KOLUM | Ini ialah sebuah belasungkawa yang terlewat buat seorang seniman jalanan.

Pernah dia mengalunkan lagu tentang suatu peristiwa yang kini semakin dilupakan, iaitu tragedi Memali. Melalui lagu itu, dia mengingatkan kita tentang kematian beramai-ramai yang meninggalkan luka dalam sejarah negara.

Seniman jalanan itu ialah Meor Yusof Aziddin Meor Hassan.

Tragedi Memali berlaku pada 19 Nov 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah. Seramai 18 orang terkorban, terdiri daripada 14 penduduk kampung yang merupakan pengikut Ibrahim Libya, manakala empat yang lain merupakan anggota polis.

Ramai lagi cedera, dan sebahagian penduduk kampung ditahan susulan kejadian itu.

Tragedi tersebut menjadi kemuncak ketegangan politik di antara PAS dan Umno yang telah berlarutan selama bertahun-tahun. Untuk sekian lama, peristiwa itu dijadikan modal politik bagi menuding jari dan meraih sokongan.

Nyawa orang miskin seakan-akan murah dalam perkiraan politik yang mahal tapi dangkal.

Masa berlalu, tragedi itu semakin tenggelam dalam ingatan masyarakat. Entah kerana kita sudah sedia untuk memaafkan, atau kita merasakan tiada lagi keperluan untuk mengenangnya.

Pada 2009, sebuah dokumentari bertajuk Al-Fatehah Memali arahan Rahmat Haron diterbitkan. Puisi Sasterawan Negara A Samad Said berjudul Luka Memali menjadi mukadimah dokumentari itu:

“Ku pulangkan sejarah
kepada masa kini
kujernihkan dosa
menyegar benih budi
Memali yang luka
kembali bermaruah.”

Menurut pengarahnya, dokumentari terbitan Pusat Komas itu dihasilkan dengan belanja RM3,000 dan disiapkan untuk tayangan Freedom Film Festival.

Meor semasa menyanyi di KL Sentral.

Dokumentari itu mengisahkan perjalanan Meor bersama rakannya, Black, yang kedua-duanya merupakan pemuzik jalanan yang berusaha memahami tragedi tersebut. Mereka pergi ke tempat kejadian dan menemui beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan peristiwa itu, termasuk mangsa dan saksi.

Meor ialah seorang pemuzik jalanan yang membuat persembahan di Pasar Seni dan – pada penghujung hayatnya – di KL Sentral.

Selain menyanyi, dia turut menjual cakera padat (CD) dan buku hasil tulisan sendiri.

Saya sering singgah di tempat dia membuat persembahan apabila kebetulan berada di KL Sentral. Biasanya, kami berbual sambil minum teh di sebuah kedai mamak di Brickfields, tidak jauh dari situ.

Topik perbualan kami pula berkisar tentang seni, muzik dan politik.

Bukan kerana faktor parti politik semata-mata

Meor bukan sekadar pemuzik, penyanyi dan penggubah lagu. Dia juga seorang penulis yang prolifik. Tidak ramai pemuzik dan penyanyi yang tekun menulis sehingga berjaya menghasilkan beberapa buah buku.

Dia turut menerbitkan album yang mengandungi lagu-lagu ciptaan dan gubahannya sendiri. Antaranya Dari Rakyat Untuk Rakyat yang memuatkan lagu Syuhada Memali dengan lirik ditulis oleh Black. Lagu itu mengisahkan tragedi Memali.

Kebanyakan lagu dalam album tersebut menyentuh soal kemanusiaan, alam sekitar dan kehidupan kelompok terpinggir. Ada juga lagu mengenai pemimpin Rejimen 10, Shamsiah Fakeh, manakala puisi penyair Pyanhabib berjudul Bapaku Seorang YB turut dijadikan lagu.

Selain itu, terdapat lagu yang menyentuh soal kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lagu-lagu seperti itu bukan dihasilkan untuk mengejar pasaran, disiarkan di corong radio atau meraih royalti tahunan yang lumayan. Penerbitan album tersebut lebih merupakan sumbangan Meor dan rakan-rakannya untuk membina sebuah negara yang demokratik.

Hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam jangka pendek. Namun, perjuangan melalui seni turut menyumbang kepada perubahan kesedaran masyarakat, yang akhirnya menjadi sebahagian daripada landskap politik negara.

