KOLUM | Ketika padang tak lagi rata, kita semua menjadi mangsa
KOLUM | Sebiji bola.
Dalam ingatan kita semasa zaman kanak-kanak, itulah satu-satunya modal yang diperlukan untuk bermain bola sepak bersama kawan-kawan.
Padang tak perlu disewa, tiang gol cukuplah dengan dua pasang selipar jepun, tak perlu pengadil bertauliah. Paling sadis, kawan berbadan besar mesti dipaksa jadi penjaga gol!
Kasut bola? Kebanyakannya bermain kaki ayam. Kawan yang datang memakai but selalunya dipulaukan awal-awal. Risau sakit kalau kaki kena pijak!
Itulah ‘magis’ bola sepak jalanan atau padang awam suatu ketika dahulu. Ia percuma, spontan dan organik tanpa sesiapa mengambil kira latar belakang sosioekonomi seseorang.
Bola sepak ketika itu adalah medan yang memadam jurang sosial. Tiada jurulatih, tiada wisel dan tiada latihan berjadual. Siapa ‘keras’, berani dan berkemahiran tinggi, dialah yang menguasai padang sehingga azan Maghrib berkumandang.
Namun, cuba lihat padang awam hari ini. Suasana dan dinamikanya telah banyak berubah, terutamanya di ibu kota.
Sebagai guru sekolah di Kuala Lumpur, aku melihat pola perubahan yang sangat jelas bagi kejohanan bola sepak peringkat majlis sukan sekolah-Sekolah daerah (MSSD).
Ibu bapa tak banyak berkira
Sepuluh atau 20 tahun lalu, padang bola awam didominasi anak-anak marhaen dari perumahan awam dan projek perumahan rakyat (PPR). Kemahiran individu mereka terasah semula jadi menerusi perlawanan spontan pada waktu senggang petang.
Sebaliknya, sekolah di kawasan elit kerap dicap sekolah ‘budak nerd’ dan seolah-olah ditakdirkan menjadi pasukan belasahan.
Namun, corak itu berubah sedikit demi sedikit. Hari ini, sekolah di kawasan elit dan sekolah antarabangsa mula mendominasi serta menewaskan sekolah harian awam yang dahulunya dianggap gergasi.
Di mana titik peralihannya?
Perubahan berakar daripada anjakan kesedaran ibu bapa milenial – generasi unik yang sempat membesar dalam ‘dunia lama’ tanpa gajet, tetapi menyaksikan ledakan teknologi secara mendadak.
Sebagai generasi perantara, mereka melihat bagaimana pendedahan peranti seawal usia menjejaskan generasi seterusnya: emosi rapuh, tumpuan singkat akibat video pendek, kurang membaca serta merosotnya kemahiran bersosial.

Enggan anak-anak terperuk di rumah, timbul dorongan kuat dalam kalangan ibu bapa untuk menstrukturkan masa lapang zuriat mereka secara berkesan.
Lalu, akademi sukan swasta tumbuh bagai cendawan. Ibu bapa yang berkemampuan tidak berkira untuk melabur wang dan tenaga demi latihan bersistem.
Di Lembah Klang, berlambak akademi antarabangsa seperti Villarreal, Kim Do Heon (KDH), dan Little League Soccer.
Anak-anak sekolah elit mendapat latihan berstruktur daripada jurulatih bertauliah seawal usia enam atau tujuh tahun.
Pendedahan awal dan literasi taktikal itu membina asas (fundamentals) serta kecerdasan permainan (game intelligence) yang kukuh untuk diterjemah secara efektif di atas padang.
Bagaimana pula dengan anak-anak marhaen di sekolah harian awam?
Dapat pembelajaran berstruktur
Laporan Unicef secara tekal menggariskan krisis nutrisi serius dalam kalangan kanak-kanak PPR.
Dari sudut sains kognitif, kekurangan gizi mikro seperti zat besi dan Omega-3 memberi kesan langsung kepada perkembangan otak – kawasan yang mengawal fungsi eksekutif (executive function) dan memori kerja (working memory).
Fungsi eksekutif ialah keupayaan minda memproses maklumat abstrak, merancang, membaca ruang dan mengawal tindakan terburu-buru.
Apabila memori kerja terjejas akibat faktor persekitaran termasuk nutrisi, kanak-kanak mudah mengalami bebanan kognitif melampau (cognitive overload) apabila didedahkan dengan syarahan taktik kompleks.
Di atas padang, anak-anak marhaen mempunyai kemahiran sensori-motor yang tinggi hasil permainan jalanan.
