KOLUM | Bersama meniti cabaran
KOLUM | Bersama lahir di atas robohan sistem politik autoritarian, sebelum tatanan politik baru yang mampan dibangunkan. ‘Serpihan PKR’ yang terhasil ekoran pergolakan dalaman parti itu sudah menjadi wadah alternatif bukan saja untuk pada “mantan” PKR, malah sesiapa saja yang berkongsi idealisme dengan Rafizi Ramli.
Setelah tewas dan hilang deposit dalam semua 15 kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor, Bersama kini mempertaruhkan nasibnya untuk bertanding di 16 kerusi di Melaka pula.
Peningkatan prestasi menjadi satu kemestian untuk Bersama bagi membuktikan potensinya agar ia mampu terus bergerak untuk menjana momentum yang lebih besar.
Pertama, Bersama perlu merangkul undi Melayu pada kadar yang disasarkan, kononnya kerana golongan terbabit tidak mengundi PKR gara-gara keberadaan DAP dalam PH.
Pada masa yang sama pengundi Cina yang kecewa kepada dengan PH dan enggan diambil kesempatan oleh PAS-PN dan Umno-BN hanya akan beralih kepada Bersama sekiranya parti itu mampu memenangi jumlah undi Melayu yang memadai untuk menyaingi PAS dan Umno.
Kedua, andainya senario di atas berlaku sebagaimana yang diinginkan, maka ia menjadi modal Bersama untuk meyakinkan mereka yang masih teragak-agak untuk berhijrah dari PKR, setidak-tidaknya selepas pembubaran parlimen.
Sudah tentu lebih ramai akan lebih meriah kerana setinggi dan semurni mana pun cita-cita sesebuah parti, politik tidak akan boleh terpisah daripada nombor dan kerusi.
Justeru, ada yang mengetengahkan cabaran buat Bersama untuk mempertahankan sekurang-kurangnya kerusi yang disandang pemimpin mereka dalam PRU ke-16.
Tanpa kerusi, PSM disindir sebagai NGO yang bertarung di gelanggang politik. Dengan satu kerusi, Muda tidak lebih menyerlah daripada pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Malah Muda menjadi malap apabila sosok Syed Saddiq dibelenggu kes mahkamah suatu ketika dahulu.
Berprinsip kerana 'tiada kuasa'
Warisan – yang presidennya, Mohd Shafie Apdal, pernah cuba diangkat sebagai calon perdana menteri – kini hanya bertahan di DUN Sabah dengan satu per tiga daripada jumlah kerusinya setelah senario politik berubah.
Andainya Bersama bercita-cita untuk melangkah lebih jauh berbanding parti-parti politik tersebut, maka PRN Melaka, PRU ke-16, dan PRN Selangor (andainya DUN Selangor tidak dibubarkan bersama parlimen) menjadi medan pertarungan yang penting untuk kelangsungan mereka.
Sebagaimana yang semua sedia maklum, kekuatan PH semakin terhakis lantaran asakan dari kedua-dua kutub dalam spektrum politik identiti. Melayu-Muslim yang ditakut-takutkan dengan kehilangan kuasa kini kelihatan cenderung memusatkan undi kepada PN dan BN demi Melayu-Islam kembali mendominasi.
Sementara itu, golongan bukan Melayu dan non-Muslim yang menganggap diri mereka terpinggir sekian lama lantaran dasar dan sistem yang tidak adil, mula mempertikaikan PH kerana kepentingan mereka tetap dirasakan tidak terbela sebagaimana yang dijanjikan, atau diharapkan.
Barangkali Bersama nampak ada kesempatan untuk menawarkan diri sebagai alternatif kepada golongan yang menolak PH di situ. Namun, perlu diingatkan bahawa Bersama sebenarnya berada di posisi yang sama seperti PH, iaitu tersepit di tengah-tengah jurang polarisasi politik identiti tanah air.
Untuk lebih mudah digambarkan, andainya Bersama menyasarkan Selangor sebagai negeri yang cuba ditawan untuk dijadikan pangkalan politiknya, soalan paling spontan daripada pengundi Cina di peringkat akar umbi ialah: “Apakah penternakan babi dibenarkan jika Bersama mengambil alih kerajaan negeri?”
Andai jawapannya ialah “ya”, maka Bersama dijangka gagal meraih sokongan pengundi Melayu yang mencukupi untuk menang. Itu juga belum mengambil kira reaksi istana.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/f38a21dd275e874435bbf172b6e968a0.jpg)
Kita masih ingat bagaimana logo “kancil” terus ditukar menjadi “babi” dalam PRN Johor sebaik sahaja isu babi diungkit seorang daripada calon Bersama. Ia bukan saja diungkit, malah diolah dengan fakta yang meleset.
Andai jawapannya “tidak”, pengundi Cina tetap akan bertanya juga. Soalan mereka ialah: “Apa beza Bersama berbanding PH?”
