KOLUM | Apabila berlaku banjir dahsyat di Nepal dan China, perhatian semua pihak adalah untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Hanya ada 72 jam untuk pasukan penyelamat mencari mangsa yang masih hidup. Itulah yang disebut “72 hour window” (jendela 72 jam).
Tetapi pada hari yang sama iaitu Selasa, 26 Ogos 2026, sudah bermula kempen memburukkan China dalam media sosial yang dikaitkan dengan bencana ini.
Terdapat hantaran di YouTube yang terus menyalahkan China kerana dispekulasikan sebagai pencetus bencana. Menurut mereka, China melakukan projek-projek mega yang merosak gunung-gunung di sekitar Himalaya.
Sudah tentu spekulasi itu tidak berasas kerana siasatan untuk mengetahui punca banjir itu mengambil masa lama. Hantaran-hantaran itu hanyalah untuk memainkan sentimen antatabangsa supaya membenci China.
Kempen itu adalah suatu yang dapat difahami kerana China berdepan dengan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) yang memusuhinya. Platform media sosial memang dijadikan alat oleh Barat untuk memburuk-burukkan China.
Perkara ini pernah berlaku semasa Covid-19 melanda dunia. Begitu juga dengan bencana-bencana yang pernah dialami oleh China yang sering disusuli dengan penekanan bahawa negara itu tidak cekap menanganinya selain tanggapan bahawa fahaman komunis mereka sebagai tidak berperikemanusiaan.
China sebagai sebuah negara yang diperintah oleh Parti Komunis mempunyai reputasi dasar maklumat tertutup iaitu tidak membenarkan media asing bebas membuat liputan. Hanya liputan rasmi oleh media dalaman yang dikawal oleh kerajaan.
Serangan maklumat
Perkara ini adalah suatu kebiasaan bagi negara yang diperintah bukan saja oleh parti komunis tetapi juga negara bukan komunis yang diperintah oleh diktator.
Ini kerana negara bukan demokratik seringkali cenderung obses memegang kepada kuasa dan bimbang maklumat bebas boleh menjejaskan pegangan mereka kepada kuasa.
Maka negara komunis sering mengutamakan propaganda daripada kewartawanan sebenar. Akibatnya mereka mudah untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau perbuatan daripada diketahui orang ramai demi menjaga imej dan kemantapan kuasa mereka.
Sememangnya pada zaman Mao Zedong seperti mana di negara-negara Soviet Union dan Eropah Timur, penguasa komunis pada masa itu melakukan perkara-perkara yang penuh propaganda kerana mereka sedang menghadapi Perang Dingin.
Namun China sejak Deng Xiaoping, keadaan banyak berbeza kerana banyak perkara telah terbuka. Kini Perang Dingin sudah berlalu. Namun begitu, China tetap menjadi sasaran serangan maklumat dari Barat.
AS melihat China sebagai ancaman. Maka mereka mengambil peluang untuk menekan China dengan isu-isu seperti Taiwan, Tibet dan Xinjiang. Akibatnya tentulah China berasa mereka sentiasa diancam Amerika.
Dalam keadaan ini, perlakuan lama komunis berkaitan maklumat pasti berlalu juga. Maknanya tidak mustahil bagi China untuk menapis berita dan melakukan amalan-amalan biasa mereka. Adalah jelas kepintaran buatan (AI) dan media sosial digunakan oleh penentang China, termasuk daripada kalangan pendukung pemisah Taiwan, Tibet dan Xinjiang yang berada di Barat untuk melancarkan serangan maklumat.
Maka banjir dahsyat Nepal-Tibet ini digunakan sepenuhnya untuk memburukkan China.

Ibarat tsunami gunung
Tragedi banjir ini dijadikan bahan persaingan geopolitik antara AS dan China. Malah selama ini pun, kedudukan Nepal yang bersempadan dengan China merupakan pusat strategik bagi persaingan geopolitik antara AS dan China.
Pada hari pertama peristiwa itu, ada hantaran dari seorang pelapor dari Barat menyebut Tibet sebagai “wilayah yang kini dikuasai China” dengan memberi gambaran bahawa seolah-olah Tibet bukan sebahagian daripada China tetapi “dikuasai” kerana dahulu pernah merdeka.
Sedangkan Tibet seperti juga Xinjiang yang pernah bernama Turkestan Timur telah ditakluk oleh China pada zaman Imperial (Dinasti Tang, Yuan dan Qing) dan perkara ini menjadi asas pada kedaulatan Beijing ke atasnya pada zaman moden.
Sebahagian Barat masih tidak mahu mengiktiraf kedaulatan China ke atas Tibet. Mereka mendukung kerajaan buangan pimpinan Dalai Lama yang berpusat di India. Maka Tibet sentiasa menjadi isu dalam hubungan antara Cbina dengan Barat. Sebab itu juga sempadan Tibet dengan Nepal, India dan Pakistan amat sensitif pada Beijing.
Banjir yang berlaku di Nepal dan Tibet itu disebut sebagai “banjir kilat”. Tetapi istilah ini tidak tepat. Dalam bahasa Melayu, banjir kilat bermaksud banjir yang datang tina-tiba kerana hujan amat lebat dan selalunya berlaku di kota seperti Kuala Lumpur.
Mungkin istilah banjir bandang yang digunakan dalam Bahasa Indonesia kerana ia merujuk suatu banjir yang lebih besar daripada banjir kilat. Malah besarnya seperti tsunami. Banjir bandang melibatkan kayu, batu dan lumpur seperti yang berlaku di Sumatera Utara dan Aceh tahun lalu.
Tetapi banjir yang berlaku di Nepal dan Tibet ini adalah lebih besar, ia melibatkan bukan saja batu, kayu tetapi juga ais. Ia adalah seperti tsunami gunung. Maka ia seringkali dirujuk sebagai “banjir langit-biru” (blue-sky flood) yang bermaksud suatu banjir berbahaya yang berlaku semasa langit cerah dan biru yang mana cuaca tidak menunjukkan sebarang suasana akan hujan.
Apabila ia berlaku, pada mulanya disangka gempa tetapi kemudian disepakati adalah akibat kecairan glasier yang mendadak dengan pemecahan empangan semula jadi. Maka puncanya adalah pemanasan global yang datang dari perubahan iklim.

