KOLUM | Padah apabila terlalu bergantung pada sistem digital
KOLUM | Akhirnya pada Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan telahpun bermesyuarat untuk membincangkan ancaman keselamatan siber terhadap negara. Untuk itu, kerajaan sedang memantau terhadap segala kesan dan kemungkinan serangan siber.
Dia menarik perhatian terhadap serangan siber ke atas Belgium yang melumpuhkan laman-laman sesawang kerajaan. Begitu juga di Denmark apabila daftar nasional negara itu diceroboh diikuti mengganggu sistem bekalan air.
Di Jepun, data peribadi anggota polis mereka diceroboh dan terdedah hingga menjejaskan operasi pasukan keselamatan tersebut.
Paling besar ialah di AS apabila suruhanjaya pilihan raya negara itu mengalami serangan siber beberapa hari sebelum pemilihan pertengahan penggal berlangsung. Ini memaksa kerajaan persekutuan AS menggantung sistem fail pendanaan kempen elektronik awam selama hampir 41 jam untuk membendung pencerobohan itu .
Akibatnya berlaku ketiadaan bekalan elektrik pada malam sebelum pilihan raya pada 3 Nov.
Tetapi insiden serangan siber yang memberi kesan secara langsung kepada orang ramai ialah lumpuhnya peti-peti ais yang menyimpan makanan di pasar-pasar raya. Ia diceroboh oleh penggodam sistem sehingga merosakkan makanan sejuk beku.
Keadaan itu pasti boleh mendatangkan isu kekurangan makanan. Serangan siber tersebut berlaku di Belgium, Estonia, Finland, Perancis, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda dan Portugal.
Seperti kata Anwar, tentulah dia tidak dapat memberitahu semua perkara tetapi bersedia untuk membenarkan pasukan keselamatan memberi taklimat kepada anggota Dewan Rakyat.
Dalam pada itu perdana menteri menerima jaminan daripada pihak tentera dan polis tentang kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara.
Perkembangan tentang perkara ini sedang berlangsung dengan pesat dan selepas ini pastinya berlaku peristiwa-peristiwa yang tidak dijangka.
Orang ramai tidak akan dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana - atas sebab tertentu - pihak yang berkenaan tidak akan memberitahu.
Antaranya sebabnya ialah untuk mengelakkan keadaan panik, dan panik itu menambahkan lagi bahaya kepada keadaan sedia ada.
Hadapi apa saja kemungkinan
Satu lagi sebab ialah pihak berkuasa sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku.
Maka apa yang boleh dilakukan oleh orang ramai ialah menaruh kepercayaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat.
Sudah tentulah mereka adalah manusia yang boleh salah faham atau melakukan kesilapan tetapi mereka mempunyai maklumat dan pengetahuan yang lebih daripada orang awam.
Dengan kepercayaan itu, orang ramai hanya perlu menerima penerangan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mematuhi segala arahan atau nasihat yang diberikan. Dalam pada itu, orang ramai tidaklah perlu bersikap lurus bendul.
Orang ramai wajar menjadi rakyat berpendidikan yang mempunyai pemikiran kritis tetapi pada masa sama tidak panik dan hanya mengikut sentimen kelam-kabut awam.
Kebimbangan terhadap ancaman yang tidak diketahui itu berlaku apabila pada 22 Okt lalu kerajaan UK menjalankan kempen Be Ready (Bersiap Sedia) yang meminta penduduknya bersedia untu menghadapi keadaan ketiadaan bekalan elektrik dan liputan internet selama sekurang-kurangnya 72 jam.
Kemudian 16 negara lain menyarankan kepada rakyatnya supaya bersedia menghadapi sesuatu bencana yang masih menjadi tanda tanya.

Negara itu ialah Ireland, Jerman, Perancis, Belanda, Belgium, Lithuania, Latvia, Estonia, Finland, Denmark, Sweden, Norway, Switzerland, Jepun, Taiwan, Australia dan Poland.
Kerajaan UK menerbitkan senaskhah risalah yang diedarkan kepada penduduknya. Apa yang dimaksudkan dengan Be Ready itu bukanlah sesuatu yang tentu akan berlaku, cuma bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkian, seperti bencana alam.
Apabila ditanya oleh wartawan, Setiausaha (Menteri) Pertahanan Britain, Wes Streeting, tetap menyatakan bahawa persediaan itu adalah untuk menghadapi bencana atau apa saja kemungkinan.
Tentulah perkara ini tidak memuaskan hati orang ramai. Maka penduduk Britain menyerbu pasar raya untuk menumpuk (stock up) bekalan.
Be Ready itu berasaskan risalah yang disediakan dan disebarkan semasa Perang Dingin (1947 hingga 1991) terutama ketika Soviet Union mula memperolehi bom nuklear pada 1949 hinggalah Krisis Cuba (1962) dan dunia berada di ambang Perang Dunia Ketiga.
China, Jepun boleh terheret sama
Maka kerajaan Britain mengambil risalah itu dan memperbaharuinya (update) dengan mengambil perhatian besar terhadap internet dan serangan siber
Jadi, risalah itu menggariskan bahawa persediaan yang dimaksudkan adalah untuk menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, ribut, banjir, dan ancaman geopolitik.
Maksudnya perang zaman siber meliputi kegagalan bekalan elektrik, gangguan bekalan air bersih dan terputusnya rantaian bekalan makanan.
Apa yang dikatakan oleh risalah itu kelihatan umum, justeru tentu ia menimbulkan keraguan dan tanda tanya dalam kalangan masyarakat. Apa yang dilakukan oleh orang ramai ialah memberi tumpuan kepada satu daripada perkara itu.
