajah tiga ekor ini bukan berpindah dari Segambut ke Sri Kembangan.
Dara, Amoi dan Kelat diangkut cara apa ke Osaka. Naik kapal terbang atau naik kapal laut? Wajib ada pasport atau tidak? Saya bertanya hal ini kerana saya ada pengalaman dalam hal menghantar haiwan ke luar negara.
Tiga tahun dulu seekor anjing jantan muda – telah saya ditemui bersendirian berkelana di Tanah Perkuburan Hokkien. Ini wilayah tempat saya membawa anjing peliharaan saya Tak Tak dan Ezi – berjalan setiap pagi dan petang.
Anjing buangan ini telah berkawan dengan anjing saya. Lalu diberi nama Oskar.
Proses rapi, teliti
Jiran saya yang juga pemilik anjing telah memasukkan gambar Oskar ke media alam maya untuk mencari tuan baru. Seorang insan baik dari Singapura telah melamar untuk menjadi tuan baru kepada Oskar.
Oskar perlu dihantar ke Singapura. Proses ini mengambil masa lebih dari satu bulan. Ketika menunggu proses penghantaran, si Oskar telah saya bawa menumpang di flet saya. Ini menjadikan katil saya sempit untuk tiga ekor anjing.
Butiran Oskar telah diambil oleh pihak berwajib. Kemudian Oskar wajib mendapat suntikan dan dikuarantin selama satu bulan sebelum diterbangkan ke Singapura.
Hakikatnya proses menghantar haiwan hidup ke luar negara ini bukan perkara yang mudah. Surat-menyurat, permit dan lesen diperlukan. Ada sistem peraturan yang ketat yang wajib dipatuhi.
Pengalaman menghantar Oskar ini meyakinkan saya bahawa pasti menghantar tiga ekor gajah ke Jepun juga memerlukan proses yang lebih rapi dan teliti.
Peraturan menghantar haiwan liar ini semuanya termaktub dalam Piagam CITES. Kalau untuk negara kita ada piagam United Nations atau PBB. Untuk haiwan dan tanaman ada CITES: Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam.
Saya meneliti dan terus mencari maklumat untuk tahu tentang Dara, Amoi dan Kelat.
Saya membaca maklumat dari William Keith Lindsay, seorang pakar biologi pemuliharaan dan perunding alam sekitar yang berpangkalan di Oxford, England. Sosok ini telah membuat kajian di 14 buah zoo di Jepun termasuk Zoo Tennoji di Osaka, di mana Hiroko, seekor gajah, telah mati pada tahun 2018.

Dara kini berumur 14 tahun. Amoi berumur 9 tahun dan Kelat, gajah jantan, berumur 20 tahun.
Ketika Dara berumur 1 tahun, Amoi berumur 2 tahun dan Kelat berumur 5 tahun, mereka yang yatim piatu telah diselamatkan dan dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Apa yang kita baca – malah saya sendiri – telah menulis bahawa Dara, Amoi dan Kelat ini telah berpindah dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka.
Namun, perkara ini dipertikaikan oleh pihak tertentu yang mendakwa ketiga-tiga gajah itu berasal dari Kuala Gandah.

Menurut pihak yang membantah pemindahan itu, rekod asal-usul ketiga-tiga gajah tersebut dikatakan menunjukkan ia dibesarkan di Kuala Gandah, bukan Zoo Taiping.
Lalu persoalan timbul – dari mana punca berita yang mengatakan bahawa tiga ekor yatim piatu ini tinggal dan dibesarkan di Zoo Taiping. Apakah asas dokumentasi yang digunakan untuk membolehkan Dara, Amoi dan Kelat diterbangkan ke Osaka?
Ini kerana dalam Piagam CITES ada dinyatakan bahawa haiwan yang boleh dihantar ke luar negara adalah haiwan yang dilahir dan dibesar dalam zoo. Ini untuk mengelakkan haiwan liar ditangkap dan terus dieksport ke luar negara.
Bila saya sampai ke perkara eksport dan seludup haiwan liar ini saya terperanjat.

Kita selalu terbaca berita PDRM dan kastam menangkap penyeludup dadah. Amat jarang kita terbaca haiwan liar diseludup.
Jangan terperanjat - perdagangan haram menyeludup hidupan liar di peringkat global dianggarkan bernilai antara AS$20 bilion hingga AS$23 bilion dolar setahun. Ini perdagangan haram keempat terbesar di dunia.
Sementara itu, penyeludupan dadah bernilai antara AS$426 bilion hingga AS$652 bilion dolar setahun. Diikuti oleh pemalsuan barangan dan perdagangan manusia.

Penyeludup hidupan liar kerap menggunakan laluan transit dan kaedah penyembunyian yang sama seperti yang digunakan oleh kartel dadah untuk merentas sempadan.
Justeru isu Dara, Amoi dan Kelat ini wajar diteliti secara telus kerana perdagangan hidupan liar secara haram memang diiktiraf sebagai satu bentuk jenayah rentas sempadan.
Kebimbangan saya bertambah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan dakwaan ketidakteraturan dalam urusan pemindahan tiga gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
SPRM melalui kenyataan pada 22 Jun, memaklumkan sedang giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Siasatan kini memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang terbabit dalam urusan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat," kata SPRM.
Ada dakwaan yang mengatakan bahawa bayaran berkait urusan ke Osaka yang tidak disalurkan kepada kerajaan. Juga ada dakwaan yang masih dalam siasatan mengenai beberapa individu dikaitkan dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta iru.
Justeru SPRM masuk menyiasat. Kita biarkan SPRM menjalankan tugas.
Sementara menunggu hasil siasat SPRM kita juga wajib terus meneliti dan mengikuti perkembangan Dara, Amoi dan Kelat dari jauh.

Menurut dapatan pakar pemuliharaan dan perunding alam sekitar William Keith Lindsay yang dipetik pengkritik pemindahan itu, Zoo Tennoji didakwa tidak memenuhi beberapa piawaian sesuai untuk ketiga-tiga gajah tersebut.
Ada banyak dapatan kajian dari pakar biologi dari Oxford ini. Wajib digariskan bahawa Zoo Tennoji ini adalah tempat Arwah Hiroko meninggal dunia pada tahun 2018.
Justeru kita sebagai warga wajib terus menuntut agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang dengan segera.
Apa lagi dapatan kajian itu? Sila tunggu minggu hadapan, Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
