KOLUM | Moh biru dan harukan Melaka pula
KOLUM | PRN Melaka yang diadakan pada Nov 2021 menyaksikan Najib Razak – ketika itu belum dipenjarakan – sempat turun berkempen.
Hari ini Najib hari ini sudah didapati bersalah, dipenjarakan, diberikan diskaun tempoh pemenjaraan serta kelonggaran sebagai tahanan di rumah tertaklum denda RM50 juta yang dilunaskan.
Dan berbondong-bondonglah – meminjam kata Ummi Umairah Bakhit – gerombolan penderma turun memberi.
Najib tidak akan berada di Melaka kali ini. Namun demikian penyokong Najib di Melaka masih ramai, dan mereka sedang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua mnteri sementara Melaka, Ab Rauf Yusoh, baru-baru ini misalnya meminta orang ramai menderma untuk membolehkan Najib menghabiskan tempoh penjaranya di rumah sebagai tanda sayang.
Mungkin dia adalah ‘orang Najib’ dalam Umno.
Untuk PH, PRN Melaka ini akan lebih getir berbading 2021. PH akan berdepan laluan sukar. Lagipun Melaka memang kubu BN pun.
Mengapa pula laluan PH sulit? Ya, meskipun PN boleh dianggap berkubur, PAS yang pernah mengkhianati Bersatu akan berpeluang sekali lagi untuk melakukan hal yang sama; kali ini dengan Umno di Melaka pula.
Ada peluang untuk memilih
Persenggamaan PAS – Umno buat kali seterusnya itu pasti melahirkan. Isunya bukan sangat PAS yang kerap bertukar pasangan di ranjang politik. Isunya kali ini ialah nafsu meruap-ruap PAS untuk mengalahkan PH dan panglima Melaka yang sebelum ini kurang dikenali di peringkat nasional, iaitu bekas ketua menteri PH pada 2018, Adly Zahari.
PAS Melaka memang jaki dengan Adly. PAS memang ada sejarah jaki dengan orang cerdik.
Adly berbanding Najib – atau Ab Rauf selaku orang Najib – mempunyai imej yang jernih dan cekap sepanjang perkhidmatannya. Pun begitu rakyat Melaka tidak sempat merasai penuh pentadbiran di bawah Adly memandangkan terjadinya Langkah Sheraton.
Langkah Sheraton adalah pengkhianatan Bersatu yang tergoda antara lain dengan PAS untuk membentuk PN.
Memang kalau Gen Z membaca rencana ini mereka akan sedikit keliru oleh sebab ketamilan jalan ceritanya. Tetapi Tamil pun Tamillah. Selepas Pesta Cahaya nanti kita akan tahu cahaya atau kegelapan yang menang.
Akibat pengkhianatan yang dikenali sebagai Langkah Sheraton tersebut, Adly si Ketua Menteri Melaka yang cekap, cekat dan bersih pada 2018 itu terpaksa digantikan dengan Ketua Menteri PN iaitu Sulaiman Md Ali yang sering dikaitkan duduk di bawah bayangan speaker ketika itu, Ab Rauf.
Ketika itu Sulaiman dan Ab Rauf memang pemimpin tidak dikenali. Entah siapa-siapalah mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/114ddc0201b154dbe89d0885ca41c1d4.jpg)
Kini lima enam tahun berlalu, Adly berada di Putrajaya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Orang Najib di Melaka akan sekali lagi berdepan dengan imej Adly sebagai pemimpin Melaka yang berjaya, meskipun singkat.
Rakyat Melaka akan sekali lagi berpeluang berada di posisi untuk memilih Najib. Bak kata Ab Rauf, jika sayangkan Najib, buatlah apa yang patut untuk Najib.
Memang ramai juga yang tergamak memberi untuk tabung sayang Najib itu meskipun siswa Universiti Malaya, Ummi Umairah Bakhit, baru-baru ini ada menyelar di hadapan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan seorang DJ bahawa hanya orang paling bangang saja menderma untuk tabung tersebut.
Tetapi tak apalah, bangang pun banganglah. Orang sayang takkan pernah berasa bangang.
Adly mempunyai rekod yang memberangsangkan.
Kreativiti dia menyelesaikan masalah air dan kekerapan banjir di Melaka sedikit sebanyak turut dirasai meskipun semua usaha itu terbantut oleh Langkah Sheraton.