Ceramah PH yang diadakan di kawasan Titiwangsa menjelang PRU 2018.

Kemenangan PH dan kejatuhan kerajaan BN pada PRU ke-14 pada 2018, misalnya, tidak wajar dilihat semata-mata sebagai hasil persaingan parti politik. Di sebalik perubahan itu, ada juga sumbangan aktivis dan penggiat seni seperti Meor yang tekal menyuarakan keresahan masyarakat melalui karya mereka.

Pun begitu, seperti selalu sumbangan semacam itu jarang diberikan perhatian.

Meor sering menerima undangan daripada kami walaupun bayarannya sangat minimum. Bagi Meor, ia bukan semata-mata soal bayaran, tetapi sumbangan orang seni kepada perjuangan dalam sebuah negara demokrasi.

Sesekali terlintas juga keluhan: sampai bila orang seni harus terus berkorban, malah terkorban, demi perjuangan?

Pulang selepas dirasakan cukup

Dalam dunia sebenar, falsafah dan prinsip perjuangan orang seni sering terpinggir. Mempertahankan prinsip itu ibarat menjadi lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.

Berdasarkan pengalamannya bekerja di Yamaha Music dan kemudian menyanyi di jalanan, tulisan Meor banyak berkisar tentang muzik dan masyarakat.

Setiap hari, dia berdiri di laluan orang ramai dengan tali gitar tersangkut di bahu. Ketika orang lalu-lalang sibuk mengejar kehidupan masing-masing, dia terus bernyanyi.

Sama ada orang ramai berhenti untuk mendengar atau tidak, Meor tetap menyanyi. Sama ada mereka memberikan sedikit sumbangan wang atau sekadar menadah telinga menikmati persembahannya, dia tetap menyanyi.

Dalam laman bukunya, Meor menjelaskan bahawa perjalanannya sebagai penyanyi jalanan melalui tiga fasa kehidupan.

Fasa pertama ialah tempoh menikmati keseronokan bermain dan menyanyikan lagu-lagu kegemaran. Itulah fasa ketika dia masih muda, ketika muzik lebih memenuhi cita rasa dan kepuasan dirinya sendiri.

Fasa kedua pula ialah tempoh untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pendapatan diri dan keluarga bergantung pada persembahannya di jalanan.

Biasanya, apabila kutipan wang dirasakan sudah mencukupi, Meor akan beredar untuk pulang kepada keluarganya.

Dalam fasa itu, seorang penyanyi jalanan perlu meraikan cita rasa orang ramai yang pelbagai. Muzik bukan lagi sekadar soal kepuasan diri, tetapi juga sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Keadaan yang dilalui penyanyi jalanan pada zaman itu mungkin sukar dibayangkan oleh generasi hari ini.

Pada era 1980-an hingga awal alaf baharu, penyanyi jalanan sering dipandang serong, disamakan dengan pengemis atau penagih dadah, malah berdepan tindakan pihak berkuasa yang menghalang persembahan mereka.

Hidup di lorong takdir

Namun, berkat kecekalan dan kesungguhan penggiat muzik jalanan – termasuk mereka yang muncul dalam era Kembara Seniman Jalanan, keadaan beransur-ansur berubah. Kini, penyanyi jalanan mempunyai ruang dan kemudahan tertentu untuk membuat persembahan sambil mencari rezeki.

Mereka juga menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan seperti di kawasan Bukit Bintang. Malah, penyanyi terkenal dan pemimpin politik turut turun menemui mereka, kadangkala untuk mendapatkan perhatian umum.

Seolah-olah di mana ada gula, di situ ada politikus.

Fasa ketiga, menurut Meor, ialah tempoh bersantai dan menerima perjalanan hidup sebagai lorong takdir setelah melalui pelbagai pengalaman dan mencapai kematangan.

Inilah fasa untuk menjadi diri sendiri, kemuncak nikmat menjadi manusia merdeka. Hidup tanpa perlu terlalu terikat dengan dunia yang sarat dengan kepura-puraan.

Namun, Meor tidak mengetahui bilakah titik terakhir perjalanan hidupnya sebagai penyanyi jalanan. Persoalan itu pernah bermain dalam fikirannya setahun sebelum dia meninggal dunia.

Titik terakhir itu, rupa-rupanya, tiba pada 24 Dis 2021, apabila Meor meninggal dunia selepas bertarung dengan Covid-19. Berita pemergiannya diumumkan pada 25 Disember.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.