KOLUM | Prolog pergulatan petani Sg Manik
KOLUM | Sebagai anak tempatan Sungai Manik, jelapang padi ini begitu mengamit romantisisme saya tentang kehidupan petani.
Catatan ini adalah kenangan dan rujukan tentang sebuah kampung yang membentuk peribadi dan kebijaksanaan penghuninya zaman berzaman.
Sawah padi Sungai Manik terbentang menguning – atau menghijau – berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa yang menghijau adalah suatu pemandangan indah dan dapat disaksikan dari semasa ke semasa.
Di sebalik keindahan itu terselit seribu satu cerita. Ada cerita derita dan tidak kurang khabar gembira.
Ia seperti roman yang pernah dinukilkan Shahnon Ahmad dalam novelnya, Ranjau Sepanjang Jalan yang menggunakan kampung halamannya, Banggol Derdap, sebagai latar cerita.
Kemiskinan petani memberi fakta-fakta jelas dalam kuliah universiti untuk para mahasiswa. Sarjana ekonomi pula bersyarah soal idealisme kemakmuran bersama dengan segala angka dan teori.
Kemiskinan petani mampu membangkitkan kesedaran terhadap penguasa dan para pegawai yang korup.
Kemiskinan, kemunduran dan kejahilan adalah penyakit yang datang bersekali dengan dendam dan amarah.
Perang antara ideologi
Bagaimana jelapang padi yang membekal beras bagi mengisi perut rakyat dan hidup sihat tetapi mereka sebagai petani terpaksa mengikat perut sendiri?
Kehidupan petani sememangnya sarat dengan kontradik. Kedudukan mereka adalah utama, tetapi pada masa sama, mereka terpinggir. Penting, tetapi lazimnya terhimpit.
Entah berapa juta atau billion ringgit dicurahkan dalam usaha membangunkan ekonomi petani dan sawah padi sejak puluhan tahun lalu. Namun realitinya pertanian di kampung-kampung masih menjadi simbol kemiskinan.
Kemiskinan pula adalah satu daripada modal paling laris dalam gelanggang politik dalam usaha meraih kekuasaan, atau mempertahankan kuasa.
Ada sebuah novel berasaskan sejarah kampung saya yang bertajuk Sungai Manik Berdarah karya M Zaki Arif. Buku tersebut terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2020.

Namun ceritanya bukan mengenai kemiskinan tetapi tentang perang yang mengalirkan darah serta mengorban nyawa. Sebuah cerita berunsur sejarah dan juga mitos.
Ia mengisahkan perang ideologi yang ditafsirkan sebagai perang antara kaum. Tidak kurang juga menganggap sebagai ‘perang sabil’ melawan orang kafir.
Kisah itu pernah dilakarkan oleh sepupu saya sewaktu datang mengambil upah memotong padi pada 1970-an dulu, Dia melukisnya di atas papan lapis.
Upahnya segantang dua padi saja, bukannya wang kertas.
Dia melukis pemandangan sawah yang menguning, sungai yang mengalir dan pepohon menghijau. Begitulah seniman merakam zaman, seperti juga penulis kecil seperti saya.
Bezanya hanya jalan yang dipilih.
Tiada isu Islam terancam
Itulah cerita kampung, tempat saya dibesarkan dan mengenal erti hidup bermasyarakat.
Kini saya tinggal di Changkat Jong, sebuah daerah pentadbiran yang sama dengan Sungai Manik – Hilir Perak. Kami berkongsi budaya, masyarakat, udara dan pemandangan yang sama.
Kadangkala perubahan daerah ini tidak ketara melainkan merenung sedalam-dalam dalam fikiran sambil membayangkan raut wajah orang kampung yang sebaya, barulah perasan bahawa banyak perubahan berlaku di kampung.
Dari situlah banyak ibrah diperolehi.
Berdasarkan rekod dan dokumen rasmi, nampaknya Inggerislah yang membuka petempatan baru kepada orang Melayu di Sungai Manik.
Sebagai generasi yang lahir beberapa tahun lepas merdeka, bau-bau Inggeris masih berbaki dalam kurikulum sekolah.
Buku sejarah banyak memaparkan tokoh dan pegawai Inggeris yang bertugas di tanah air. Pakaian seragam sekolah pun masih gaya kolonial – pelajar lelaki berseluar pendek dan pelajar perempuan berskirt.
Tiada siapa peduli ketika itu Islam terancam.

Teluk Intan merupakan pusat pentadbiran dan perniagaan daerah Hilir Perak. Sebelum era campur tangan British di Perak pada 1874, kebanyakan penduduk tempatan lebih gemar tinggal di sepanjang tepi Sungai Perak.
Bahkan itulah inti ketamadunan Melayu – sungai dan lembangannya. Banyak istana, kota dan makam raja terletak di pinggir sungai.
Meski British datang ke Tanah Melayu sebagai penjajah dan penjarah tetapi dokumen yang tersimpan mempamerkan peranan mereka ialah pelindung orang Melayu dan membawa kemajuan.
Hanya melalui renungan sedalam-dalamnya, hakikat akan ditemui.
Perantau Melayu dan orang tempatan membanting tulang empat kerat demi meneruskan kehidupan kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang.
Nilai tanah rizab Melayu
Generasi yang seusia dengan saya kebanyakannya merupakan generasi ketiga perantau dari tanah seberang.
Ketika itu, tiada lagi garis sempadan ciptaan kolonial yang memisah-misah rumpun bangsa menjadi kotak-kotak untuk diperkotak-katikkan.
British memahami bahawa kemiskinan adalah tenaga kepada orang tempatan untuk bangkit menentangnya. Oleh kerana itu, Inggeris menyuburkan rasa kehidupan bersederhana dengan apa yang ada.
Banyak memberi daripada merasa. Banyak pengorbanan hingga diri sendiri terkorban.
Sebagai kuasa besar dunia, British mengurus kebangkitan orang tempatan dengan bijak seperti menarik rambut di dalam tepung. Hatta selepas bertahun-tahun merdeka, kemiskinan kekal menjadi persoalan yang mencengkam kehidupan bernegara.
Ada peraturan yang dijadikan kanun tanah. Seperti tidak membenarkan tanah yang diistiharkan untuk tanaman padi digunakan untuk tanaman lain.
Atas nama perlindungan hak pribumi, tanah mereka diwartakan sebagai Tanah Simpanan Melayu yang sifatnya tidak boleh dipindah milik kepada bukan kaum Melayu.
Entah di mana kurangnya, tanah simpanan itu mempunyai nilai rendah dan tidak dipandang sebelah mata dalam pasaran. Lalu, ia menjadi kitab buruk.
Sungai Manik ialah sebuah projek penanaman padi untuk mengangkat ekonomi orang Melayu oleh kolonial. Orang Melayu tidak perlu lagi menunggu putera Raja Suran turun ke Bukit Seguntang untuk padi mereka menjadi emas dan bertangkai perak suasa.
British sudah pun melakukannya!
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/a300c4c44500b42b08bdb652bb47f5ad.jpg)