Malangnya, apabila permainan menuntut kefahaman taktikal abstrak seperti tekanan tinggi (pressing) atau koordinasi bertahan, mereka kerap bergelut untuk mencerap apa yang patut.
Sesi analisis video atau papan taktik (explicit learning) sukar dicerna bukan kerana mereka ‘tidak cerdik’, tetapi akibat jurang pendedahan literasi dan kognitif.

Sebaliknya, anak-anak berlatar belakang sosioekonomi kukuh mendapat pembelajaran motor berstruktur (structured motor learning).
Di rumah, literasi taktikal (tactical literacy) dipupuk menerusi pendedahan sosial (social exposure) – daripada menonton perlawanan berasaskan analisis sehinggalah permainan video simulasi seperti EA FC atau Football Manager.
Walaupun kemahiran individu biasa-biasa, kecerdasan permainan mereka tinggi. Apabila bola sepak moden semakin ‘saintifik’, pasukan berdisiplin taktikal akan sentiasa menewaskan pasukan yang hanya bersandar pada bakat semula jadi.
Trend pelaburan ibu bapa berada itu menarik untuk dihubungkan dengan pandangan pengendali tenis terkemuka, Patrick Mouratoglou, bahawa kebarangkalian seorang kanak-kanak menjadi atlet profesional hanyalah sekitar 0.03 peratus.
Namun, kajian Ernst & Young mendapati lebih 80 peratus CEO wanita syarikat Fortune 500 pernah bertanding dalam sukan kompetitif semasa kecil dan ia meningkatkan peluang memegang jawatan kepimpinan sehingga 70 peratus.
Ibu bapa berada melabur bukan untuk nilai 0.03 peratus tersebut, tetapi untuk 100 peratus pembentukan karakter, disiplin, jati diri dan daya tahan anak-anak.
Melatih cara berfikir dalam padang
Ini bukanlah generalisasi hukuman bahawa anak elit sentiasa bijak, manakala dan anak marhaen sentiasa gagal. Anak marhaen memiliki kecerdasan jalanan (street smarts), daya tahan, keberanian dan jati diri yang jarang ada pada anak elit.
Kunci perubahan sebenar terletak pada kaedah kejurulatihan. Pendekatan tradisional yang bergantung pada syarahan papan putih tidak lagi sesuai secara acuan tunggal (one-size-fits-all).
Jurulatih akar umbi sepatutnya beralih kepada latihan berasaskan permainan. Taktik disampaikan secara semula jadi melalui syarat perlawanan.
Contohnya, jurulatih bukan lagi membebel panjang tentang serangan balas pantas, sebaliknya dia cuma menetapkan syarat: “Sebaik sahaja berjaya rampas bola, pasukan ada masa 10 saat sahaja untuk selesaikan cubaan ke pintu gol.”
Menerusi latihan praktikal berulang sebegitu, pemain secara automatik dilatih berfikir dan bertindak pantas menerusi aksi fizikal.
Apabila bakat semula jadi anak-anak marhaen digabungkan dengan latihan praktikal serta pemakanan seimbang, mereka pasti mampu menjadi atlet jauh lebih dominan.
Hari ini, apabila sukan semakin bertukar menjadi perniagaan, akses kepada latihan bersistem, fasiliti berkualiti dan nutrisi bernilai tinggi bertukar menjadi keistimewaan golongan berkemampuan.
Lebih memburukkan keadaan, ekosistem sukan akar umbi kita sangat berorientasikan keputusan. Ketaasuban pada kemenangan jangka pendek mengubah pembangunan bakat menjadi tekanan emosi.
Matlamat asal sukan untuk membina sahsiah dan memberi kegembiraan akhirnya lebur. Anak-anak marhaen terpinggir kerana jurang kewangan dan kognitif, manakala anak-anak kayangan pula ada yang kehilangan keseronokan kerana bebanan jangkaan orang sekeliling.
Sudah tiba masanya kita menilai semula hala tuju sukan di peringkat akar umbi. Sukan tidak sepatutnya menjadi komoditi tayangan kelas sosial atau pameran piala semata-mata.
Kemenangan sebenar di padang sekolah ialah apabila sukan kembali berfungsi sebagai ejen kesetaraan sosial yang mampu membentuk modal insan berdaya tahan, bijak berfikir dan bergembira sewaktu membesar.
Sebab itulah legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, ada menyebut: “Football has to be fun for the kids, or it doesn't make sense.”
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/attachments/885/kolum_610803.jpeg)
