KOLUM | Anak muda yang bangkit melawan di jalan raya
KOLUM | Pada 19 Okt 1793 kepala Marie Antoinette si Permaisuri Perancis dipenggal. Marie Antoinette menjadi simbol kejayaan pemberontakan rakyat Perancis. Daripada sebuah negara feudal Perancis kemudian menjadi negara republik.
Marie Antoinette akan terus diingati dengan “Kalau tak ada roti, makan kuih....:”
Kata-kata itu terhambur dari mulutnya apabila dia mendengar suara rakyat menjerit-jerit meminta roti.
Revolusi Perancis dari 1789 hingga 1799 hakikatnya adalah tunjuk perasaan politik jalan raya. Politik jalan raya itu telah menumbangkan rejim feudal Louise Ke-16.
Justeru, demo, tunjuk perasaan dan politik jalan raya sudah menjadi tradisi kukuh dalam badan budaya politik Perancis.
Saya masih ingat lagi pada Mei 1968 – ketika itu saya berada di tingkatan lima di Jelebu – saya telah membaca berita tentang pelajar dan mahasiswa kota Paris bangun menunjuk perasaan.
Isu yang menjemput para pelajar dan mahasiswa ke jalan raya itu ialah keadaan pembelajaran di Universiti Nanterre dan Sorbonne yang mengecewakan. Kuliah padat. sistem kampus merosot dan kerajaan Presiden Charles de Gaulle menekan anak muda, pelajar, dan mahasiswa.
Pada masa yang sama Perancis terlibat dalam perang kolonial di Indo-China. Pertempuran di Dien Bien Phu antara 13 Mac hingga 7 Mei 1954 menjadi tanda penamat. Gerila Vietkong di bawah pimpinan Ho Chi Minh berjaya mengalahkan kuasa kolonial Peranchis.
Tetapi perang disambung. Kekalahan Perancis di Vietnam diambil alih oleh kuasa imperialis AS.
Gerakan Jaket Kuning berdemo
Di Perancis, gerakan mahasiswa Mei 68 membawa jutaan warga Perancis ke jalan raya. Mogok besar berlaku. Kaum buruh, kaum tani, kesatuan sekerja, para seniman, para intelektual kota Paris semuanya turun ke jalan raya.
Kerajaan de Gaulle hampir runtuh.
Hingga ke hari ini Mei 68– atau dikenali di Perancis sebagai The Almost Revolution – terus menjadi rujukan kepada gerakan pelajar seluruh dunia.
Justeru politik jalan raya dan demonstrasi diterima pakai sebagai budaya politik Perancis.
Pada Nov 2018 ekonomi dunia dan Perancis menjadi tidak menentu. Harga bahan bakar atau petrol naik, harga gas naik dan kos sara hidup melonjak. Kaum buruh dan pekerja merasa kos hidup mereka makin menekan.
Maka setiap hujung minggu mereka keluar menunjuk perasaan bagi menuntut agar kos sara hidup ditangani dan cukai dikurangkan.
Gerakan itu dipanggil Gerakan Jaket Kuning kerana ramai yang keluar berdemo memakai jaket berwarna kuning.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/212c1aa2dd60ae9cab44acf75ccdad2a.jpg)
Mereka keluar berdemo setiap minggu. Kadangkala besar dan mengampuh. Hampir dua tahun Jaket Kuning turun berdemo dan akhirnya Presiden Emmanuel Macron membatalkan kenaikan cukai bagi menangani isu tekanan kos sara hidup.
Satu bulan ke belakangan ini Perancis bergolak lagi. Kalau pada 1968 pemula politik jalan raya ialah mahasiswa, kali ini ia dimulakan oleh anak-anak sekolah menengah pula.
Kisah bermula apabila pada 17 Sept 2026 guru di sekolah menengah di pinggir kota Paris mogok. Tiga hari kemudian anak murid di Lycée Antoine-de-Saint-Exupéry di Créteil keluar sama menyokong tuntutan guru.
Mereka mahu sistem persekolahan dibaiki, guru ditambah, apabila guru bercuti, pastikan ada guru pengganti. Bilik darjah yang kini padat perlukan bangunan baru. Pada musim sejuk perlu ada alat pemanas, manakala semasa musim panas perlu ada kipas dan alat penyaman udara.
Dari sekolah dipinggir wilayah miskin kota Paris itu ia kemudian merebak. Gerakan itu disambut pula oleh banyak sekolah yang lain. Kini bukan hanya di Paris malah di seluruh Perancis sekolahnya menghadapi perkara yang sama.
'Kaki busuk' turun untuk ambil kesempatan
Anak sekolah turun ke jalan raya, sekolah ditutup, guru sama-sama menyokong, ibu bapa datang ke jalan raya. Ombak politik jalan raya semakin membesar. Parti politik memberi sokongan. Pemimpin politik ikut sama berdemo.
Kesatuan Sekerja – Trade Unionist – yang kuat tersusun mengarah agar ahlinya sama menyokong. Dari kota ke kota ampuh oleh penunjuk perasaan.
Langkah polis seperti biasa – tembakan gas pemedih mata, tembakan cecair kimia diarahkan kepada para demonstran.
Penunjuk perasaan dibantai. Seorang murid sekolah putus tangan. Seorang anak sekolah pecah muka. Ia menjadi perbualan nasional dan berita dunia.
