KOLUM | Selepas lebih dua bulan dipaksa melayangkan pandangan ke arah jerebu yang suram dari balkoni tingkat 30 kediaman aku di ibu kota, hari ini barulah rona langit biru kembali menjengah.

Apabila indeks pencemaran udara (IPU) melonjak ke paras bahaya dan langit bertukar kelabu bertoksik, naratif sukan yang keluar di media biasanya klise.

Cerita yang sama sahaja berulang: kejohanan ditangguhkan, tiada aktiviti luar dibenarkan di sekolah, penjaja air balang merana, jurulatih akar umbi hilang punca rezeki dan banyak lagilah.

Kita pun bersimpati. Tapi di sebalik itu, masyarakat kita ini sebenarnya sedar atau tidak wujud satu realiti yang jauh lebih jelik dan meloyakan?

Industri sukan sebenarnya sedang mendedahkan wajah paling hipokrit di bawah cengkaman korporat menerusi satu taktik yang dipanggil pencucian hijau. Orang putih sebut greenwashing.

Taktiknya cukup licik: tangan kanan mencurahkan tajaan jutaan ringgit kononnya nak promosi gaya hidup sihat, tapi tangan kiri secara rakus terus membakar hutan, meracuni paru-paru makhluk bernyawa dan menjarah alam tanpa sekelumit rasa bersalah.

Jika kita buka lensa ke pentas antarabangsa, skrip cuci dosa dengan menunggang sukan ini adalah kelaziman gergasi korporat.

Lihat sahaja bagaimana konglomerat bahan api fosil dan petrokimia global mendominasi tajaan kejohanan bola sepak dunia, sukan berbasikal serta permotoran elit seperti MotoGP dan Formula 1.

​Di sebalik logo gergasi yang terpampang megah di jersi dan jentera perlumbaan – kononnya membawa imej dinamik dan berdaya saing – realiti perniagaan mereka jauh berbeza.

Apabila diasak oleh aktivis alam sekitar, laju sahaja unit perhubungan awam (PR) mereka mengeluarkan kenyataan balas menafikan kerosakan. Mereka mendakwa sedang melabur bilion dolar dalam ‘tenaga hijau’ dan teknologi karbon sifar.

Terpaksa menapis udara beracun

​Namun, hakikat yang disembunyikan di sebalik kenyataan ‘seimbang’ itu adalah perniagaan teras mereka kekal sebagai penyumbang terbesar pelepasan karbon dunia yang memanaskan suhu bumi secara ekstrem setiap tahun.

Sukan hanya dijadikan papan iklan untuk mengaburi mata masyarakat.

​Di rantau Nusantara pula, hegemoni ini dikuasai oleh industri perladangan dan gergasi konglomerat. Itulah punca utama bencana jerebu rentas sempadan yang sudah berpuluh-puluh tahun melanda, tapi entah kenapa tidak pernah ada titik noktahnya.

​Ada syarikat gergasi yang tampil bak wira menaja kelab bola sepak elit dan kejohanan bertaraf antarabangsa. Sejarah jerebu sering kali membongkar kewujudan titik-titik panas berskala besar di dalam kawasan konsesi mereka.

​Sudah tentu, dari sudut undang-undang dan meja korporat, mereka laju mencuci tangan. Kenyataan media akan segera diedarkan untuk menafikan penglibatan mereka secara langsung.

Mereka mendakwa sudah mematuhi dasar sifar pembakaran (zero-burning), menyalahkan fenomena cuaca ekstrem El-Nino atau menuding jari kepada pekebun kecil dan penceroboh haram yang memulakan api di luar kawalan.

Realitinya, penafian demi penafian dibaca setiap tahun, namun hidung dan paru-paru rakyat marhaen tetap terpaksa menapis asap beracun yang sama saban musim.

​Inilah bukti nyata sistem kapitalisme rakus yang kita sembah: keuntungan dikaut pemodal, kerugian ditanggung bersama.

Gambar hiasan.

Kekayaan berbilion daripada penjarahan bumi dan pemerasan sumber alam masuk sepenuhnya ke dalam kantung pemegang saham.

Tapi ketika langit bertukar kelabu, bumi makin panas dan paru-paru rakyat rosak, kos rawatan hospital dan kerugian ekonomi peniaga kecil ditanggung bulat-bulat oleh rakyat dan kerajaan.