Bencana alam adalah suatu yang biasa dan berlaku setiap tahun. Pastinya ia tidak memerlukan peringatan sebegitu. Maka perhatian kemudiannya beralih kepada ancaman perang geopolitik.
Adakah persediaan yang dimaksudkan itu ialah untuk perang nuklear? Kemungkinan itu ada.
Apa yang diucapkan oleh Presiden AS, Donald Trump; dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, menunjukkan ada ketegangan di antara kedua pihak, dengan Ukraine menjadi motifnya. Maka tidak hairanlah negara-negara Eropah kebimbangan.

Dikaitkan pula dengan perang AS dan Israel ke atas Iran. Mungkinkah Iran sudah memiliki senjata nuklear? Mungkin tidak. Tetapi Trump yang mengancam Iran. AS mungkin tergamak untuk menghancurkan Tehran, sama ada melalui nuklear atau bukan.
Andai kata China turut terlibat dengan melancarkan serangan ke atas Taiwan, ia pasti akan mengheret Jepun dan AS ke dalam konflik juga. Maka berlakulah Perang Dunia Ketiga dengan turut melibatkan Korea Utara dan Korea Selatan.
Di satu sisi, sukar untuk membayangkan dunia terseret ke dalam Perang Dunia Ketiga dengan melibatkan bom nuklear. Hal itu kerana Trump, Putin dan Presiden China, Xi Jinping, tidak akan menjadi tidak siuman untuk melancarkan serangan nuklear.
Namun begitu, menurut wartawan AS, Tucker Carlson, dia pernah bertanya kepada Trump soalan-soalan seperti itu pada Feb lalu menjelang serangan Israel dan AS ke atas Iran. Dia bertanya antara lain, adakah benar Tel Aviv mahu menjadi kuasa dominan di Asia Barat dengan melumpuhkan Iran dan negara-negara Teluk.
Kerana itulah peperangan berkenaan bertujuan untuk menghancurkan seluruh rantau tersebut.
Kemudian Trump menjawab: “Ya benar, tetapi pada akhirnya kita semua akan mati, maka itu tidak penting (It does not matter)."
Tidak semestinya didalangi Iran
Menurut Carlson, itu menunjukkan Trump bersikap nihilisme iaitu kepercayaan bahawa kehidupan atau nyawa tidak membawa erti, dan sikap tersebut membahayakan dunia serta manusia.
Tetapi kalau tidak menggunakan senjata nuklear, mereka boleh menggunakan serangan siber termasuk yang berbentuk false flag (serangan palsu) supaya dunia akan menyalahkan pihak penentang mereka.
Contohnya Israel melakukan serangan ke atas kota suci Islam dan kemudian menuding jari ke arah Tehran sebagai pelakunya.
Maka tolak bencana alam dan perang nuklear, apa yang tinggal ialah perang siber.
Perlu diingatkan bahawa Iran adalah negara yang kecil tetapi perlu herdepan dengan AS yang besar dan kuat. Tentunya Iran tidak boleh mengalahkan AS dalam perang menggunakan senjata api.
Dalam perang Israel-AS ke atas Iran, negara Islam itu menggunakan kaedah asymmetric warfare sebagai langkah melawan, iaitu menggunakan senjata lain yang tidak dijangka. Maknanya Tel Aviv dan Washington menggunakan pesawat juang dan bom, sebaliknya Tehran membalas dengan dron dan peluru berpandu.
Israel dan AS ada senjata nuklear. Mereka tidak akan berani menjatuhkan bom nuklear pada Iran jika Republik Islam itu mempunyai senjata nuklear kerana Tehran pasti membalas.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/c49463ca7d6c1668d72b3aa86bdbcb3a.jpg)
Sebab itu tidak akan ada peperangan langsung berlaku di antara dua kuasa nuklear. Malah perang di antara India dengan Pakistan - yang kedua-duanya ada bom nuklear - terus terhenti dengan segera.
Maka Iran akan menggunakan kaedah lain dalam penentangannya ke atas Israel dan AS. ada kemungkinan ia menggunakan serangan siber. Penguasaan perang maklumat dalam internet oleh Iran menunjukkan negara itu mempunyai kemampuan siber.
Tetapi serangan siber yang berlaku secara terpencil dan di merata-rata tempat itu tidak semestinya didalangi proksi Iran. Mungkin ia dilakukan oleh para penyangak (rogues) bebas. Dalam serangan peti ais itu, Rusia turut terkena.
Apa yang pasti ialah dunia dan manusia sudah terlalu bergantung kepada digital, internet, kecerdasan buatan (AI) dan robot yang bukan saja boleh mengancam dunia tetapi juga menghapuskan manusia.
Pelajaran daripada ancaman itu ialah, jangan bergantung sepenuhnya pada sistem digital, internet dan AI. Maknanya, sistem yang manusia patut guna ialah hibrid digital-analog dan bukannya digital semata-mata.
Contohnya sistem pembayaran sepatutnya bukanlah dengan tanpa tunai (cashless) semata-mata, tetapi wang kertas dan syiling patut terus ada. Begitu juga untuk mendapatkan maklumat.
Maknanya ketika ada internet, masyarakat patut terus juga mendapatkan maklumat dari radio tanpa internet. Sistem analog perlu sentiasa ada seiring bersama digital. Meninggalkan analog sepenuhnya akan mengancam manusia.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/Pop-ArtSoldierwithFiber-OpticCable1_702144.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.