KOLUM | Dinsman, sajak menikam dan reformasi yang panjang
KOLUM | Penyair Dinsman adalah seniman terawal muncul di tengah-tengah gelombang reformasi yang sedang mula menguak arus tekanan penguasa pada penghujung 1990-an.
Dia muncul tatkala majlis politik dipenuhi dengan pidato-pidato berapi yang membangkitkan kemarahan dan kebencian terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohammad.
Di situ Dinsman tidak berpidato, tetapi berdiri memegang buku atau kepingan kertas lalu mendeklamasikan puisi-puisinya yang keras seperti kerikil tajam.
Dinsman berjambang, tanpa kopiah atau berjubah dan suaranya agak garau.
Orang ramai sejenak terdiam. Menikmati bait-bait puisinya yang sederhana indah.
Ada yang diam kerana terasa berada dalam dunia yang asing kerana menuntut berfikir lebih mendalam.
Begitulah kuasa sastera – memaksa orang berfikir dan berfikir lagi. Mengajar orang agar tidak mudah membuat kesimpulan pada sesuatu perkara.
Dinsman dalam antologi puisinya Macam Orang Gila menceritakan pengalamannya pada 4 Sept 1998 ketika Anwar Ibrahim mengajaknya duduk di sisi sebelum memulakan sidang media.
Dua hari selepas dipecat daripada jawatan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan Umno, tentu menarik ramai wartawan dalam dan luar negara untuk mengikut rapat sosok Anwar.
Ketika itu lensa kamera terarah kepada Anwar dan Dinsman yang berada di sisinya.
Terjemah rasa melalui karya seni
Itulah kelebihan Anwar – dia lihai meraikan kehadiran mereka yang pernah bersamanya dalam perjuangan termasuk dalam bidang kesusasteraan.
Bahkan agenda dan acara kesusasteraan serta bahasa kebangsaan menjadi antara keutamaan Anwar sewaktu di tampuk kekuasaan.
Dinsman pernah meneklamasikan puisi bertajuk Kebengongan (1) dan Kebengongan (2) di hadapan Anwar, para wartawan dan orang ramai.
Memang masyarakat ketika itu dalam keadaan kebingungan dan kecelaruan.
Ia ditambah dengan tindakan Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Fadzil Noor, membuat kejutan dengan datang menziarahi Anwar di rumah anak Pulau Pinang itu Bukit Damansara.
Para penyokong PAS keliru. Kami dalam Dewan Pemuda PAS Pusat juga awalnya meragui tindakan Almarhum Fadzil.
Dinsman mendeklamasi puisi bukan semata-mata dalam acara sastera seperti di Rumah Pena atau acara politik seperti dewan komuniti Cina, markas PAS, hotel dan sebagainya. Dia juga mendeklamasikan puisi dalam kompleks beli-belah.
Antologi Macam Orang Gila mengandungi 55 buah puisi Dinsman. Kesemua puisi tersebut mempunyai topik sama – kebejatan politik tanah air. Ia dihasilkan antara 1998 hingga 2001.
Tempoh itu adalah jangka waktu paling kritikal dalam politik tanah air.
Antologi berkenaan diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda pada 2001 mengandungi 140 halaman.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/d74e3381eeac1b266c2c88643d6dc31f.jpg)
Gerakan reformasi yang didukung oleh penyokong Anwar serta parti-parti pembangkang mewujudkan gelombang yang mengugat kestabilan BN terutamanya melalui demonstrasi jalanan.
Pemerintah telah mengenakan sekatan terhadap penerbitan media massa, membuat tangkapan di bawah ISA, sebarang perhimpunan awam termasuk di premis persendirian juga dikekang.
Pada khalayak sastera, penentangan terhadap parti pemerintah ketika itu diterjemah dalam bentuk karya-karya seperti antologi Dinsman.
Itulah kaedah seniman dan budayawan melahirkan hati nurani masing-masing iaitu melalui karya seperti novel, cerpen, puisi dan lain-lain.
Sajak-sajak reformasi awal Dinsman itu sebahagiannya dipersembahkan di Rumah Pena. Pada masa itu, Dinsman dan rakannya, penyair Sutung Umar RS, yang mengendalikan program tersebut di Rumah Pena setiap bulan.
Kedua-dua mereka adalah orang kuat Pena.
Meski ada nada kecewa
Kali terakhir Dinsman ke majlis puisi di Rumah Pena ialah Ogos 1999 setelah genap setahun reformasi bermula. Selepas itu, Rumah Pena menjadi kenang-kenangan Dinsman sahaja.
Itu risiko yang perlu dihadapi sesiapa yang mahu menyinggung penguasa. Apatah lagi untuk terjun ke lembah siasah!
Ibarat kata Usman Awang dalam potongan puisinya:
Kawan-kawanku yang dikasihi
Di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.
Puisi-puisi Dinsman lebih menekankan mesej berbanding mementingkan unsur keindahan bahasanya. Apabila dideklamasikan puisi-puisi tersebut, mesejnya akan sampai terus kepada pendengar.
Misalnya, puisi Macam Orang Gila yang boleh merangsang pendengar menyambung bait-baitnya secara beramai-ramai serentak.
Ia seperti sebuah satu persembahan konsert.
Puisi Apabila Menteri-menteri Menjadi Lanun-lanun pula menggunakan pendekatan pertanyaan dan kenyataan sinikal.
Dinsman juga mempuisikan keputusan PRU melalui Pilihan Raya 99.
Dia mencatat:
Terengganu 28 daripada 32 negeri
dan kesemua parlimennya bertuka
Kelantan memperkukuhkan pilihan
tumbang dua menteri seorang timbalan
di Kedah lapan daripada 15 parlimen
tetapi hanya 12 daripada 36 negeri
dan di Perlis terlalu kecil.
Puisi itu hanya ketara keindahannya melalui pendeklamasian Dinsman yang tersendiri. Jika dibaca sepintas lalu, ia seperti satu karangan prosa biasa.
Kekuatan Dinsman menggunakan puisi sebagai senjata melawan kerajaan juga menarik Dewan Ulama PAS Pusat mengundang dia mendeklamasi puisi dalam acara mereka yang berlangsung di Hotel Sheraton, Subang Jaya pada 14 April 2000.
Dinsman masih berpuisi menegur kerajaan Madani. Meski ada nada kekecewaan dan sedikit melawan, puisinya terus bersuara.
Kini, Dinsman masih menggagahi dirinya untuk teater.
Semoga selepas ini tiada lagi sandiwara lagi yang perlu Dinsman lalui dan teater itu berjaya dipentaskan.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/Triple-ExposurePortraitinRedandBlue_790001.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.