Di sinilah letaknya dilema Bersama. Apabila pimpinan Bersama menggilap imej idealisme untuk menonjolkan diri sebagai lebih berprinsip berbanding “bekas rakan seperjuangannya yang masih berada dalam kerajaan”, ia akan dibalas juga.
Hujahnya ialah sesebuah parti politik atau seseorang pemimpin mampu berprinsip kerana “tidak berkuasa”.
Maksudnya, anda tidak berada di kedudukan untuk berdepan dengan rintangan daulah terpendam (deep state), serta pihak-pihak berkepentingan yang mengasak dari kiri dan kanan untuk menginginkan sesuatu daripada anda.
Luntur selepas mendekam dalam penjara
Apatah lagi Malaysia kini memasuki fasa politik yang tidak memungkinkan sebuah kerajaan mampu dibentuk oleh satu parti gabungan tunggal.
Dengan kata yang mudah: Semua parti “tak cukup jumlah!”
Suka atau tidak, tolak ansur menjadi satu kemestian untuk melanjutkan kelangsungan dan mengekalkan kestabilan. Tanpa kesediaan dan kebolehan untuk berunding dengan parti atau fraksi yang berbeza fahaman ideologi dan kepentingan, seseorang politikus atau sesebuah parti hanya mampu kekal berprinsip jika kekal sebagai pembangkang.
Hakikatnya, retorik seperti “menggadaikan prinsip demi berkuasa”, “Anwar/PKR/PH kini menjadi politikus/parti/kerajaan yang pernah ditentang dirinya dahulu”, dan sebagainya – sungguhpun berasas – tidak lagi memadai untuk melonjakkan perjuangan Reformasi tanah air.
Polemik “sejauh manakah Reformasi disuntik ke dalam sistem politik” – dalam konteks Malaysia yang telah melalui detik pertukaran kerajaan Persekutuan – kini memasuki fasa tiada kuasa politik tunggal yang mendominasi.
Malah negara ini berada dalam situasi kebangkitan kumpulan sayap kanan ektrem yang mengancam realiti kepelbagaian dan kebebasan.
/file/attachments/orphans/AnwarIbrahim1_917202.png)
Sesiapa saja boleh bersetuju dengan Rafizi dan sekutunya yang mendakwa tiada ruang lagi dalam PKR mahupun PH untuk membawa perubahan.
Ia adalah umpama apa yang menimpa Anwar Ibrahim pada 1998 apabila dikatakan dia tiada ruang lagi untuk melakukan “reformasi” dari dalam Umno di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Sejujurnya, perubahan berlaku apabila generasi muda bangkit menentang generasi sebelumnya. Dalam kalangan sesetengah aktivis ketika itu, Anwar – sungguhpun dibenci kerana menjadi sebahagian daripada Umno – hanya dimaafkan apabila dia bangkit menentang Mahathir.
Untuk mereka yang lebih skeptikal terhadap Anwar, kebencian itu hanya dilunturkan apabila dia meringkuk di sebalik jeriji besi bertahun-tahun demi melawan Umno.
Teruji dengan kuasa
Saya bukan bermaksud menganggap Rafizi perlu mengharungi sendiri apa yang dilalui Anwar untuk mengolah kepercayaan orang ramai, atau membuktikan komitmennya terhadap Reformasi.
Cuma Rafizi terpaksa memiliki kesabaran yang lebih jika dia menyimpan cita-cita untuk membawa perubahan dengan kuasa yang ada dalam genggamannya satu hari nanti.
Hal itu kerana satu generasi menyaksikan bagaimana Anwar – yang pernah diuji dengan pelbagai dugaan – berakhir dengan Anwar yang kita nampak pada hari ini.
Sama ada Anwar tidak teruji dengan kuasa mahupun realiti terlalu keras untuk ditembusi, itu sajalah yang mampu Anwar lakukan setelah perjuangan berdekad-dekadnya berlangsung dari jalan raya ke penjara, dan kemudian ke Putrajaya.
Kesudahan itu menebalkan kesinisan dalam kalangan ramai.
Mungkin tidak adil untuk Rafizi, tetapi reaksi spontannya ialah: “Jika Anwar pun hanya itu saja yang kita dapat, bagaimana Rafizi nak yakinkan kita yang dia mampu berbuat lebih daripada Anwar?”
Demikianlah cabaran Bersama, dan barangkali juga cabaran bersama kita yang memperjuangkan Reformasi; dari liku ke liku, dari satu fasa ke satu fasa yang lain.
LIM HONG SIANG ialah penulis yang sedar sangka baiknya mungkin diambil kesempatan oleh mereka yang berkepentingan, namun dia tetap cuba tidak bersangka buruk kerana enggan menafikan usaha mereka yang ikhlas berjuang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/888/BlueDeerAmongChessPieces_222413.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.