​Tajaan jutaan ringgit kepada acara sukan itu cuma ‘gula-gula’ murah untuk membeli kesetiaan peminat dan menutup kebejatan operasi mereka.

​Ternyata pencemaran alam dan krisis cuaca akibat kerakusan korporat itu akhirnya melebarkan perbezaan antara darjat.

Apabila keadaan udara dan cuaca memburuk, pasukan elit berduit boleh menyewa fasiliti tertutup berhawa dingin atau menerbangkan pemain pergi ke kem latihan di luar negara.

​Bahkan si stadium pada hari perlawanan, di dalam bilik VIP berhawa dingin, tauke-tauke korporat itu dilayan bak raja, duduk selesa sambil berbangga melihat nama syarikatnya dipamer oleh anak-anak muda.

Naratif banyak cacat dan cela

Sementara itu di tempat duduk terbuka, puluhan ribu penyokong marhaen bersorak sambil menyedut udara bertoksik untuk bermati-matian mempertahankan lencana yang ditaja oleh entiti korporat sama yang barangkali menjadi antara punca hak mereka untuk bernafas udara bersih dirompak.

​Di peringkat akar umbi pula impaknya lebih kejam.

Bagi kelas pekerja dan komuniti marhaen, padang awam dan gelanggang di dalam kawasan kejiranan ialah ruang bernafas mereka. Ia menjadi tempat anak-anak melepaskan lelah dan masyarakat bersantai tanpa perlu membayar satu sen pun.

Apabila bencana seperti jerebu melanda akibat kegagalan melestarikan alam, kapitalis bukan sekadar merampas udara bersih, tetapi merobek satu-satunya ruang rekreasi awam milik rakyat bawahan.

Anak-anak marhaen dipaksa untuk terus terperap di dalam flat dan rumah yang sempit, atau menghirup udara beracun.

Ini sebenarnya satu taktik pengalihan tumpuan sosial yang sangat licik. Sukan dihulurkan sebagai ‘candu’ untuk melekakan masyarakat marhaen, membuatkan kita sibuk bertekak tentang prestasi pasukan di media sosial atau meraikan piala.

Kita leka sehingga lupa siapa entiti sebenar yang merobek ruang bernafas anak-anak.

Protes aman kumpulan Greenpeace terkait isu jerebu di Jakarta baru-baru ini.

Kesetiaan terhadap lencana dan kelab telah dimanipulasi secara halus sehingga melumpuhkan kesedaran kelas. Kita bermati-matian mempertahankan jenama di dada jersi tanpa sedar entiti yang sama sedang meletakkan racun di dalam udara yang kita hirup saban hari.

​Sebab itulah aku berharap pengulas sukan dan media kita berhenti menggunakan ayat klise yang melindungi pemodal seperti “perlawanan tergendala akibat faktor cuaca”.

Itu adalah kesilapan naratif yang penuh dengan cacat cela. Hujan lebat atau kemarau itu cuaca semula jadi, tetapi jerebu dan pemanasan global itu wujud akibat kerakusan ekonomi dan kecuaian manusia.

Jika kita menormalkan pencemaran sebagai ‘acara tahunan’, maksudnya kita secara tidak sedar turut bersubahat menyiram air mawar untuk mencuci dosa pihak yang memusnahkan ekosistem kita sendiri.

​Sudah tiba masanya komuniti sukan, kelab penyokong dan persatuan akar umbi bangkit membuka mata.

Kesetiaan kita pada lencana dan pasukan tidak sepatutnya dijadikan cagaran untuk mencuci imej penaung yang merosakkan masa depan anak cucu semua. Kita wajib bersuara dan mula mendesak penganjur sukan agar lebih berhati-hati menerima ‘duit kotor’ atas nama tajaan.

​Sukan sepatutnya menjadi pentas membina karakter dan promosi kesihatan holistik.

Tetapi apabila penganjur terlalu kemaruk mengutip duit tajaan tanpa mempedulikan impak operasi penaja, sukan akhirnya menjadi begitu hina tatkala diperkuda sebagai tukang cuci dosa para pemodal.

Sekarang, cuba tengok jersi pasukan masing-masing. Ada tak terpampang nama syarikat yang secara diam-diam merosakkan alam sekitar tempat kita?


NUR HADI MOHAMAD ialah pencinta sukan yang akhir-akhir ini memberi fokus kepada kegiatan bermenung berbanding kejurulatihan kerana masalah jerebu yang tidak pernah selesai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.