Salah satu kreativiti Adly ialah usaha jangka pendeknya menaik taraf longkang di kawasan yang sering berlaku banjir kilat dan penyelenggaraan pam air.
Manfaat dirancang jadi sia-sia
Sebagai antara pengundi di Melaka, kawasan kejiranan saya misalnya didatangi oleh kontraktor yang membetul, mendalam dan meluruskan longkang. Meskipun berlaku banjir pada 20 Okt 2021, sedikit sebanyak ia tidak seburuk tahun-tahun sebelumnya.
Apabila kerajaan bertukar, lembu sudah kalah, sapi pun menunggang nama.
Di Kampung Chetti, misalnya Adly memasang pam air bagi mengatasi masalah banjir kilat. Untuk pelan jangka panjang pula, kerajaan Melaka di bawah Adly meneruskan pelan tebatan banjir berjumlah RM280 juta yang diluluskan kerajaan Pusat.
Selain itu Adly – seorang jurutera ingin menawarkan pembangunan Melaka Smart River yang boleh berperanan sebagai teknologi pemantau bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri itu.
Sayangnya semua itu tidak berlaku kerana kerajaan Melaka dijatuhkan oleh Sulaiman dan Ab Rauf.
Sudah lima enam tahun berlalu, rakyat Melaka rata-rata sudah lupa akan pencurian mandat tersebut. Boomers memang lekas lupa. Lagi-lagi boomers Melayu, mereka memang mudah lupa.
Dan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, Melayu Melaka memang mudah terperosok atau tergelumang dalam hal-hal korupsi serta perdaya-memperdaya begitu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/d095c054a0fe75fc8107da68092affd4.jpg)
Dalam masalah kekurangan bekalan air di Melaka, Adly secara kreatif mengusahakan sumber dari kolam takungan air termasuk lombong terbiar, termasuk memanfaatkan perjanjian air dengan negeri jiran menerusi bekalan air mentah sebanyak 270 juta liter air sehari dari Sungai Gersik, Johor; serta membeli bekalan air bersih dari Negeri Sembilan.
Ketika pemerintahan Adly juga Melaka sempat memuktamadkan tender bagi projek Tasik Air Biru di Chinchin, Jasin bernilai RM35 juta iaitu sebagai pelan jangka sederhana menangani isu bekalan air.
Menerusi projek Tasik Air Biru itu , Melaka dijangka beroleh sebanyak 200 juta liter air yang dipam ke Empangan Durian Tunggal. Semua itu dilakukan dalam waktu pemerintahan yang sekejap.
Seperti saya sebutkan tadi, manfaat untuk Melaka itu menjadi sia-sia ekoran tindak-tanduk sesetengah pemimpin BN dengan kerjasama PAS yang sengaja mengganggu mandat rakyat pada 2018 itu.
Negeri di jalan meragukan
Kerajaan pimpinan Adly dijatuhkan untuk menaikkan Sulaiman dan – kemudian – Ab Rauf (saya ulangi: tidak dikenali di peringkat nasional ketika itu).
Tema BN untuk mengharu-birukan sesebuah negeri yang sudah stabil dan makmur bukanlah baru dan tidak hanya terjadi di Negeri Sembilan seperti baru-baru ini.
Selepas mencuri mandat rakyat pada 2018 dengan Langkah Sheraton, dan selepas pandemik Covid 19 mereda ekoran kejayaan vaksinisasi sejagat, mereka yang menjatuhkan Adly bercakaran sesama sendiri pula ekoran skandal pasir.
Lanjutan daripada itu, sudah ada yang didakwa di mahkamah pun.
Apakah yang dapat difahami oleh Gen Z dari kronologi drama politik di atas?
Artikel ini memang untuk Gen Z, walaupun saya tahu Gen Z bukan kaki baca.
Haru-biru. Itu kata kunci yang mesti dipegang oleh pengundi muda hari ini, pada tahun ini. Kata kuncinya ialah biru itu haru. Negeri menjadi baik apabila ada pemimpin kreatif dan inovatif diberi peluang.
Negeri berada di jalan meragukan apabila pemimpinnya sayangkan pesalah rasuah dan pelaku korupsi, dan mengheret sama rakyat senegeri itu sayang dan kasih akan pesalah itu.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/888/adlypop_398830.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.