KOLUM | “Kawai ni warga emas, aok hormatlah sikit...” kata mak cik itu. Nada suaranya berautoriti. Kami tidak kenal beliau, namun dia hadir dalam satu majlis keluarga.

Maka kami agak dia ialah ahli keluarga kami juga.

Dia menekankan kata “warga emas” itu seperti orang yang baru mendapat pangkat Dato’, misalnya. Dia kemudiannya menceritakan betapa dia amat berharga dan perlu diperlakukan sebagaimana layak yang difikirnya.

Cerita ini berlaku beberapa tahun lalu. Mungkin pada waktu itu ada satu macam kempen oleh televisyen mengenai warga emas dan dia mengambil hati sungguh-sungguh dengan kempen tersebut.

Sedang kita semua tahu bahawa kempen seumpama itu ditujukan kepada kumpulan yang lebih muda. Tujuan kempen tersebut mungkin untuk menjadikan golongan muda lebih berhemah apabila berhadapan dengan kumpulan “warga emas”.

Namun begitu, mak cik tadi beranggapan bahawa dia telah menerima satu darjah kebesaran apabila melepasi usia 60 tahun. Kami tidak tahu bagaimana mahu menerangkan dengan lebih jelas keterujaan mak cik itu, dan kami berharap kamu faham apa yang ingin kami sampaikan.

Kami teringat cerita ini apabila membaca kisah bagaimana Ustaz Badlishah Alauddin dari Pahang diadukan kerana membicarakan hal orang hari ini yang digelar sebagai ‘generasi strawberi’.

Kami bersetuju dengan Ustaz Badlishah.

Generasi hari ini terlalu meraikan hal kesihatan mental. Kami tidak katakan ia hal kecil. Kesihatan mental yang telah disahkan oleh pihak berwajib seharusnya diberikan perhatian.

Bekerja pun dianggap paksaan

Yang kami mahu ceritakan ialah mereka yang depresi, bipolar dan sebagainya, yang didiagnosis oleh mereka sendiri melalui internet.

Dan internet ialah seluruh hidup generasi hari ini.

Satu ketika dahulu – jika kamu semua masih ingat – di akhbar harian ada satu ruangan yang dinamakan sebagai ramalan bintang kelahiran atau perkataan lain yang membawa maksud sama.

Melalui ramalan tersebut, mereka yang lahir pada sekian hari dan sekian bulan akan dikatakan mempunyai sifat itu dan sifat ini, dan ramai antara kita yang mempercayai ramalan tersebut.

Itulah yang berlaku kepada ‘generasi strawberi’. Mereka percaya apa sahaja yang dikatakan oleh internet tentang diri mereka. Dan keteguhan kepercayaan itu teramat sukar, bahkan kami boleh katakan bahawa ia akan kekal untuk selama-lamanya bagi kumpulan yang lahir setelah wujudnya internet.

Dan kami juga percaya seluruh kehidupan kita sudah kena reset semasa lockdown.

Kesungguhan generasi hari ini mahu menikmati hidup juga membimbangkan, namun kita semua – generasi terdahulu – tidak mungkin boleh berbuat apa-apa selain daripada melihat, marah, sebal dan menunggu mati.

Kesan daripada kegelojohan dan juga kebodohan kumpulan tersebut, kita semua – atau jika kami ingin berkata benar – menjadi orang tua yang grumpy, cepat panas hati dan mahu melakukan tindakan agresif membabi buta.

Bukanlah maksudnya sebelum ini kami bukan lelaki tua yang suka marah-marah.

Kami sendiri sudah tidak ada kasihan kepada kumpulan berkenaan. Mereka menganggap bekerja ialah satu paksaan.

Setiap kali kami terpaksa berurusan dengan mereka sama ada di kedai serbaneka atau kedai minum kopi berjenama, bahkan di mana saja ada bangsa itu, ada sahaja yang akan membuatkan kami panas hati.

Mereka tidak menganggap senyuman, terima kasih dan kesungguhan melayan pelanggan perlu datang dengan tugas masing-masing.

Pergi sekali tak ulang lagi

Semua permintaan orang ialah beban yang harus ditanggung oleh mereka. Itu juga akan mengakibatkan bipolar mereka terpicu. Maka mereka bertugas dengan merengus dan acuh tak acuh.

Tentulah mereka menganggap gaji yang mereka terima ialah masalah. Tidak setimpal dengan kecantikan dan ketampanan mereka agaknya.

Mengenai kecantikan – dari mana datangnya kesungguhan budak berusia 11 hingga 12 tahun untuk mengenakan make-up?

Dan memang itu pun yang berlaku hari ini.

Pergi sahaja ke kedai yang menjual barangan seperti pencuci muka dan sebagainya, kamu akan dapati budak-budak yang baru semalam datang haid sudah mula membeli segala macam alat kecantikan.

Entah siapa yang mereka cuba goda dalam usia semuda itu. Hanya ibu bapa yang pandir sahaja yang akan melayan anak-anak kecil membeli krim itu dan krim ini.

Apakah generasi ini akan berubah?

Seperti yang kami katakan, tidak mungkin. Mereka akan kekal begini dan akan merasai apa yang kita semua rasai sekarang apabila mereka mempunyai anak sendiri suatu masa nanti.

Dalam hal menerima layanan seperti pengemis daripada budak-budak yang bekerja di kedai-kedai kopi dan serbaneka, tidak sekali datang rasa mahu kami tempeleng mereka itu.

Namun, apabila teringat bahawa kami ini warga emas yang tidak lagi punya tenaga untuk bertumbuk, maka kami lupakan sahaja niat baik tersebut, dan kami tidak lagi berkunjung ke kedai-kedai sedemikian.

Maka makan dan minumlah kami di kedai mamak. Sekurang-kurangnya di situ kami masih dihormati sebagai warga emas yang berharga.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang yakin dia sebahagian daripada generasi milenial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.