Suasana jadi ganas – tong sampah di bakar, kereta menjadi mangsa, dan pelajar diserang dan ditangkap. Polis juga diserang pelajar. Kota Parsi menjadi berantakan.
Seperti biasa politikus menuduh ia kerja musuh politik mereka. Presiden Macron menuduh ia kerja Jean-Luc Melencon dari parti Tidak Tunduk – parti garis kiri yang dituduh ekstrem. Marine Le Pen dari parti National Rally berhaluan kanan menuduh ia kerja parti sosialis dan komunis.
Pilihan raya untuk memilih presiden telah ditetapkan pada 18 April tahun depan. Melencon dari parti kiri dan Le Pen dari parti kanan pasti akan bertempur dan bertanding.
Pada 17 Okt yang lalu demo di seluruh Perancis disusun. Dianggarkan 550,000 hingga 800,000 orang turun ke jalan raya di seluruh Perancis.
Demo besar itu menjemput ‘kaki busuk dan para oportunis’ untuk sama-sama berdemo. Mereka mengambil kesempatan memecah kedai dan mencuri barang. Imej dari media sosial telah tersebar. Tuduh menuduh berlaku.
Apa yang menarik ialah peranan media arus perdana. Dari awal lagi media menggambarkan para demonstran kononnya sebagai imigran generasi kedua Arab dan Afrika.
Bukti dan hujah sahih – menurut laporan media itu – ialah: kenapa ada bendera Palestin ikut sama dikibarkan dalam demo?
Media jenis itu tidak menerang dan tidak memberi pencerahan akan tuntutan para pelajar. Tidak dihebohkan pun apa tuntutan Gen Z itu secara tuntas.
Kerajaan gagal selesaikan krisis
Media terus memainkan imej pelajar yang berkulit hitam sedang berdemo dan membawa bendera Palestin. Gambaran imej yang ganas ditonjolkan, walhal majoriti yang berdemo ialah warga Perancis berkulit putih. Mereka anak watan Perancis.
Malah mereka yang berkulit tidak putih itu juga adalah warga Perancis yang tebal kerana mereka telah menghayati politik jalan raya sebagai budaya politik mereka.
Setakat ini berdasarkan laporan media, hampir 8,000 telah ditangkap termasuk lebih 500 pelajar dan hampir 150 orang guru. Pada masa sama hampir 1,000 polis dilaporkan cedera.
Demo di Paris itu merebak ke Belgium. Protes besar-besaran oleh para pelajar meletus di seluruh Belgium sepanjang Okt ini. Demo berlaku di pusat-pusat bandar utama seperti Brussels dan Liège.
Sama seperti di Perancis di Belgium, politik jalan raya juga didorong oleh golongan anak sekolah dan Gen Z. Sama seperti di Paris, bentrokkan juga berlaku antara demonstran dengan pasukan polis antirusuhan.
Pada masa yang sama politik jalan raya juga sedang berlaku di Sepanyol, di Itali dan di Albania. Di Milan, Itali, tentera diarah untuk mengawal keadaan. Jelas kelihatan anak muda Eropah sedang bangun melawan.
Di Sepanyol kes perumahan membawa ratusan ribu rakyat ke jalan raya. Kerajaan runtuh kerana gagal menyelesaikan krisis perumahan dan tempat tinggal. Pada 26 Nov ini Sepanyol akan mengadakan PRU.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/340c80783ba1dce62781db6bf4219a86.jpg)
Tanpa dijemput tanpa dipinta Presiden Donald Trump dari AS telah mengeluarkan pandangan tentang apa yang sedang berlaku di Perancis dan di Eropah.
Wajib disedari bahawa Trump akan berhadapan dengan pemilihan separuh penggal pad 3 Nov ini.
Akhbar The Guardian pada 20 Okt lalu melaporkan, dalam ceramah kempennya di Kansas, Trump berkata: “Perancis kini ditakluki, dijarah, dan dibakar sehingga musnah oleh pendatang, jihadis, dan komunis.”
Trump cuba menjadikan pergolakan di Perancis sebagai ‘pengajaran’ buat pengundi AS. Dia menggambarkan demonstrasi tersebut – yang bermula sebagai protes pelajar terhadap keadaan sekolah yang uzur serta kos sara hidup yang melambung tinggi – sebagai bukti bahaya imigresen dan hakisan tamadun Barat.
Dalam kempen untuk memenangkan calon Republikan, Trump terus berkata bahawa demonstrasi di Perancis "bukan masalah sekolah” tetapi ia adalah “masalah imigrasi" dan mendakwa bahawa para imigran telah "menguasai Perancis".
Trump terus berkempen dan menjaja bangkai biawak sebagai daging rusa.
Kini bangkai biawak yang dijaja oleh Trump telah mula disambut oleh pemimpin politik garis kanan di Eropah. Tunjuk perasaan anak sekolah itu sedang beralih menjadi masalah pendatang dan Islam.
Isu pendatang, imigran, pelarian perang pasti akan menjadi agenda utama dalam pemilihan presiden di Perancis tahun depan. Malah isu pendatang dan imigran akan terus dibakar.
Sebenarnya apa latar belakang yang membawa murid sekolah terbabit ke jalan raya? Ia akan dijawab minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/CubistAristocratAmidRevolution_776293.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.