Dalam ucapan dasar di Muktamar PAS yang ke-72 di Kota Bharu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuka kisah pertemuan beberapa orang pemimpin PAS dengan pihak kedutaan Amerika.

Dengan serta-merta berita Amerika dan Hadi menjadi perbualan nasional. Suasana heboh, dihangatkan lagi apabila tak semena-mena ada laporan polis dibuat terhadap Hadi oleh beberapa benggolan dari PKR.

Hujan tidak ribut pun tidak kenapa benggolan dari PKR ini membuat laporan polis. Satu Malaysia geleng kepala kerana kerja ngok ini tidak masuk akal. Sepatutnya laporan polis dibuat terhadap Amerika kerana Amerika didakwa masuk campur mahu menggulingkan kerajaan Najib Razak yang jadi perdana menteri pada ketika itu.

Kita biarkan benggolan PKR ini terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan.

Saya amat yakin apa yang keluar dari mulut presiden PAS itu adalah fakta sejarah.

Saya berani berkata demikian bukan kerana saya ini ahli parti PAS. Atau saya sedang melobi untuk dapat kerusi selamat dalam PRU16. Tidak. Saya akui kebenaran surah Hadi itu kerana saya sendiri terlibat sama. Bukan terlibat bersama Hadi.

Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat in Kota Bharu Kelantan DAY 2 030926 Abdul Hadi Awang speech

Tetapi saya terlibat dalam mengolah persetujuan orang ramai untuk menggulingkan Najib dan Umno.

Fakta keterlibatan saya ini telah saya rakam dalam buku Merakam Sejarah terbitan SIRD cetakan pertama 2022.

Pada 17 Oktober 2018, tulisan saya bertajuk “Merakam sejarah konspirasi media barat” muncul dalam akhbar mingguan Suara Keadilan dan portal Malaysiakini.

Dalam artikel yang telah menjadi buku itu saya menulis: Anak semua bangsa akan bertanya apakah ada konspirasi dari luar untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation pada 9 Mei 2018 dahulu. Jawapan saya senang sahaja. Betul ada. Memang ada konspirasi luar. Amin.

Dalam tulisan ini saya merakamkan bagaimana saya dihubungi oleh wartawan dari The New York Times (NYT). Ini akhbar yang dikatakan amat berpengaruh di Amerika.

Wartawan wanita dari NYT ini sedang mengumpul bahan tentang 1MDB. Ketika kami bertemu, berita 1MDB belum heboh lagi.

Dalam artikel “Merakam Sejarah” yang sama saya telah menulis: Dalam kes konspirasi menjatuhkan Najib peranan media luar jelas sekali. Sesudah laporan NYT muncul pada 8 Februari 2015, dunia digemparkan dengan kenyataan Jabatan Keadilan Amerika (JKA). Pada 20 Julai 2016 Peguam Negara Amerika Loretta Lynch yang diapit oleh Timbalan Ketua FBI mengumumkan kepada dunia bahawa JKA menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

‘Small potato'

Hakikatnya cukup jelas, Amerika dilihat mahu Najib dikorbankan. Ini sama seperti apa yang dinyatakan oleh Hadi satelah dia bertemu dengan pak duta Amerika.

Tentang campur tangan Amerika dalam politik negara lain bukan satu yang baru. Malah keterlibatan Amerika dalam menjatuhkan pemimpin yang tidak secocok dengan kepentingan Amerika telah bertimbun-timbun buku ditulis. Ini bukan lagi rahsia. Justeru apa yang diucapkan oleh Hadi Awang dalam Muktamar PAS kali ke-72 hanya ‘small potato’, meminjam frasa Presiden Trump.

Tanya warga Iran kecil besar tua muda – mereka akan bersurah tentang peranan CIA Amerika bersama M16 - intel UK - menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Pada 19 Ogos 1953, Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddegh digulingkan dalam satu rampasan kuasa. Parlimen dibubar secara tidak sah dengan alasan bahawa "kehendak rakyat mengatasi undang-undang".

Rampasan kuasa ini mengukuhkan pemerintahan Mohammad Reza Pahlavi, Shah Iran. Rampasan kuasa yang dirancang oleh CIA Amerika bawah nama kod Projek TP-AJAX atau Operasi Ajax. Salah satu motif utama adalah untuk melindungi kepentingan minyak British di Iran selepas Mosaddegh memiliknegarakan industri minyak negara itu.

Justeru hingga ke hari ini warga Iran masih memusuhi Amerika kerana peranan Amerika membantu dan menobatkan Ahmad Reza Pahlavi sebagai raja yang amat zalim.

Kezaliman dan keganasan Shah ini diketahui umum. Bukan hanya di Iran malah seluruh dunia mengetahui peranan Savak - Polis Rahsia Shah. Campur tangan Amerika dalam badan politik Iran hanya ditamatkan oleh Revolusi Iran 1979 bawah pimpinan Ayatollah Khomenei.