Apabila soal perubahan iklim, tentulah berlaku pertembungan ideologi dan juga melibatkan dimensi geopolitik. Pertembungan ideologi adalah antara fahaman kanan dan kiri. Pendukung fahaman kanan termasuk Presiden Donald Trump serta sekutu-sekutu korporatnya menafikan adanya perubahan iklim dan pemanasan global. Sementara golongan kiri sentiasa mengingatkan dunia terhadap kesan besar perubahan iklim.
Perkara ini pula berasaskan pada kesedaran bahawa punca besar pemanasan global adalah pembakaran bahan api fosil seperti minyak yang lebih banyak dilakukan oleh negara maju dan kaya dalam bentuk penggunaan kereta dan adanya kilang.
Tetapi kesan pemanasan global ditanggung oleh seluruh dunia dan tentunya majoriti adalah negara miskin. Maka kemarau, banjir, tanah runtuh dan ribut taufan yang berkaitan dengan pemanasan global lebih banyak ditanggung oleh penduduk negara miskin termasuk Nepal.
Sebagai negara kiri, China menyokong usaha untuk menangani kesan besar dari pemanasan global. Tetapi pihak Barat mendakwa China yang amat aktif dalam ekonomi banyak penyumbang kepada pemanasan global.
Lebih-lebih lagi China membina projek-projek mega seperti empangan kuasa hidroelektrik dan kerja-kerja pelombongan yang boleh menjejaskan alam sekitar terutamanya gunung-ganang.
Tentulah China yang tidak terbuka terhadap aktivinya menjadi sasaran syak sangka dari laskar siber Barat, teemasuk golongan pro-Taiwan. Dengan menggunakan AI dan media sosial, mereka dapat menimbulkan keraguan terhadap China.
Lebih-lebih lagi sememangnya China sedang membina empangan di Nepal yang terjejas teruk akibat banjir itu dengan para pekerjanya terkorban dalam terowong. Tetapi tentulah China sedar tentang kritikan-kritikan ini.
Mereka memasukkan hantaran ke dalam YouTube untuk menunjukkan bahawa walaupun China melakukan pembinaan projek mega dan perlombongan tetapi mematuhi secara ketat amalan pemeliharaan alam sekitar terutama penjagaan gunung-ganang.
Tetapi kritikan terhadap China paling besar datang dari golongan pro-Taiwan. Mereka tidak menyebut China atau Republik Rakyat China tetapi memanggil mereka Parti Komunis China (CCP) untuk memainkan sentimen anti-komunis.
Soalan pertama yang diajukan ialah “di manakah robot-robot yang dibanggakan?”. Perhatian mereka adalah kepada kemusnahan bangunan imigresen dan kastam di Port Gyirong di sempadan Nepal-China yang musnah sama-sekali.
Pertamanya, China tidak membenarkan media asing masuk, jadi mudahlah mereka hendak menyembunyikan maklumat. Sedangkan di Nepal, media asing bebas masuk dan urusan mencari dan menyelamat tersiar dengan meluas.
Sedangkan, kata mereka, tiada kelihatan usaha menyelamat di pihak China. Apa yang disibukkan China, dakwa mereka ialah memastikan kawasan mereka tidak diceroboh. Kalau di Nepal, nampaklah mangsa yang diselamatkan.
Di sebelah China, pakaian seragam pasukan penyelamat dikatakan kelihatan bersih dan apa yang dilakukan mereka adalah disyaki merupakan lakonan dan bukannya berada di tempat kejadian. Usaha mencari pula adalah seperti primitif, memanggil-manggil mangsa tanpa menggunakan peralatan canggih.

Pihak China pula menjawab, sebenarnya Port Gyirong musnah sepenuhnya, malah tapaknya tidak dapat dikesan. Pihak China perlu melakukan ukuran teknikal bagi memastikan tapak bekas bangunan imigresen itu kerana sungai pun sudah berubah.
Lebih mencabar adalah semua jalan ke situ sudah musnah. China hanya boleh menggunakan dron dan helikopter. Hampir pasti tiada mangsa yang selamat. Jadi untuk membawa jentera berat dan peralatan canggih, jalan baru perlu dibina dan ia bermakna, bukit kena ditarah. Seminggu selepas peristiwa itu barulah mereka dapat mencari dan mengesan mangsa.
Setelah dapat dibina jalan baru itu, mereka akan segera mendirikan semula pos imigresen supaya laluan antara Nepal dan China dapat dipulihkan segera.
Muka bumi Nepal dan Tibet adalah berbeza. Walaupun China lebih tersusun, besar dan maju tetapi apa yang mereka alami berbeza dari banjir yang sama. Pertamanya jarak Port Gyirong ke bandar utama Tibet iaitu Lhasa adalah kebih jauh berbanding dengan bandar utama di Sungai Trishuli iaitu tempat kejadian dengan Kathmandu.
Nepal pasti memperoleh banyak bantuan dari negara-negara luar terutamanya warganegara asing dari Barat lebih banyak terlibat. Nepal adalah sebahagian daripada dunia Barat walaupun parti-parti komunis pernah memerintah Nepal melalui pilihan raya.
Sedangkan China adalah bersendirian dalam dunia berbeza.
ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