Warga Latin Amerika juga tidak akan melupakan bagaimana hampir semua kepala negara, presiden atau perdana menteri di Amerika Latin dinaikkan oleh Amerika. Mana sahaja pemimpin negara yang tidak menyebelahi kepentingan Amerika akan dijatuhkan melalui rampasan kuasa.

Paling akhir berlaku kepada Presiden Nicolás Maduro dari Venezuela. Maduro dan isteri dibawa dari Caracas ke New York.

Warga Latin Amerika juga tidak akan melupakan Presiden Salvador Allende. Pada 11 September 1973, angkatan tentera Chile melancarkan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan sosialis Presiden Salvador Allende.

Dahulukan rakyat, bukan kapitalis

Allende menang melalui pilihan raya yang dijalankan secara demokratik. Kesalahan Allende sama seperti kesalahan Mosaddegh. Dua pemimpin negara ini menjalankan dasar ekonomi yang mendahului kepentingan rakyat bukan kaum kapitalis.

Amerika melalui CIA menobat satu junta tentera yang dianggotai oleh tiga orang jeneral dan seorang laksamana dengan Jeneral Augusto Pinochet sebagai ketuanya. Jangan sesekali kita melupakan bagaimana Bung Karno dijatuhkan pada 30 September 1965 oleh rampasan kuasa Jeneral Suharto.

Dari bulan Oktober 1965 hingga Mac 1966, satu siri pembunuhan besar-besaran dan rusuhan telah berlaku. Semua didakwa disusun dan diatur oleh CIA dengan kerjasama para soldadu Indonesia. Sasaran utama ialah kaum buruh dan kaum tani penyokong Bung Karno dari Parti Komunis Indonesia. Mereka di bantai dan dikorbankan.

Rampasan kuasa di Jakarta ini bersangkut paut dengan kita di Tanah Melayu.

Bung Karno dan para nasionalis Tanah Melayu dari Parti Rakyat, Parti Islam PAS dan Parti Buruh menentang projek Malaysia. Kaum nasionalis Nusantara menganggap ini adalah projek neo-koloni untuk meneruskan penjajahan Inggeris di Borneo.

Jeneral Suharto bersama konco-konco membunuh sehingga sejuta orang warga Indonesia. Ini adalah jenayah genosid pertama di bumi Nusantara. Justeru apa yang disurahkan oleh Hadi itu bukan satu perkara yang baru. Hadi Awang mungkin dijemput minum teh dengan biskut Merry sambil bersembang politik.

Pak duta Amerika bertanya kepada Hadi siapakah yang akan disokong oleh parti PAS untuk menjadi calon perdana menteri Malaysia? Secara bijak dan menganjing Hadi Awang mungkin bertanya kembali siapa pilihan pak duta ?

Yakinlah ketika Hadi mengunyah biskut Merry, calon pilihan Amerika mungkin Anwar bin Ibrahim yang ketika itu masih dalam penjara.

Lalu persoalan timbul. Ramai akan bertanya dan sangsi akan surah Hadi ini. Babak biskut Merry ini berlaku di zaman Barack Obama menjadi Presiden Amerika. Barack Hussein Obama dikatakan kawan baik Najib.

Ketika saya membantu wartawan NYT mencari bahan 1MDB, saya juga bertanya pada diri sendiri: Mengapa Amerika nak jatuhkan? Apa kesilapan Najib? Najib bukan nasionalis macam Bung Karno atau sosialis macam Allende.

Kalau Amerika mahu menjatuhkan Mahathir Mohamad semua akan faham. Si Mahathir ini bukan nasionalis kiri macam Bung Karno. Mahathir dalam istilah kiri ialah nasionalis borjuis.

Di bawah payung China

Mahathir sebagai pemimpin dari Selatan berani mengkritik Amerika dan paling jelas Mahathir mengkritik Zionis-Israel. Dalam politik Amerika, mengkritik Zionis-Israel ialah no no. Fikir punya fikir - cari punya cari, baca punya baca – baru saya terjumpa sebab musabab kenapa Amerika mahu menjatuhkan Najib.

Ini semua kembali kepada 1MDB. Hutang 1MDB Najib berjela-jela. Dengan hutang ini Najib masuk ke bawah payung China. China ialah musuh Amerika.


Tapi bukankah Najib kamcing dengan Barack Hussein Obama? Betul Najib pernah dilapor bermain golf di Hawaii dengan Obama.

Ketahuilah: Yang nak menjatuhkan Najib ialah Jabatan Pertahanan Amerika dan Jabatan Kehakiman Amerika.

Obama kawan Najib hanya presiden pentadbiran. Lepas jadi presiden, Obama akan lesap pengaruhnya. Tetapi China masih menjadi musuh jangka panjang. Ini garis Jabatan Pertahanan dan dan Jabatan Pertahanan Amerika.

Jelas apa yang berlaku ketika Hadi minum teh dan makan biskut Merry dengan pak duta, telah ada dua garis persimpangan dalam pentadbiran Amerika.

Ketika semua ini berlaku calon perdana menteri pilihan Amerika masih dalam penjara.


***HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.